Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Sunday 8 March 2015

Dunia Sunyi Tanpa Mu...Wanita

Antara tanda-tanda sifat kasih sayang Allah ialah penciptaan wanita...








Malaysia Menuju Negara Rahmah

Martabatkan wanita, martabatkan kemanusiaan

8 Mac 2015

1.0 Hari Wanita peringkat Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun adalah untuk mengiktiraf peranan wanita serta meneruskan perjuangan memartabatkan kaum wanita di seluruh dunia. Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua kaum wanita di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya.



2.0 Tema sambutan Hari Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun ini adalah 'Empowering Women, Empowering Humanity: Picture it!' [Memperkasakan Wanita, Memperkasakan Kemanusiaan: Gambarkan!] Sambutan di peringkat Antarabangsa pada tahun ini menginggatkan semula kepada Negara-negara dunia untuk melaksanakan komitmen mereka dalam Perisytiharan dan Pelan Tindakan Beijing yang telah dipersetujui 20 tahun yang lalu. Perisytiharan dan Pelan Tindakan Beijing menuntut supaya masyarakat dunia mewujudkan satu suasana di mana wanita dan kanak-kanak perempuan mempunyai hak, kebebasan dan peluang yang sama dalam setiap aspek kehidupan ini.



3.0 Hak dan kedudukan wanita akan terus menjadi tajuk perbicaraan perjuangan wanita seluruh dunia terutamanya di kalangan mereka yang terpelajar atas dasar membela nasib ramai lagi kaum wanita lain yang masih belum diberi peluang dan kedudukan yang sewajarnya berdasarkan prinsip keadilan sebenar. Wanita Malaysia bersyukur kerana secara keseluruhannya telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan hasil daripada polisi pihak kerajaan yang telah memberi peluang yang adil dan saksama kepada wanita bagi mendapatkan pendidikan. Ramai yang telah berjaya dan terlibat secara langsung menyumbang kepada pembangunan Negara dalam bidang kepakaran masing-masing. Wanita Malaysia turut memainkan peranan yang sangat penting sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab bekerjasama berganding bahu dengan lelaki dalam membangunkan masyarakat dan negara.



4.0 Walaupun demikian, di sebalik kejayaan-kejayaan yang banyak, masih terdapat kaum wanita yang terpinggir dan memerlukan pembelaan. Antara lain, wanita Malaysia masih berhadapan dengan cabaran diskriminasi di tempat kerja, serta tekanan yang tinggi dalam menyeimbangkan pelbagai peranan yang perlu dimainkan di samping belum bebas sepenuhnya daripada penganiayaan dan keganasan. Masih ramai ibu tunggal yang berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak yang perlu dibesarkan secara bersendirian. Statistik rambang daripada laporan pelbagai agensi memaparkan bahawa satu daripada empat orang wanita dizalimi dan didera, setiap 17 minit akan lahir seorang anak luar nikah, setiap 15 minit sebuah institusi rumah tangga berakhir dengan perceraian, setiap hari lebih kurang 10 orang wanita menjadi mangsa rogol, setiap hari juga 4 orang kanak-kanak akan hilang, bahkan setiap 3 daripada 6 orang remaja wanita mengaku pernah berzina.



5.0 Hakikatnya, keganasan dan diskriminasi terhadap wanita dan golongan terpinggir masih perlu diperjuangkan. Wanita IKRAM Malaysia ingin mengingatkan masyarakat bagaimana wanita telah dimartabatkan kedudukanya melalui risalah yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW lebih 1436 tahun yang lalu. Wanita telah diberi kebebasan dan hak untuk mempunyai identitinya sendiri, memiliki dan mewarisi harta, berniaga malah berperanan aktif dalam pembangunan keluarga dan masyarakat. Namun demikian, kejahilan umat Islam terhadap hak dan kedudukan mereka telah menyebabkan wanita Islam sendiri merasakan diri mereka terpinggir dan tersingkir. Kejahilan kaum lelaki terhadap kedudukan dan hak-hak wanita yang perlu ditunaikan pula telah menyumbang kepada ketidakadilan dan meningkatkan lagi penganiayaan terhadap wanita yang sepatutnya menjadi rakan kongsi kehidupan seharian mereka yang sangat penting.



6.0 Selaras dengan tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini, Wanita IKRAM Malaysia ingin menegaskan perkara-perkara berikut:


6.1. Asas perjuangan kepada pemerkasaan wanita bagi mencapai keadilan gender dan pembelaan terhadap hak wanita pada masa kini hendaklah dibuat dalam ruang lingkup tuntutan syarak yakni dengan mengambil kira sudut pandang Islam selaku agama Persekutuan disamping menghormati adat dan budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Wanita IKRAM menolak perjuangan wanita yang berpaksikan kepada hak asasi individu secara mutlak yang bertentangan dengan konsep pengabdian manusia kepada Allah SWT;


6.2. Wanita IKRAM Malaysia menyokong perjuangan dan segala usaha bagi menuntut keadilan kepada wanita dan menyelamatkan mereka dari semua bentuk keganasan sama ada secara fizikal mahupun mental. Usaha untuk menyelamatkan dan mengeluarkan wanita dari segala bentuk ancaman dan keganasan ini juga perlu ditingkatkan, termasuk dengan memperkasakan ahli masyarakat untuk mengambil tahu dan tampil membantu atas dasar kemanusiaan;


6.3 Perjuangan memperkasakan wanita mestilah seiring dengan usaha mendidik kaum lelaki sebagai rakan kongsi yang komited dalam semua usaha bersama membina dunia yang adil. Begitu banyak ayat-ayat Allah SWT di dalam al-Quran khususnya di dalam surah An-Nur, An-Nisa dan Ar-Rum yang menerangkan dengan jelas bagaimana wanita itu perlu dikendalikan. Allah SWT dengan tegas telah meminta supaya kaum lelaki berlaku adil, melindungi dan melayani wanita dengan kasih sayang serta belas kasihan;


6.4 Pemerkasaan wanita juga hendaklah dibuat dengan mendidik kaum wanita secara berterusan dengan ilmu yang membolehkan wanita mengenal matlamat hidup, membina jati diri, melaksanakan tanggungjawab, menuntut hak dan membuat keputusan dalam hidup dengan betul untuk masa depan diri dan keluarga dengan seimbang dari aspek rohani, jasmani dan akal;


6.5 Pemerkasaan wanita untuk berperanan dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat adalah atas dasar saling melengkapi. Ia juga tidak bertujuan untuk bersaing atau mengambil alih tugas masing-masing;


6.6 Pemerkasaan wanita hendaklah dibuat berdasarkan prinsip kesamarataan dan kesaksamaan di antara lelaki dan wanita menurut nilai-nilai Islam dengan mengambil kira fungsi biologi dan peranan setiap jantina serta kemampuan mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat; dan


6.7 Pemerkasaan wanita juga menuntut supaya lelaki dan wanita berperanan dalam memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga. Hanya dengan institusi keluarga yang berfungsi sahajalah wanita akan dihormati sebagai ibu, dicintai sebagai isteri, dididik dan dikasihani sebagai anak dan dilindungi sebagai saudara kandung.



7.0 Islam telah membela kedudukan wanita seiring dengan pertanggungjawaban kaum lelaki sebagai pelindung kepada wanita. Wanita IKRAM Malaysia yakin bahawa perkongsian keadilan gender melalui cara hidup Islam yang diamalkan secara menyeluruh akan berupaya memartabatkan wanita, memartabatkan kemanusiaan sekaligus melahirkan Malaysia sebagai sebuah Negara rahmah di mana wanitanya terdidik, dihormati dan dikasihi.



Selamat Hari Wanita 2015



DATIN PADUKA HAJJAH CHE ASMAH IBRAHIM
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia