Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Friday 25 January 2019

Pengislahan...



Tulisan ini akan tetap menjadi polemik bagi mereka yang suka membenarkan yang biasa dan tidak suka membiasakan yang benar. Saya terpanggil menulis ini setelah mendengar secara langsung dari sumber orang pertama iaitu Menteri Agama sendiri. Saya tidak merujuk pada sumber media sosial seperti facebook, whatsapp dan sebagainya yang dalam Islam disebut dengan naba` yang harus diselidiki kebenarannya. Tiada siapa yang menyuruh saya menulis ini kerana sampai sekarang saya tidak pernah bekerja dengan orang politik, tidak pernah dibayar oleh orang politik, tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti politik tetapi saya berjuang untuk politik Islam global dengan modal ijazah dan tesis PhD dari Universiti Malaya bidang politik yang saya miliki.
Saya bukan staff Kementerian Agama yang akan menyampaikan semua kejayaan kementerian ini yang sebenarnya dapat dilihat di website mereka. Apa yang telah dan akan mereka lakukan dan bagaimana kejayaan mereka setakat ini dapat dilihat secara online. Antara agensi di bawah Kementerian Agama adalah; JAKIM, JKSM, JAUHAR, JAWI, Jabatan Mufti WP, Jabatan Pendakwaan Syariah WP, Tabung Haji, MAIWP, YADIM, YAPEIM, IKIM, TV Al-Hijrah dan Yayasan Wakaf Malaysia,
Saya terpanggil membela kerana Kementerian inilah yang paling banyak difitnah dan terzalimi seperti isu Jakim akan dibubarkan, DAP akan berkuasa, LGBT akan bebas dan pelbagai macam fitnah baik di masjid, media sosial dan perbincangan masyarakat awam lainnya. Membela mereka yang dizalimi adalah sesuatu amal shaleh di sisi Allah In Shaa Allah.
Sebenarnya apa yang berlaku di era Malaysia baru ini adalah sebuah aspek terkejut masyarakat sahaja kerana apa yang berlaku saat ini adalah akibat adanya kebebasan media yang mana pada kerajaan dulu media agak kurang bebas memberitakan sesuatu yang akan merugikan mereka. Rumusnya sebanyak apa pun keburukan yang berlaku pada kerajaan dahulu, masyarakat tidak boleh tahu kerana media tidak berani menyampaikannya dan sekecil apapun kejahatan yang berlaku pada era Malaysia baru, masyarakat akan cepat tahu sebab media bebas memberitakannya.
Tulisan ini juga bertujuan agar kita kembali ke ajaran Islam yang menyuruh tabayun sebelum menerima sesuatu berita. Alangkah ruginya kita di akhirat nanti jika semua amal ibadah kita akan berpindah untuk orang lain dan dosa kesalahan orang lain akan berpindah pada kita disebabkan oleh fitnah dan dosa yang kita lakukan padanya.
Dalam pertemuan bersama Dr Mujahid Yusuf Rawa bersama JARO pada 23 Januari 2019 di Pejabat Menteri Agama tingkat 9 Putrajaya saya dapat melihat banyak perubahan yang dilakukan. Antara reformasi Kementerian Agama yang dilakukan oleh Dr Mujahid adalah;
1. Mengurangkan protokol, hormat yang berlebihan stafnya terhadap beliau sebagaimana layaknya seorang Menteri dulu. Tidak ada lagi Menteri yang selalu dikawal oleh bodyguards ramai seperti yang berlaku pada zaman dahulu. Bahkan beberapa kali saya lihat kenderaan Menteri Agama tanpa di escort oleh polis. Menteri mencuba menjadi orang awam dengan solat di Hentian sebelah lebuh raya, menghadiri nikah kahwin anak saudara dari awal hingga akhir.

2. Kami sebagai tetamu dilayan hampir tiga jam berbincang bersama, bergambar dan makan bersama. Ini tidak seperti dulu di mana seorang Menteri biasanya akan bertemu mesra sekitar sepuluh minit setelah itu akan dilayan oleh timbalan atau pegawai tinggi lainnya dengan alasan ada program di tempat lain dan sebagainya.

3. Menegakkan rule of law dengan menyerahkan pada putusan mahkamah terhadap individu atau NGO yang memfitnah Kementerian dan Menterinya. Bahkan beliau tidak membawa perkara itu ke Mahkamah tetapi menyerahkan sepenuhnya pada kebebasan mahkamah dalam konsep trias politica. Menteri tidak menghantar samseng, untuk melakukan hukum rimba mengugut mereka-mereka ini tetapi menyerahkan pada proses hukum yang berlaku.

4. Beliau memberi jaminan “Tidak mungkin orang yang bernama Dr Mujahid Yusuf Rawa ini akan buat sesuatu yang merugikan Islam. Itu satu jaminan sebab saya orang Islam katanya (dan juga anak seorang ulama –penulis)

5. Kementerian bukan hanya tidak akan membubarkan JAKIM sebagaimana isu tuduhan selama ini, tetapi Kementerian menambah baik bajet dan tadbir urus yang mengarah pada konsep good governance dengan menjadikan rahmatan lilalamin (QS Anbiya` 107) dan maqosid syariah sebagai pondasi untuk kepentingan yang lebih besar atau awlawiyah keutamaan. Menciptakan model Malaysia seperti Bank Islam, Tabung Haji, Halal dan sebagainya yang akan menjadi contoh bagi negara lain.

6. DAP yang dikatakan menguasai kabinet adalah sebuah fitnah menurutnya. Ini kerana mesyuarat kabinet dipengurusikan oleh Tun Mahathir, sebelahnya DS Wan Azizah, TS Muhyidin Yasin dan barisan orang Islam Melayu lainnya. Hanya beberapa orang sahaja DAP dalam kabinet dan tidak mungkin Menteri kabinet Melayu Islam lainnya yang majoriti itu akan dikuasai beberapa orang DAP. Gambaran yang sama juga berlaku sebelum ini di mana MIC dan MCA juga mewakili kabinet BN dulu. Dr Mujahid juga mengemukakan pelbagai strategi dan pendekatan demi Islam dan Melayu yang tidak baik disampaikan dalam artikel ini. Sepenjang mesyuarat kabinet menurut Dr Mujahid, belum pernah LGE dan orang DAP menentang atau membantah kebijakan yang berkaitan dengan umat Islam. Ini kerana keputusan kabinet adalah keputusan bersama bukan keputusan individu.

7. Mensosialisasikan konsep maqosid syariah ke setiap Kementerian agar nilai-nilai Islam mewarnai setiap Kementerian yang ada. Jika selama ini kebijakan individu KSN yang mewarnai, maka sekarang Islam akan mewarnai Malaysia In Shaa Allah. (Inilah yang disebut dengan Islam garam terasa walau tak nampak bukan Islam lipstik yang nampak tapi tak ada rasa apa-apa –Pen) Menyokong larangan merokok, kempen keselamatan jalan raya, rasuah, urus tadbir baik dan polisi awam yang Islamik lainnya.

8. Tidak mahu memegang jawatan pengerusi institusi di bawah Kementeriannya seperti Mawib yang memiliki aset berbilion ringgit. Ini dilakukan oleh Dr Mujahid untuk mengelakkan konflik kepentingan. (Ini salah satu strategi pembanterasan rasuah yang saya baca masa menulis tesis PhD dulu. Ini sebenarnya sebuah gagasan besar atau revolusi seorang Menteri yang biasanya akan mempengerusikan institusi dibawahnya.–pen)

9. Membuat kebijakan seperti kenaikan pangkat, lantikan dan sebagainya berdasarkan meritrokrasi dan profesionalisme. Jika dulu yang dilantik adalah mereka yang kuat mengipas mengampu, maka sekarang mereka yang kuat mengipas tak akan diberi jawatan. Ini kerana lantikan diasaskan pada kelayakan, keahlian dan kepakarannya. (Ini juga asas good governance yang saya baca waktu saya menulis tesis PhD dulu–pen)

10. Reformasi kewangan Tabung Haji jika dulu digunakan untuk biaya kempen parti politik, sekarang tidak boleh lagi. Fitnah yang kononnya TH dikuasai LGE adalah fitnah kerana Dr Mujahid lah yang menanda tangani soal kewangan yang banyak jumlahnya itu. Kerana akta menjamin TH adalah dibawah Menteri Agama. Yang membuat governance kewangan pula adalah Bank negara. Sedangkan dulu pengerusinya adalah orang politik. Pengerusi TH saat ini pula adalah orang Islam Melayu yang bebas dari pengaruh parti politik seperti Tansri Mohd Nor. CEO Dato Sri Zukri Samat dan tidak seorang pun pengerusi TH orang DAP.

11. Menteri menjadi orang yang pakar dan menguasai berkaitan institusi bawahnya seperti hafal luar kepala akan angka-angka dan kedudukan semasa. Ini tidak seperti dulunya biasa Menteri akan membaca laporan yang dibuat bawahan dan tidak menguasai secara detail institusi di bawahnya kerana hanya bertindak sebagai tukang rasmi yang berucap beberapa menit lalu pergi. Sementara Dr Mujahid akan membaca dan menguasai topik dan dan bahan yang akan disampaikan kepada awam.

12. Akan mewujudkan rumah mampu milik untuk orang Islam yang kurang mampu pada tanah yang dimiliki oleh MAWIP dengan tidak membolehkan pemilikan berdasarkan kroni dan orang kaya walaupun ahli keluarga Menteri itu sendiri.

13. Memperkuat Jakim dengan menambah institusi dan kewangannya. Jakim adalah institusi terbesar di bawah Kementerian Agama yang paling banyak bajet kewangannya.

14. Misi yang telah diterima oleh 14 agensi dan semua pentadbiran Islam ialah menjadikan Malaysia sebagai model pentadbiran Islam terunggul.

15. Reformasi bidang kuasa kehakiman seperti menjaga hak-hak isteri yang diceraikan suaminya dan banyak lagi polisi yang baik tetapi tidak dilakukan dulu.

16. Meningkatkan bajet seperti KAFA bahagian sekolah menengah setelah sebelumnya hanya tingkat sekolah rendah sahaja. Memberi bantuan RM50 juta pada maahad tahfid berdaftar. Sekolah pondok 25 juta sekolah agama bantuan kerajaan 50 juta masjid dan surau 150 juta dan banyak lagi seperti braille dan sebagainya.

17. Mewajibkan banner institusi di bawahnya 20% daripadanya bertuliskan Arab Melayu di samping bahasa Melayu yang sememangnya diwajibkan. 

18. Dari bahasa tubuh dapat dilihat, Menteri menganggap para ulama dan cendekiawan adalah orang yang sedarjat dengannya. Bahkan saya mendengar sendiri di sebuah forum Menteri mengatakan ini adalah tok guru saya merujuk pada Cikgu Azmi dulu di Universiti Malaya. Ego seorang Menteri yang biasanya merasa lebih mulia lebih terhormat di forum terbuka dapat dia kalahkan.

19. Secara berkala Menteri selalu berforum dengan para ulama dan cendekiawan, menganggap mereka sebagai guru, meminta pandangan mereka. Ini tidak sama dengan dulu dengan menganggap mereka sebagai bawahan atau staff biasa. Pernah seorang ulama menceritakan, dulu waktu jadi Menteri saya kirim salam Maulid Rasul tak pernah di balas, sekarang dah tak jadi Menteri baru kirim selamat Maulid Nabi pada saya.

Semua kebijakan Menteri Agama di atas secara automatik menafikan bahawa beliau adalah seorang yang anti Islam, liberal dan sebagainya. Namun demikian mereka yang suka membenarkan yang biasa dan tidak suka membiasakan yang benar akan selalu melihat ia satu kesalahan. Ibarat mata lalat mereka akan fokus pada yang busuk atau membusukkan yang baik. Sementara mata lebah akan selalu mencari dan melihat yang baik indahnya bunga-bungaan dan akan menghasilkan madu yang bermanfaat bagi makhluk. Ini kerana lebah jika hinggap di suatu tempat tidak merosakkannya, mereka makan yang baik-baik dan mengeluarkan yang baik-baik. Namun jika mereka dizalimi, mereka juga akan membalas kerana mereka punya harga diri.
Jika kita jujur dan dikaji secara akademik point nombor 1, 3, 7, 8, 9, 10, 11, 12, 16, 17, 18, 19 adalah satu revolusi besar dalam Kementerian ini yang tidak mudah dilakukan jika orang tersebut tidak ikhlas berjuang untuk rakyat. Bagi saya yang menulis tesis PhD dulu bidang good governance dan anti rasuah, apa yang dilakukan oleh Dr Mujahid ini adalah sangat spectacular, sebuah reformasi bahkan boleh dikatakan sebuah revolusi Kementerian Agama yang sangat hebat. Bagi pembaca bebas membuat opini dan persepsi sendiri di era Malaysia baru yang memberi jaminan kebebasan bersuara dan berpendapat ini.

Walau a`lam

Reformasi Kementerian Agama Oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa
SRD, 24 January 2019
tulisan Afriadi Sanusi, PhD

Wednesday 2 January 2019

RAHMATAN LIL 'ALAMIN AJARAN LIBERAL?
Akhir-akhir ini kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperkecilkan teras Rahmatan Lil ‘Alamin (RLA) sebagai salah satu teras pentadbiran Islam di Malaysia. Mereka mendakwa dalam tulisan dan ceramah mereka kononnya RLA adalah satu cara halus untuk meliberalisasikan fahaman masyarakat Islam di Malaysia.
Soalnya, adakah benar dakwaan mereka itu?
Teras RLA ini sebenarnya merujuk kepada ayat 107 Surah al-Anbiyaa Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan tidaklah Kami utuskan dikau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
Dalam ayat tersebut Allah SWT menegaskan bahawa tujuan pengutusan nabi terakhir Muhammad SAW adalah semata-mata untuk tujuan memberi rahmat kepada seluruh alam buana. Maksud alam ialah segala kewujudan selain Allah SWT. Maka kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk menyenangkan dan membahagiakan seluruh alam, bukan khusus untuk umat Islam atau bangsa Melayu sahaja.
Dalam surah al-Fatihah, perkataan al-Rahman (yang sangat pemurah memberi rezeki) dan al-Rahim (yang sangat mengasihi dan menyayangi) adalah berasal daripada kata akar yang sama iaitu ra-hi-ma yang bermaksud sayang dan rahmah. Ia diulang dua kali dalam surah al-Fatihah, iaitu surah yang menjadi rukun bacaan dalam setiap rakaat solat sunat atau solat fardhu.
Pengisytiharan yang wajib diulang dalam setiap rakaat solat ini mempunyai maknanya yang tersendiri, bahawa ajaran agama Islam adalah ajaran rahmah. Rahmah pula kepada seluruh alam dan makhluk Allah swt. Tidak pernah ajaran rahmah itu hanya terhad untuk umat Islam sahaja atau bangsa Melayu sahaja.
Dengan sifat al-Rahman, Allah swt menjadikan seluruh manusia hidup di bumi ini dengan selesa. Mereka mendapat oksigen secara percuma untuk bernafas, makanan dan minuman yang tidak terkira banyaknya, tempat tinggal yang sesuai, pakaian yang cantik-cantik, kenderaan darat, laut dan udara yang memungkinkan mereka bergerak ke mana sahaja, bahkan segala kelebihan yang ada pada diri mereka sendiri pun terdapat maksud sifat al-Rahman Allah swt.
Dengan sifat al-Rahman itu, semua manusia mendapat nikmat, kerana mereka semua adalah anak keturunan Adam a.s. yang dimuliakan. Islam tidak pernah mengajar bahawa sifat al-Rahman Allah swt itu hanya untuk umat Islam. Pemikiran yang menganggap Allah swt itu hanya tuhan bagi orang Islam sahaja, yang melakukan kebaikan atau rahmah untuk orang Islam sahaja, memberi dan menyayangi orang Islam sahaja, adalah tanggapan yang salah dan tidak berasas.
Walaupun Allah swt tidak meredhai hambaNya yang sengaja mengingkari ajaran rasulNya dan tidak beriman, tetapi Allah swt tetap menyayangi dan memberi nikmat kepada semua hambaNya tidak kira mereka beriman atau tidak beriman. Kerana Allah swt telah memuliakan seluruh bani Adam iaitu manusia (surah al-Israa: 70).
Dalam hadis pula Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mencipta sebanyak 100 rahmah pada hari penciptaannya. Dia menyimpan 99 rahmah dan melepaskan untuk seluruh makhluknya hanya satu rahmah…” (Riwayat al-Bukhariy no 2751)
Hadis ini menjelaskan bahawa rahmat Allah SWT terlampau banyak dan luas tidak terjangkau oleh ilmu manusia. Alam maya yang terbentang ini dan seluruh kehidupan dan makhluk di dalamnya hanyalah manifestasi kepada SATU (1) rahmat Allah SWT sahaja. Di sana ada lagi 99 rahmat yang Allah SWT simpan untuk dianugerahkan kepada hamba-hambaNya yang beriman di akhirat.
Rasulullah SAW juga membuat misalan rahmat Allah SWT terhadap hambaNya dengan seorang wanita yang kehilangan bayinya. Dia sentiasa mencari bayinya. Apabila ketemu, terus dia mengambilnya, memeluknya dan menyusuinya. Lantas Rasulullah SAW bertanya para Sahabah RA: Adakah kamu rasa sang ibu itu akan mencampakkan anaknya ke dalam api? Mereka berkata: Tidak, dia akan bertarung untuk tidak mencampakkannya. Lalu sabda baginda: “Sesungguhnya Allah lebih rahmah terhadap hambaNya daripada sang ibu itu terhadap bayinya” (Riwayat al-Bukhariy no 2754)
Bolehkah kita bayangkan, hanya dengan satu rahmat Allah SWT segala makhluk wujud dengan penuh tersusun dan sistematik di bumi dan di langit? Dengan satu rahmat itu, turunnya hujan yang menyuburkan tanah dan menumbuhkan rumput dan segala tumbuhan? Tumbuhan itu pula mengeluarkan bunga yang memberikan keindahan dan menghasilkan buah yang sebahagiannya menjadi makanan manusia dan haiwan. Rahmat hujan juga menjadikan sungai dan lautan yang menjadi sumber minuman dan makanan protin untuk manusia. Firman Allah SWT maksudnya: “Jika kamu cuba menghitung nikmat-nikmat Allah nescaya kamu tidak mampu menghitungnya…” (Surah Ibrahim: 34 dan al-Nahl: 18)
Seluruh ajaran Islam adalah untuk merealisasikan rahmat Allah SWT kepada makhluknya secara inklusif, bukan kepada orang Islam sahaja atau eksklusif untuk bani Melayu sahaja. Lantaran itu, segala dasar, fahaman, tindakan atau perkataan yang bertentangan dengan makna rahmah wajib ditolak oleh orang Islam kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
Sekiranya kita benar-benar menjunjung dan menghayati ajaran Rasulullah SAW, sudah tentu kita akan menyambut seruan supaya melaksanakan agenda RLA dengan hati yang senang dan gembira. Kerana ia adalah seruan yang lahir daripada intipati ajaran Islam.
Sebaliknya jika kita tidak senang dengan seruan itu, maka ia memberi maksud kita mempunyai masalah dengan ajaran Islam yang suci dan murni daripada segala noda jahiliyah dan perkauman. Tidak usah berpura-pura memperjuangkan Islam jika tindakan dan perkataan kita menjurus ke arah membangkitkan semangat perkauman sempit seolah-olah bumi ini hanya milik satu kaum. Tidak usah mendabik dada mendapat tarbiah atau mengikuti usrah jika laungannya adalah laungan untuk menjulang bangsa tertentu walaupun ikon bangsa itu telah melakukan kerosakan yang nyata dan dahsyat yang tidak pernah disaksikan masyarakat dunia sebelumnya.
Haruslah masyarakat sedari bahawa teras RLA bukanlah agenda tersembunyi mana-mana pihak untuk menipu umat Islam. Ia adalah teras pentadbiran kerajaan yang cuba memperbaiki kerosakan yang telah dilakukan terdahulu agar rakyat Malaysia akan hidup secara bersama dengan aman dan harmoni. Membuat tuduhan tidak berasas kononnya RLA ini adalah agenda kaum kafir untuk menyesatkan umat Islam adalah sangat berat, kerana mereka menuduh sebahagian umat Islam yang tidak sehaluan mereka menggunakan ayat al-Quran untuk menyesatkan umat Islam. Siapakah yang akan membela mereka di akhirat kelak untuk mempertahankan tuduhan berat itu.
Kesimpulannya, sebagaimana dibukti dengan maksud ayat-ayat al-Quran dan hadis di atas, teras RLA adalah bersumberkan ajaran Islam yang tulen dan original. Ia bukan alat propaganda tersembunyi digunakan untuk menyesatkan umat Islam supaya menjadi liberal atau menolak agama Islam. Semoga Allah swt memberi hidayah dan petunjuk kepada kita semua.
Ustaz Ali Muda
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Sumber: Malaysia Dateline