Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Sunday 11 May 2014

Al-Ummu Madrasah Al-ula





PERUTUSAN HARI IBU 2014

WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

10 Mei 2014

IBU DI HATI, SYURGA MENANTI

1. Sempena dengan Hari Ibu 2014 yang disambut seluruh dunia minggu ini, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada semua ibu-ibu di mana jua mereka berada,

2. Hakikatnya setiap hari adalah Hari Ibu, istimewanya hujung minggu kedua bulan Mei ini telah dinobatkan sebagai Hari Ibu. Justeru, marilah kita mengambil kesempatan berharga ini untuk menzahirkan rasa kasih sayang cinta kita kepada ibu-ibu kita, dalam bahasa kasih sayang yang paling indah dan dapat dirasai oleh mereka. Hadiahkan mereka sebuah dakapan erat sambil melafazkan kata: “Ibu, anakanda sayang pada Ibu, terima kasih atas jasa baik ibu.”

Bagi yang ibu mereka telah tiada, kita masih boleh berbakti kepada mereka dengan sentiasa berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapa kami, masukkan mereka ke dalam syurga Firdaus-Mu, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami semasa dalam kandungan, ketika melahirkan, menyusukan, mendidik dan membesarkan kami dengan penuh kasih sayang .” Aamiin.

Dan kepada yang belum Islam, sambutlah Hari Ibu, menurut budaya sambutan dan kepercayaan masing-masing untuk menghargai ibu .

3. Islam mengambil perhatian tinggi terhadap berbuat baik kepada ibu bapa dengan meletakkannya sebagai kewajipan pertama setelah beriman kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

Firman Allah :

ٰﻰَﻀَﻗَو ٰ ﻚﱡﺑَر َ ﱠﻻَأ آوُﺪُﺒۡﻌَﺗ ْ ﱠﻻِإ ٓ هﺎﱠﻳِإ ُ ﻦۡﻳَﺪِﻟٲَﻮۡﻟﭑِﺑَو ِ ﺲۡﺣِإ ـَ ۚ‌ﺎًﻨ

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

Al-Isra’ ,17:24.

Firman Allah:

ﺎَﻨۡﻴﱠﺻَوَو ﺲﻧِۡﻹٱ ـَﻦٰ َ ﻪۡﻳَﺪِﻟٲَﻮِﺑ ِ ۖ‌ﺎًﻨۡﺴُﺣ

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.” Al-‘Ankabuut,29: 8.

Dalam hadis Sahih Bukhari , seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang maksudnya : “Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?” ,

Jawab Nabi: “Ibu kamu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Selepas itu?”

Jawab Nabi: “Ibu kamu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Selepas itu?”

Jawab Nabi: “Ibu kamu.”

Kali keempat lelaki itu bertanya: “Selepas itu?”

Jawab Nabi: “Bapa kamu.”

Hadis ini mengisyaratkan untuk kita melebihkan hak ibu tiga kali ganda daripada bapa kerana kesusahan dan pengorbanan ibu sewaktu mengandung, melahir, menyusu dan seterusnya mendidik serta membesarkan anak itu dengan penuh kasih sayang. Jasa seorang ibu tidak mungkin dapat dibalas oleh seorang anak sebagaimana digambarkan oleh Sayyidina Abdullah bin Umar al Khattab r.a. dalam kisah berikut;

Seorang lelaki datang kepadanya dan berkata, "Saya telah mendukung ibu saya sepanjang tawaf, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu?" Jawab Ibn Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun satu hembusan nafas ketika melahirkanmu.”

Berbakti kepada ibu adalah amalan yang utama kerana ganjarannya begitu besar , mendapat ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan mendapatkan kemenangan syurga di akhirat.

4. Wanita IKRAM menyarankan semua ahli dan anggota masyarakat agar giat menganjurkan serta menghadiri majlis-majlis sambutan Hari Ibu bagi tujuan mengingatkan masyarakat perihal kewajipan berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam suasana kesibukan masyarakat mengurus kehidupan harian dan bertambahnya gejala-gejala keruntuhan institusi keluarga, maka sewajarnya mereka diingatkan tentang peranan dan tanggungjawab menjaga dan menyantuni ibubapa. Bertambahnya pusat jagaan orang tua dan penghuni rumah warga emas ini menjadi bukti kepada kurangnya keprihatinan dan rasa tanggungjawab seorang anak kepada ibubapa. Semakin benarlah ungkapan yang mengatakan seorang ibu boleh menjaga sepuluh anak, namun sepuluh anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Kepada ibu-ibu sekalian, berbahagialah kerana dari rahim-rahim kalianlah lahirnya semua manusia di dunia ini. Allah s.w.t. telah memartabatkan kalian dengan satu tugas besar yang mulia dan tidak mungkin dipikul oleh orang lain.

Besarnya jasa seorang ibu ini digambarkan dalam bait-bait puisi berikut:

“Seorang Ibu adalah sekolah,

Apabila engkau persiapkan dengan baik,

Maka engkau telah mempersiapkan satu generasi yang harum”.

Manakala Napolean Bonaparte pernah ditanya , “Benteng manakah di Perancis yang paling kuat? Ia menjawab, “ Ibu yang baik.”

Maka wahai kaum ibu sekalian, marilah kita mainkan peranan kita dengan sebaik-baiknya. Peranan untuk mengandung, melahirkan, menyusukan dan seterusnya mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang. Berilah penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membenteng manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.

Bagi ibu-ibu yang bekerja, lengkapkanlah diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jati diri setiap ahli keluarga, terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu dan bapa dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.

5. Wahai para suami, bantu dan sokonglah isteri kalian. Suami kepada seorang isteri yang bekerja harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul.

6. Bagi ibu tunggal yang bekerja, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.

7. Kepada pihak berwajib dan anggota masyarakat lainnya, bantulah para ibu dengan memastikan semua majikan sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata. penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Para penggiat media dan industri hiburan hendaklah menyediakan bahan-bahan yang boleh membantu ibu-ibu membina generasi yang mempunyai jati diri yang kuat serta bebas daripada unsur dan pengaruh yang merosakkan.

Akhirnya, marilah sama-sama kita menyanjung pengorbanan dan jasa ibu kita semua.

“Ibu di hati, syurga menanti. ”

Selamat Hari Ibu


Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Wednesday 7 May 2014

All Are Invited!












Bagaimanakah perasaan anda bila Pravin Togadia, seorang pemimpin VHP, sebuah parti ekstermis di India, menyeru penyokongnya menghalau orang Islam yang membeli rumah di kawasan kejiranan yang majoritinya penduduk Hindu?

Apakah sikap anda terhadap pergerakan Ku Klux Klan yang cuba menghalau orang-orang kulit hitam melalui ancaman dan ugutan? Bagaimana pula dengan reaksi anda kepada saranan Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, bahawa rakyat Palestine patut dipecat dan dihalau ke Jordan?

Bagaimana pula pendirian anda dengan kempen Marine Le Pen pemimpin National Front di Perancis yang mendakwa pendatang Arab ke Perancis kini menakluk negara itu dan menggesa mereka dihantar pulang ke negara mereka?

Jika anda berasa semua pendirian ini melampau dan harus ditentang, sentimen yang sama juga diutarakan oleh kumpulan ekstremis di Malaysia. Penjaja-penjaja kebencian di Malaysia pada dasarnya tidak banyak berbeza daripada pemimpin ekstremis VHP, Ku Klux Klan, Avgidor Lieberman dan Marine Le Pen.

Jika Ku Klux Klan menggunakan salib sebagai simbol pergerakan itu, penjaja kebencian di Malaysia menggunakan Islam dan dakwah sebagai topeng ketika mengenengahkan agenda perkauman mereka.

Yang nyata, mereka ini semua adalah penjaja kebencian dan sebenarnya terpesong daripada ajaran Islam. Namun, mereka sedar menonjolkan diri sebagai jaguh kaum dan menjaja kebencian berpotensi memberi keuntungan untuk diri mereka. Ada suratkhabar yang turut menjadi penjaja kebencian dan tidak pula dikenakan tindakan. Namun, syarikat-syarikat GLC disuruh lebih banyak memberikan iklan kepada surat khabar ini.

Bagi tokoh-tokoh kebencian ini, mungkin mereka mengharapkan penajaan wang seperti yang diberi sebuah badan kerajaan kepada sebuah NGO penjaja kebencian lain. Mereka mungkin berharap untuk dijadikan senator atau diberi darjah kebesaran. Kebenaran tidak penting, yang penting ialah menjadi instrumen politik puak tertentu dalam mengapi-apikan sentimen perkauman. Islam pun tidak penting. Hanya guna Islam, tidak perlu hayati Islam.

Satu sifat penjaja-penjaja kebencian ini ialah mereka amat berekonomi dalam menyatakan fakta. Kenyataan mereka lebih mendedahkan kejahilan mereka serta pemikiran sempit dan sonsang mereka. Walaupun mengguna identiti Islam, keIslaman mereka sama tulen dengan “keKristianan” Ku Klux Klan. Hujah-hujah dan pandangan yang mereka kemukakan sama cetek dan tipis sepetimana cetek dan tipisnya keIslaman mereka.

Perhatikan kenyataan seorang penjaja kebencian, “Orang Cina datang ke negara ini bersama penjajah British sebagai penceroboh. ..Siapa yang bagi mereka hak kerakyatan dan kekayaan sehingga hasil pencerobohan mereka dilindungi sampai hari ini?...Itu semua perbuatan British yang bersekongkol dengan Cina menindas dan membuli orang Melayu,”

Nyata sekali di sini penjaja kebencian ini jahil mengenai sejarah. Kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu telah bermula sebelum kedatangan British ke Asia Tenggara lagi. Rekod sejarah menunjukkan lebih 50% penduduk pekan Kuala Terengganu pada pertengahan tahun 1600han adalah berbangsa Cina.

Mereka hidup damai dan tidak bersengketa dengan orang Melayu. Demikian juga, penjaja kebencian ini nampaknya lupa akan kedatangan orang Cina yang kemudiannya menjadi masyarakat Peranakan di Melaka. Mereka tiba ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan Puteri Hang Li Po, seorang puteri Cina, menjadi isteri kepada Sultan Mansor Shah.

Penjaja-penjaja kebencian ini juga lupa atau sengaja melupakan bahawa pembabitan orang Cina dalam industri tertentu seperti perjudian dan pembuatan bir adalah kerana lesen yang diberi pemimpin Melayu, bukan British. Dan ada di antara syarikat-syarikat ini dipengerusikan oleh orang Melayu, bukan British.

Sejarah Islam menunjukkan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ialah membina keharmonian di antara kaum dan agama yang berbeza. Inilah yang berlaku di Madinah selepas hijrah di mana orang-orang bukan Islam, termasuk orang-orang Yahudi, hidup bersama-sama dalam masyarakat Islam.

Ini semua dilakukan dalam semangat menghayati Islam sebagai rahmatan lil `alamin (rahmat kepada seluruh alam, bukan untuk orang Melayu sahaja) dan li ta`arufu (saling berkenalan dengan kaum-kaum yang berbeza).

Walaupun catitan hadith dan Quran menunjukkan ada orang bukan Islam di Madinah dari masa ke semasa mempersoalkan kebenaran Islam dan kenabian Rasulullah.. Baginda tidak pula mengusir mereka keluar dari Madinah. Sebaliknya baginda berhujah dengan mereka atau memberi jawapan daripada wahyu. Puak Yahudi diusir hanya setelah mereka menyebelahi pihak musuh yang mengepung Madinah semasa perang Khandaq.

Sikap matang dan terbuka ini turut ditunjukkan oleh para sahabat. Saidina Ali ketika menjadi khalifah sering dikritik dan dicerca oleh golongan Khawarij. Satu amalan mereka ialah mereka akan beratur di sepanjang laluan dari rumah Saidina Ali ke masjid.

Pada setiap waktu salat, mereka akan memaki dan mencerca Saidina Ali bila beliau berjalan ke masjid. Sahabat lain pernah bertanya kepada beliau kenapa tidak memerangi mereka sahaja. Sebagai seorang khalifah dia boleh menangkap kesemua mereka dan menghumban mereka ke penjara. Dia juga boleh mengusir mereka keluar dari Madinah. Sebaliknya, Saidina Ali berkata “Kita lawan serangan lisan dengan lisan.”

Jika penjaja kebencian hari ini hidup pada zaman Sultan Mansor Shah, barangkali mereka akan menggesa Sultan Mansor menghalau Laksamana Cheng Ho dan Puteri Hang Li Po dari Melaka.

Bagaimana agaknya reaksi Maharaja Cina jika ini berlaku? Jika rakyat Malaysia yang bukan Islam semua berhijrah keluar dari Malaysia hari ini, kepada siapakah agaknya NGO Islam yang digunakan penjaja-penjaja kebencian ini, yang menggunakan identiti sebagai pendakwah, akan berdakwah.

Dan bagaimanakah pula dengan orang Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak? Haruskah Sabah dan Sarawak dipecat keluar dari Malaysia?

Jika kita benar-benar menggunakan neraca Islam untuk menilai kenyataan-kenyataan penjaja-penjaja kebencian ini, nyata sekali mereka ini menyimpang jauh daripada Islam. Dan nyata sekali tindak-tanduk mereka jauh dari contoh yang ditunjukkan Saidina Ali.

Sukar nak katakan mereka ini jahil kerana mereka ini nampak terdidik. Mungkin inilah yang dikatakan perbezaan diantara orang yang mendapat kelulusan akademik dengan mereka yang mempunyai hikmah. Mungkin juga mereka ini tidak yakin dengan diri sendiri dan mengalami “inferiority complex” dan menganggap menjaja kebencian sebagai jalan pintas ke kemahsyuran.

Hari ini Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa seorang penjaja kebencian ini akan disiasat di bawah Akta Hasutan. Sebelum ini polis pernah juga menyiasat seorang lagi penjaja kebencian dari firqah yang sama di bawah Akta Hasutan.

Sebelum itu, seorang penjaja kebencian dari sebuah NGO turut disiasat polis kerana beliau menggesa agar dibakar kitab Injil. Namun, hasil siasatan-siasatan ini mendapati mereka ini tidak bersalah dan tidak dikenakan tindakan.

Barangkali hasil siasatan polis kali ini pun tidak akan berbeza. Pada saya, sebagai rakyat yang membayar cukai, saya tidak mahu wang cukai saya dibazirkan dengan siasatan yang tidak membuahkan hasil. Dan jika seorang penjaja kebencian didapati telah melakukan kesalahan, saya tidak redha wang cukai saya digunakan untuk menyara makan-minum beliau dipenjara.

Saya lebih suka penjaja-penjaja kebencian ini ditewaskan di medan hujjah. Kenyataan penjaja-penjaja kebencian ini adalah satu fasad. Saya ingin melihat pemimpin dan cendikiawan Islam tampil menentang kefasadan ini secara ilmiah.

Menyerulah kepada yang ma’aruf dan benteraslah kefasadan penjaja-penjaja kebencian ini melalui jihad lisan. Ini adalah sebahagian dari mencegah mungkar dengan mulut kita.

Kepada penjaja-penjaja kebencian, jika mereka tidak boleh menerima kemajmukan masyarakat Malaysia dan menganggap sebarang perbezaan pendapat sebagai kedurjanaan, eloklah mereka berhijrah ke luar Malaysia.

Pergilah ke negara yang tiada kemajmukan dan tidak menerima perbezaan pendapat. Mereka semua akan bahagia di sana. Barangkali tahap intelek dan sikap penjaja-penjaja kebencian ini sangat sesuai dengan kehidupan di Korea Utara.

Kim Jong Un akan menghargai orang seperti mereka. Dari sana, mereka bolehlah menjalinkan hubungan dan ikatan dengan kumpulan-kumpulan yang menunjukkan sikap yang sama seperti mereka, kumpulan-kumpulan seperti Ku Klux Klan di Amerika, VHP di India dan National Front di Perancis.


Rozhan Othman MAY 07, 2014

Saturday 3 May 2014

REFLECTING & BEING blessed, ALhamdulillah





"Jika ilmu bermanfaat tanpa amal, tidak mungkin Allah mencela para pendeta ahli kitab. Jika ilmu bermanfaat tanpa keikhlasan, tidak mungkin Allah mencela orang munafik" [Imam Ibnul Qayyim]

Rasulullah s.a.w bersabda :
" Aku menjamin sebuah rumah di tepi Syurga bagi sesiapa yang meninggalkan perdebatan walaupun berada di pihak yang benar.( Aku juga menjamin ) sebuah rumah di tengah Syurga bagi sesiapa yang meninggalkan berbohong walaupun dia melakukannya secara bergurau.( Aku juga menjamin ) sebuah rumah di puncak Syurga bagi sesiapa yang berakhlak mulia . "
[ Hadis Eiwayat Abu Daud ]




"Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa ketaqwaan kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat.
Aku juga sangat kecewa terhadap orang yang bertaqwa tetapi dungu. Kerana orang itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna." [Sayidina Umar]