Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Monday 13 July 2009

Indahnya Islam, Indahnya waktu bersama...


Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam persahabatan


Dua hari ahad berturut-turut saya telah meluangkan masa untuk bersama saudara-saudara baru kita (revert sisters). Suatu pengalaman dan keseronokan luar biasa telah menjadi ketagihan, dengan menggarap kemahiran berinteraksi dengan mereka yang dahagakan Islam. Cabaran utama ialah penggunaan gaya bahasa yang mudah dan berhujjah secara kognitif yang perlu diperkayakan dengan pelbagai analogi.


Hari ahad yang pertama, saya menghabiskan masa di bandar DiRaja Kuala Kangsa bersama Nuratiqah Abdullah @ Shanty. Seorang pelajar kolej perubatan "MasterSkills", semester ketiga. 'Atiqah yang berasal daripada Kucing, Sarawak tinggal di Permai Lake View apartment, Hulu Kinta. 'Atiqah pernah berkerja sebagai operator kilang di Pulau Pinang dan mengenali Wan Nadiah (Kak Adi) dari USM. Saya menghubungi 'Atiqah melalui SMS sejak tahun lepas lagi berbekalkan nombor telefon yang diperolehi daripada Neena Umi . Awal tahun ini, 'Atiqah telah bersedia menemui saya dan kami makan malam bersama untuk beberapa kali. 'Atiqah juga pernah bermalam di rumah, outing ke Cameron Highland dan menemani saya ke jemputan walimah. Hubungan bertambah erat dan mesra. 'Atiqah sedang belajar iqra' sering merujuk saya sebagai kakak angkatnya kepada kawan-kawannya.



Hari ahad yang lepas, gembiranya saya tidak terkata apabila dipertemukan dengan seorang saudara baru, Jubaidah Abdullah daripada Bostwana, Afrika. Seorang pelajar pharmasi UniKL tajaan kerajaan Bostwana juga di semester ketiga. Walaupun daripada Afrika tetapi kulitnya lebih cerah daripada saya. Mendiang ayahnya seorang Filipina. Ayah tiri dan ibunya ialah ahli perniagaan Bostwana. Jubaidah tinggal dengan kawan-kawan beragama kristian seramai 27 orang di kondominium mewah di Bercham. Nikmat dan rahmat ikatan keimanan dalam Islam dilimpah-ruahkan di segenap penjuru hati kami dalam pertemuan itu. Hafsah Chung Abdullah turut serta bersarapan dengan kami di Dulang Coffee House, Hotel Excelsior. Hafsah seorang guru mandarin dan bahasa melayu di SMK Raja Chulan. Terasa bagai telah mengenali satu sama lain sejak dulu lagi. Allah telah permudahkan segala urusan kami pagi itu. Saya sungguh bahagia menatap wajah-wajah tenang lagi bercahaya mereka yang disulami dengan gelak ketawa semasa kami berbual. Pertemuan pertama saya dengan Hafsah ketika saya dijemput mengendalikan ceramah motivasi "Remaja Hanya Sekali" kepada sekumpulan ahli Puteri Islam Raja Chulan pada tahun lepas. Kami kerap SMS dan bertemu di rumah Hafsah. Ibu Hafsah yang berusia dalam awal 80-an yang sakit tua tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Hafsah merupakan anak tunggal dan mempunyai seorang abang angkat (juga berbangsa Cina) yang bergilir dengannya untuk menjaga ibu mereka.



Allah telah menghamparkan seluas-luas peluang untuk saya melakukan kebaikan dengan menyantuni ketiga-tiga saudara baru ini. Saya banyak berkongsi ilmu dan membekal bahan-bahan bacaan kepada mereka. Hafsah mendampingi seorang rakan guru yang banyak memberikan bimbingan manakala Jubaidah menghadiri kelas bimbingan agama di Green Town. Cuma Nuratiqah yang perlukan jadual bimbingan yang lebih teratur yang sedang saya usahakan. Mereka yang sungguh istimewa ini merupakan suatu anugerah kepada kita. Ketiga-tiga mereka berfikiran terbuka, positif serta berpegang teguh kepada prinsip. Kesemua mereka berasal daripada agama kristian. Mereka berdebat dengan paderi masing-masing tentang konsep rapuh "trinity" dan tidak berpuas hati dengan jawapan yang tidak konsisten paderi-paderi mereka hinggalah mereka menemui hidayah Allah, Allahuakbar!. Segala kekusutan fikiran mereka selama ini terongkai sudah setelah menemui jalan pulang yang mereka cari-cari, Alhamdullilah. Sebagai tambahan, Nuratiqah pula terpesona dengan disiplin yang dianjurkan oleh Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang diterima oleh Allah. Hafsah, Nuratiqah dan Jubaidah ini golongan terpilih, terpilihara dan sunggung beruntung. Allah memilih mereka untuk bersama-sama kita dalam usaha-usaha meninggikan kalimah Allah bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia sejagat.


"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (Al Ikhlas: 1-4)



"Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan."
(A-li Imran:83)




"(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
(Ar Ruum:30)

Sungguh Islam ini untuk orang-orang mahu berfikir dan sentiasa aktif berfikir akan kehebatan ayat-ayat (tanda-tanda) Allah. Keimanan pula perlu dicari, sentiasa dipelihara, dipupuk dan dibajai. Mereka yang malas berfikir, mengabaikan nikmat-nikmat keislaman, terus lalai, dibuai dengan permainan syaitan durjana dan tidak mampu menolak keinginan nafsu jahat, mengundang azab Allah. Mereka tidak mampu melihat cahaya keimanan, Allah telah memasang halangan / dinding pada hati, fikiran dan pandangan mereka. Mereka tenggelam punca, kabur matlamat hidup akibat kesan pemahaman ketauhidan Allah yang lemah. Kesannya, segmen dalam masyarakat kita tanpa mengira golongan remaja ataupun dewasa telah dihanyutkan dengan pelbagai Illah yang menggelapkan kehidupan dan tanpa mereka sedar terheret ke jurang kebinasaan. Maka lahirlah pelbagai program yang disusun untuk menyedarkan mereka kembali ...tanggungjawab ini terpikul di bahu kita semua...contohnya program ABJZ: Anda Bijak Jauhi Zina...

Allahu Alam, setakat ini dahulu. Terima kasih kerana sudi menziarahi PERMAI KASTURI !!!