Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Thursday 5 October 2017

Pengurusan Perspektif...





MENANGANI KEPELBAGAIAN PANDANGAN, PENDAPAT & PENDIRIAN
Antara sudut pandang liberal, konservatif dan sederhana

Mustahil kelompok manusia ini untuk boleh bersetuju 100% dalam semua hal.

Sudut pandang ( worldview/tasawwur) adalah ibarat kacamata yang sedang kita pakai untuk melihat dunia sekeliling. Kalau kita mengenakan kacamata hitam, hampir pasti semua yang dilihat redup dan kelam. Dengan kacamata yang berwarna merah atau kuning, itulah juga latarbelakang yang akan mewarnai pemandangan yang akan kita alami.

Sudut pandang kita dipengaruhi oleh banyak faktor seperti tahap pendidikan dan ilmu pengetahuan, cara didikan orang tua dan keluarga, adat resam dan budaya, pengalaman hidup dan pendedahan serta interaksi seharian.

Maka dalam setiap sudut pandang terhadap sesuatu perkara, manusia akan mengambil satu pendirian dalam ruang lingkup spektrum atau julat yang terletak di antara dua ekstrim – liberal atau konservatif. Adakala dia berada di sudut liberal dalam sesuatu perkara, namun berganjak ke sudut konservatif pula dalam hal yang lain. Malahan untuk satu perkara yang sama, sudut pandangnya boleh berubah tempat dari satu ekstrim kepada satu ekstrim yang lain, bergantung kepada maklumat, pengalaman dan situasi baru yang dialaminya. Mungkin juga, sesuatu yang dianggap pandangan liberal hari ini, menjadi sudut pandang yang konservatif dalam tempoh lima puluh tahun akan datang.

Di tengah-tengah kedua sudut pandang ekstrim tersebut, terletaknya kesederhanaan yang mengambilkira semua faktor dan keadaan. Pendirian ini cuba mengimbangi dan bersikap adil terhadap kedua ekstrim. Bukan mudah untuk membentuk sudut pandang yang sederhana. Pendirian sebegini juga bukan simbol kelemahan atau kebaculan, namun satu usaha serius mencari keseimbangan dan keharmonian, yang memerlukan tahap kebijaksaan dan hikmah yang tinggi, keikhlasan dan ketelusan serta kematangan dan keberanian . Inilah keupayaan yang harus ada dalam diri umat yang digelar Allah SWT sebagai ummatan wasatan – umat pertengahan ( mafhum ayat 143 surah Al Baqarah : Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”).

Secara fitrahnya, manusia kurang senang dan tidak selesa bila berhadapan dengan pandangan, pendapat dan pendirian yang berbeza dengan apa yang dipegangnya. Dalam satu interaksi kalah-menang, pasti akan berlaku perbalahan dan pertembungan yang sengit, demi untuk menegakkan hujah dan pendapat masing-masing. Ini akan membawa kepada perseteruan dan permusuhan antara dua kelompok yang berbeza, saling menyakiti dan membenci bila sahaja berlaku pertembungan.

Bagi kelompok yang lebih lemah atau sedikit, seringkali mereka mengambil pendekatan toleransi atau terpaksa mengalah dan mendiamkan diri untuk mengelakkan perbalahan yang lebih serius dengan kelompok yang ternyata lebih agresif dan berpengaruh. Keharmonian yang terhasil adalah sesuatu yang dangkal dan bersifat luaran semata (superficial). Bila-bila masa sahaja, ketegangan akan mudah tercetus sekiranya ada faktor provokasi dan kacau ganggu yang muncul di tengah-tengah masyarakat yang sebegini.

Demi membangun sebuah masyarakat yang lebih progresif dan harmoni – satu pendekatan yang lebih bijak adalah dengan mengambil jalan tengah bagi meraikan kepelbagaian pandangan, pendapat dan pendirian yang ada. Lebih usaha diambil untuk mengambilkira sudut pandang orang lain, sekalipun kita tidak semestinya bersetuju dengan mereka.

Kesatuan bukanlah satu keadaan di mana semua orang tunduk patuh dan 100% setuju dengan hanya satu sudut pandang dan perspektif sahaja. Kesatuan adalah apabila satu masyakat itu mampu berkomunikasi secara asertif, terbuka dan berpeluang untuk berterus terang menyatakan pandangan dan pendirian masing-masing tanpa kebimbangan disisihkan, dipinggirkan atau didiskriminasi. Kita bersetuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) dalam banyak perkara dan situasi realiti semasa yang berada di sekeliling kita.

Sesiapa yang berani menjadi umat pertengahan – harus cukup bersedia untuk sentiasa dianggap sebagai mereka yang liberal oleh kelompok yang bersudut pandang konservatif, dan dalam masa yang sama sentiasa dilihat sebagai seorang yang berfikiran kolot dan konservatif oleh kelompok yang bersudut pandang liberal dan radikal.

Ayuh fikir-fikirkan.... mudah-mudahan fikir menjadi zikir, insyaAllah.

Moga Allah SWT membimbing dan memilih kita sebagai ummatan wasata yang menjadi penyelamat dunia hari ini.

Wallahu a’lam


Professor Dr. Hajjah Harlina Haliza Binti Haji Siraj