Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Wednesday 5 February 2020




Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
1 Februari 2020 / 7 Jamadilakhir 1441H
JANGAN KEMBALIKAN PPSMI, KEMBANG DAN MANTAPKAN DLP
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) membantah ura-ura untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sepertimana yang pernah dilaksanakannya sebelum ianya dimansuhkan pada tahun 2011.

PPSMI dalam bentuk yang asal telah terbukti tidak berjaya sehingga menyebabkan kerajaan membatalkannya.

Unsur utama PPSMI ialah 'paksaan' ke atas semua sekolah tanpa kecuali untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Ini berlaku, walaupun terdapat sekolah yang tidak mempunyai persediaan yang cukup dari segi sumber, prasarana dan guru yang kompeten.

PPSMI telah digantikan dengan program Program Dwi-Bahasa (DLP) pada tahun 2016* yang memberikan pilihan yang luwes kepada sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk melaksanakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris berdasarkan beberapa syarat.

IKRAM berpandangan program DLP lebih praktikal dan memberi peluang ibu bapa membuat pilihan. Oleh itu, ia wajar dikembangkan dengan memberi sokongan yang sewajarnya kepada sekolah yang bersedia untuk melaksanakannya.


Maklumat yang diperolehi daripada ahli IKRAM yang bertugas sebagai guru menunjukkan bahawa program DLP seperti yang dilaksanakan sekarang juga masih menghadapi kesukaran terutama mendapatkan guru yang mempunyai kepakaran dan berkeupayaan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Oleh itu, tidak banyak sekolah yang berupaya melaksanakannya. Jika ini merupakan hakikat dalam pelaksanaan DLP, pelaksanaan PPSMI pastinya akan menghadapi masalah yang lebih besar dan bakal menemui kegagalan.

IKRAM umumnya bersetuju dengan keperluan meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat. Oleh itu, Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) perlu diperkasakan.

Program pengukuhan Bahasa Inggeris, Highly Immersive Programme (HIP) perlu dimantapkan dengan membuat pemantauan pelaksanaan yang berkesan di semua sekolah.

Prof Dr Omar Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia