Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Wednesday 28 November 2012

Kepelbagaian Dalam Kebajikan...Selamatkan Anak-Anak Gaza!






KENYATAAN AKHBAR
1. MISI AQSA SYARIF KE GAZA: SELAMATKAN
KANAK-KANAK GAZA DARI ISRAEL PEMBUNUH
2. AFDLIN SHAUKI DUTA AQSA SYARIF

Tarikh: 28 November 2012
Masa: 2.30 pm
Tempat: Anjung Mahligai, Hotel Singgahsana, Petaling Jaya

Serangan terkini yang dilakukan oleh Israel bermula pada 14 November 2012 adalah siri-siri kebiadaban regim Zionis ke atas jalur Gaza yang dikepung sejak tahun 2007. Serangan kali ini telah mengorbankan lebih dari 150 penduduk Gaza dan hampir 2000 lagi mengalami kecederaan parah. Aqsa Syarif yang telah menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza secara berterusan sejak tahun 2010 tidak berlengah lagi untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat serangan terkini. Bermula hari kedua serangan, para sukarelawan yang berkhidmat bagi pihak Aqsa Syarif telah bertungkus lumus di Gaza menghantar makanan dan barangan keperluan asas yang lain kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat serangan. Bantuan bernilai RM310,000 dalam bentuk masakan panas, sayuran segar dan barang-barang makanan asas serta ubat-ubatan telah berjaya diagihkan pada fasa pertama (sepanjang tempoh serangan selama 8 hari sehingga gencatan senjata dimetrai pada 21 November). Kini untuk fasa yang kedua bantuan tambahan sejumlah RM100,000 dari RM500,000 yang diperuntukan telah pun diagih-agihkan.

Sebagai langkah proaktif Aqsa Syarif sedang membuat persiapan terakhir untuk melaksanakan misi kemanusiaan A2G10-ER yang akan bertolak pada hari Khamis 29 November ini. Misi ini adalah misi yang terkini dari Sembilan (9) misi yang telah dilaksanakan oleh Aqsa Syarif sejak tahun 2010 (A2G – A2G9). Misi A2G10-ER adalah misi kemanusiaan Aqsa Syarif ke Gaza yang ke – 10 untuk Bantuan Kecemasan (ER – Emergency Relief). Misi yang melibatkan Pengerusi Aqsa Syarif Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan dua orang ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif iaitu Dr Ir Selamat Aliman dan Dr Fauziah Hassan adalah misi pembuka jalan untuk misi kemanusiaan yang akan digerakkan dalam tiga fasa pada bulan Disember 2012/Januari 2013. Ketiga misi tersebut yang akan diberi nama A2G11, A2G12 dan A2G13 yang masing-masing dijadualkan memasuki Gaza pada 3 Disember, 15 Disember dan 23 Disember 2012. Misi utama A2G11 akan menyaksikan penyertaan ikon komedi tanah air iaitu Afdlin Shauki dan crew beliau dari Vision Works seramai 6 orang.

Ketiga-tiga Misi A2G11, A2G12 dan A2G13 akan melibatkan para aktivis yang mempunyai kepakaran berdasarkan keperluan yang akan dikenal pasti oleh misi Pembuka jalan A2G10 nanti. Beberapa doktor pakar kanak-kanak dan psikiatri telah menyatakan kesediaan untuk menyertai misi-misi tersebut. Di antara mereka ialah Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, pakar psikiatri terkenal, merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia. Di samping beberapa orang personaliti dan selebriti terkenal tanah air telah menyatakan kesediaan untuk bersama Aqsa Syarif dalam misi-misi tersebut. Perkembangan tentang ini akan dimaklumkan kepada pihak media dari masa ke semasa.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan atas sumbangan dari rakyat Malaysia yang amat membanggakan. Apabila tabung kecemasan Gaza (Emergency Relief) di umumkan pada 15 November 2012, Aqsa Syarif telah merekodkan sumbangan dari orang ramai yang kini mencecah RM2.1 juta. Walaupun Aqsa Syarif mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta dalam tempoh satu minggu namun pada minggu yang pertama jumlah sumbangan yang direkodkan ialah RM1.6 juta. Aqsa Syarif merasa amat terharu atas sokongan berterusan dari rakyat Malaysia. Sokongan padu tersebutlah memungkinkan Aqsa Syarif menyalurkan sebanyak RM9 juta sejak dua tahun yang lalu.

Inisiatif bantuan kepada penduduk Gaza dan Palestin umumnya kini dilonjakkan lagi dengan penampilan personaliti terkenal tanah air yang tidak mahu ketinggalan untuk menzahirkan sokongan mereka kepada usaha-usaha membantu rakyat Palestin yang dizalimi. Aqsa Syarif amat bertuah kerana ikon komedi terkenal tanah air iaitu Sdr Afdlin Shauki yang kini sedang berentap dalam siri Maharaja Lawak Mega 2012 di bawah kumpulan BOBOY telah menyatakan kesediaan beliau untuk menjadi duta Aqsa Syarif untuk merancakkan lagi usaha membantu rakyat Palestin. Aqsa Syarif mengambil peluang ini untuk mengumumkan perlantikan Sdr Afdlin Shauki sebagai Duta Aqsa Syarif secara rasminya. Afdlin Shauki dan crew beliau dari Vision Works akan menyertai misi A2G11 yang dijangka bertolak pada 3 Disember ini. Beliau akan menzahirkan rasa simpati rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza. Penyertaan beliau dalam misi ini adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan sosio ekonomi untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas.

Aqsa Syarif yang mempunyai cawangan di 14 negeri dan 73 daerah di seluruh negara akan mempertingkat dan mempelbagaikan usaha bagi memudahkan rakyat Malaysia menyumbang kepada rakyat Palestin. Di antara program yang telah disusun ialah ride4Gaza anjuran Sekretariat Aqsa Syarif Johor pada 1 Disember di Dataran Bandaraya Johor Bahru. Kempen Ride4Gaza dijangka mendapat sambutan dari 1000 peserta berbasikal (cyclist). Sekretariat Aqsa Syarif Selangor dan Wilayah Persekutuan juga akan menganjurkan konvoi untuk Gaza. Sekretariat Aqsa Syarif Pulau Pinang akan menganjurkan konvoi peringkat negeri di Padang Kota pada 15 Disember dengan penampilan istimewa Afdlin Shauki sebagai Duta Aqsa Syarif.

Kami memohon doa dari rakyat Malaysia agar semua anggota misi selamat melaksanakan amanah yang besar ini untuk memberi sinar kebahagiaan kepada penduduk Gaza. Sekalung penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang menyumbang melalui Aqsa Syarif dan pihak media yang membantu memperjuangkan isu kemanusiaan sejagat ini. Tabung A2G-ER masih dibuka dan rakyat Malaysia boleh menyumbang melalui akaun Maybank Islamic (551575004299) atau Bank Islam (12092010034904).


Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif Berhad

No comments: