Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Wednesday 23 September 2009

Sungguh Permai Ramadhan dan Eidul Fitri 1430H...






Para pembaca yang dirahmati Allah. Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh dan Salam lebaran!
Saya mulakan bicara dengan mengucapkan "Taqabbalallahu minna wa min kum: semoga Allah menerima segala ibadah kami dan anda di sepanjang bulan Ramadhan kareem yang lalu", amin.

Lebaran kali ini sungguh permai sekali. Permai bermaksud:mendatangkan rasa puas dan nyaman, keindahan dan keelokkan(Kamus dewan edisi keempat),jika permai terkait dengan mana-mana entiti, ia hanyalah satu kebetulan yang indah. Begitulah juga hasrat, dan impak yang diharapan terhasil daripada penulisan di blog PERMAI KASTURI ini. Semoga tercetus lah hendaknya rasa nyaman,kepuasan dengan santapan minda dan spiritual yang disajikan serta terkesan berpanjangan di sanubari pengunjung serta pembacanya, hingga membuahkan amal dengan pengetahuan yang diperolehi,amin.

Permai kerana Allah memberi keselesaan untuk saya berpuasa sebulan penuh, alhamdulilah. Saya juga berkesempatan untuk beribadah dengan mereka yang saya kasihi di pelbagai premis...seperti kompleks Al Hidayah Ipoh, Masjis Sultan Idris Teluk Intan, Masjid Taman Seri Setia Teluk Intan, Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh, Masjid An-NUR Universiti Teknologi Petronas Tronoh, Masjid UIA Gombak dan Masjid As-Syakirin Gombak. Saya tidak keseorangan, rasa permai dan bertuah kerana masih ramai teman dan taulan yang ingin menemani saya untuk mencorakkan kanvas sisa-sia hidup saya, alhamdulilah.

Rasa permai menjadi seorang ahli seumur hidup NGO Islam yang berdaftar, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang setia dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatannya. Iftar bersama anak-anak Yatim dan sumbangan kepada Fakir miskin. Saya berpeluang mempengerusikan mesyuarat perwakilan wanita JIM Negeri Perak dan turut terlibat dalam pemilihan barisan kepimpinan sesi 2009-2011 bagi JIM Bandaraya Ipoh yang permai, dalam bulan Ramadhan Al Mubarak.

Permai hati ini mengenangkan jiran-jiran yang prihatin turut menceriakan Ramadhan kali ini serta menyumbangkan suasana ketenangan kepada saya untuk beribadah. Jiran sebelah saya, seorang ibu tunggal, tinggal keseorangan, mempunyai tujuh orang anak yang telah dewasa, menghulurkan setalam juadah untuk berbuka. Sahabat saya, Fauziah Ali dan suaminya "Chef" Ainol Azhar melebihkan "master piece" mereka untuk saya, berupa "Ikan Talapia Berlado" dan "Rendang Podeh daging" yang keenakan nya sukar dilupakan. Permai hati saya melihat jiran-jiran saya yang lain, berbahagia dengan keluarga dan kehidupan masing-masing, alhamdulilah. Permai bersahur dengan "rendang pedas udang" dan menghabiskan "Gulai Tauchu Ikan Tongkol" selama seminggu masakan bonda tercinta di Bulan Ramadhan ini.

Hati Pilu tetapi permai merelakan seorang sahabat yang menemui Allah di hari khamis(tanda-tanda husnul khotimah,insyaAllah), setelah berkesempatan menghatam Al Qur'an dan beribadah di malam ke-27 Ramadhan. Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala ibadah, melapangkan tempat tinggal dan mempermudahkan segala urusan Allahyarham, amin.

Allah menghilangkan kesedihan dan segera mendamaikan hati saya di bulan mulia yang penuh dengan keberkatan ini daripada provokasi-provokasi verbal dan tindakan jelik segelintir manusia yang tidak mengerti...bahawa setiap tindakan mereka tetap akan dinilai oleh Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Adil.

Jubaidah Abdullah memeriahkan sambutan syawal dengan menemani saya di "Barokah" pada malam hari raya. Hafsah Chung Abdullah memeluk erat saya, sambil menitiskan air mata sejurus selesai mendengar khutbah solat Eidul Fitri kerana sungguh terharu diberi kesempatan oleh Allah untuk meraikan syawal yang sungguh bermakna dengan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah tercinta. Muncul pula Ezween (bersama ibunya), anak murid kesayangan saya yang sekian lama ingin menemui saya di pintu keluar Masjid Jalan Dairy...sungguh mengharukan dan mendamaikan hati saya. Saya meraikan syawal bersama Jubaidah, Hafsah dengan orang tua saya di kampung dan menziarahi rakan-taulan di sekitar Batu Gajah dan Ipoh. "Darling" saya, Noora, suaminya Hisham, anak-anak mereka: Aiman, Ehsan, Raihana, Annisah dan Najwa memgunjungi "Barokah"...letih melayan mereka sebagai tetamu-sahabat tetapi hati berbunga-bunga serta permai... mata hitam saya menjadi biru sejak 30 Ramadhan hingga 3 Syawal dalam banyak ketika kerana berbahasa inggeris sepanjang masa berinteraksi dengan sahabat handai bersama-sama saudara baru kita, Jubaidah dan Habsah. Alhamdulilah, seperti orang lain juga, saya dihujani dengan SMS ucapan dan doa lebaran tetapi SMS yang satu ini sungguh istimewa dan menyentuh hati dari orang yang istimewa...

"SALAM SYAWAL...Ya Allah, ketika berakhirnya ramadhan yang penuh barokah ini dan munculnya Idul Fitri yang mulia, Engkau muliakan dan sayangi penerima ucapan ini, berkati dirinya, sihatkan tubuh badannya, limpahkan rezeki yang halal untuknnya, jauhkan daripada fitnah, penganiayaan, penghinaan. Suburkan benih keimanan dengan penuh rasa kasih sayang serta taqwa tanpa alasan. Makbulkan doa serta cita-citanya yang murni. Amin Ya Rabbal A'lamin. Salam Idul Fitri..." Begitulah bunyinya SMS daripada seorang sahabat yang sangat saya senangi. Alhamdulilah.

Permai dan damai apabila menikmati alunan nasyid ini...

Jendela Hati
Artist: Firdaus
Song Category: Nasyid

Aku ingin hidup secerah mentari pagi
Yang menyinari di taman hatiku
Aku ingin seriang kicauan burung
Yang terdengar di jendela kehidupan

Aku ingin segala-galanya damai
Penuh mesra membuahkan ceria
Aku ingin menghapuskan duka dan lara
Melerai rindu di dalam dada

Sedamai pantai yang memutih
Sebersih titisan embun pagi
Dan ukhuwah ini pasti berputik
Menghias taman kasih yang harmoni

Seharum wangian kasturi
Seindah ceria pelangi
Segalanya kan bermula di sini
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Ya Allah, sesungguhnya,aku memohon kepada-Mu seluruh kebaikan yang ada, untuk mampu melakukan segala kebaikan, meninggalkan segala kemungkaran, mencintai orang-orang miskin, dan terimalah taubatku, ampunilah aku serta kasihanilah aku. Ya Allah, dan aku memohon kepada Mu untuk mampu mencintai-Mu, mencintai orang-orang yang mencintai-Mu dan mencintai amal yang menghantarkanku untuk mampu mencintai-Mu. Ya Allah, sesungguhnya, aku memohon kepada-Mu akan hal-hal yang menyebabkan turunnya rahmat-Mu, dorongan yang mendatangkan ampunan-Mu, keselamatan dari segala noda dosa, keuntungan dari segala kebaikan, keberuntungan akan syurga-Mu, dan keselamatan dari api neraka", Amin Ya Rabbal alamin.

Allahu alam. Sekian dahulu.