Wednesday, 4 November 2009

Kehidupan - hanyalah suatu persinggahan...

Hari ini...menjelang ulang tahun kelahiran saya, Allah memberi peluang untuk saya menghadiri majlis pengurusan jenazah Allahyarham Jamilah binti Ngah Ghazali @ Nyah. Allahyarham dalam usia awal tujuh puluhan telah pulang ke rahmatullah pada jam 7:00 pagi tadi setelah mengidap penyakit Hipertitis B .

Al-Fatihah.
Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala kebaikan dan amalannya, memperluaskan tempat tinggalnya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan rohnya bersama roh para solihin. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmatnya, ketabahan dan kesabaran kepada setiap ahli keluarga Allahyarham. amin.

"...(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” [al-Baqarah 2: 156]

“ Tidak ada seorang pun yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan : Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un, Allahumma’jurnii fi mushibatii wa akhliflii khoirom-minha ( Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita akan kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang menimpaku ini dan gantilah aku dengan yang lebih baik darinya) kecuali Allah akan memberi pahala atas musibah yang menimpanya dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya.”

Muslim 2/233

*******************************************
Lirik Nasyid: Kehidupan

Kesenangan yang datang tak akan selamanya….
begitulah selepas susah ada ada kesenangan….
seperti selepas malam datangnya siang…
oleh itu waktu senang jangan lupa daratan
gunakan kesempatan untuk kebaikan…
sebelum segalanya terlepas dari genggaman…
kelak menyesal nanti tak berkesudahan…
apa guna sesalan hanya menekan jiwa….

JANGAN DIPIKIR DERITA AKAN BERPANJANGAN
KELAK AKAN MEMBAWA PUTUS ASA PADA TUHAN
INGATLAH BIASANYA KABUT TAK BERPANJANGAN
SETELAH KABUT BERLALU PASTI CERAH KEMBALI

ujian adalah tarbiyah dari Allah…..
apakah kita kan sama……… ataupun sebaliknya……
kesenangan yang datang selepas kesusahan..
semuanya adalah nikmat dari Tuhan….

Saturday, 31 October 2009

Pak Din Dalca, Jalan Jelutong...

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Perpaduan dan Salam Satu Malaysia...

Dua kalimah akhir tu belum pernah saya gunakan kecuali buat pertama kali pada pembukaan bicara saya sebagai speaker yang pertama "Bicara Bestari" setelah Dr. Shah selaku moderator juga ketua kumpulan 1.8, memperkenalkan saya sebagai Cik Hajah Norhayati Sidek dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dalam forum olok-olok kursus PTK. Kumpulan saya merupakan kumpulan terakhir...sememangnya penantian itu suatu penyiksaan! "Bagaimana konsep Satu Malaysia diintegrasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran" begitu lah lebih kurang tajuk forum semasa persembahan kumpulan kursus Penilaian Tahap Kecekapan(PTK)di Hotel Sunway, Penang pada 26 Oktober hingga 30 Oktober yang lalu. Bagus juga, secara tidak langsung saya membaca dengan sepenuh hati tentang konsep Satu Malaysia yang harus saya "Walk The TalK" dalam forum tersebut yang diajukan dengan dua soalan secara terancang oleh rakan sekumpulan.

Dua minggu sebelum tu, saya asyik menyiapkan "Knowledge Sharing: Plan To Excel" sebanyak dua puluh muka surat dan bahan untuk "Public Speaking" bertajuk "Personal approaches to stress management strategies"...wah..wah...wah..sedapnya berkata-kata tapi ada di antara pendekatan yang pernah saya amalkan, ada yang telah lama saya tinggalkan dan ada yang terus menerus saya amalkan, semoga Allah sentiasa limpahkan kesabaran dan kekuatan, amin. "Stress is dynamic conditions confonted by individual with opportunities, constraints and demands, which related to what he or she wants and perceive to be important and uncertain" ...hafal aku dibuat nya! STRESS: S=Solution for stress, T = Time Management, R = relaxation techniques(contoh : deep breathing dan tidak pernah lupa pesanan Rasululllah tercinta: Sabar & Solat, yang ini tidak tersebut masa tu), E = Physical exercise ( yang ini susah sikit, Ampang bowling centre membership pun dah expired, brisk walking pun dah lama ditinggalkan) SS = Social support (there is no one man island, even though I am perceived to be "alone" by some people tapi sahabat dan kenalan saya ramai, alhamdulillah). Sumber diperolehi daripada "Organization Behaivior" Oleh Stephen Robbins (1993),Prentice Hall, International Edition.

Pada hari untuk memulakan perjalanan ke Penang, saya masih sibuk menyiapkan tugas-tugas yang tertangguh di hadapan kerusi-kerusi kosong di bilik kuliah J8. Produktiviti saya menurun apabila terlalu fokus kepada PTK dan sering menjadi "hamba fail" di tempat kerja, penting tetapi itu lah hakikat. Puan Roslin Ong Abdullah memberitahu saya tentang pemergian Allahyarham Akmal ke rahmatullah, ketua unit J8 yang meninggal petang ahad kerana kemalangan jalan raya. Mungkin, rakan pensyarah lain rasa tidak mahu saya terkejut dan terganggu fikiran sebab itu saya terdapat tahu berita kematian pada menjelang tengahari isnin itu. Berita hidup mati usahlah dijadikan bahan senda gurauan. Peristiwa untuk kita insafi akan detik dan ketikanya bila dan bagaimana pengakhiran hayat kita. Harus kita insafi setiap kali kematian berlaku kepada keluarga kita, berlaku kepada orang lain dan setiap kali kita mengiringi jenazah di perkuburan. Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham Akmal, menerima segala amalan dan kebaikannya, memperluaskan tempat tinggalnya, menempatkan rohnya bersama roh para solihin dan syuhada', meningkatkan kesabaran dan dipermudahkan segala urusan ibu, bapa dan ahli keluarga yang dikasihi untuk meneruskan kehidupan dengan tabah, amin.

Saya terus bertekad untuk melalui proses PTK dengan memandu solo ke George Town, sempat juga "rehearsal public speaking" dalam "Excellente" dan berpandukan jam digital LCD. Ternyata banyak perkara yang saya pelajari menjelang dan semasa kursus PTK. Ada perkara yang menjadi rutin hidup saya telah terabai kerana mengutamakan persiapan untuk PTK. Bilik dah macam stor untuk segala macam buku dan fail...risau juga jika Allah menjemput saya dalam keadaan kesibukan begitu walau pun hati ini sentiasa berusaha untuk tidak pernah melupakan Nya, seperti setiap kali doa yang dilafazkan selepas solat, yang diajarkan oleh Rasulullah kepada Muadz Bin Jabal: "Ya Allah, jadikan lah aku hambaMu yang sentiasa mengingati Mu, mensyukuri nikmat Mu dan mengerjakan ibadah dengan sempurna kepada Mu". Saya "shut off" segala aktiviti sosial untuk sementara. Saya fahamkan rakan-rakan dan para sahabat tentang perkara-perkara yang sedang dan bakal saya lalui. Saya hubungi emak dan sahabat-sahabat terdekat...suara dan kata-kata mereka menjadi azimat dan 'stress buster'. Banyak ketika semasa solat saya terlupa bilangan rakaat sehingga bersujud sawi, begitulah hebatnya "penangan PTK", hal duniawi yang terpaksa diharungi. Keadaan yang memangkin saya untuk lebih banyak membaca, menggarap kemahiran menulis dan berkomunikasi. Cukuplah sekali sahaja bagi setiap tahap, amin.

Pengalaman yang sungguh berharga, diperkayakan dengan pelbagai perkongsian pengalaman daripada rakan-rakan peserta kursus di kalangan guru-guru cemerlang dan guru-guru mengajar subjek STPM, mengenali lebih rapat hati budi rakan pensyarah IPG,Ipoh...insan-insan prihatin dan berjiwa mulia, saya sungguh terharu dengan layanan mesra mereka, terasa bagai sebuah keluarga besar di Hotel Sunway itu. Pada hari pertama, saya meraikan kejayaan melepasi "hurdle" pertama iaitu "public speaking", dengan seorang rakan lama, Shamsina... seorang ketua bidang di Sekolah Sultan Yussuf, Batu Gajah yang kebetulan sama-sama berkursus tetapi di tempat yang berbeza, Hotel Hydro Majestic(Nama baru bagi "Hotel Ferengghi Beach Resort" yang bertukar syarikat pengurusan)...Hotel di mana tercetusnya idea kajian tindakan saya yang kerdil pada tahun 2006: "My Smiling Zone: Building Rapport Within The Classroom With Miss Data Smile Strategy". Saya dan Sham "pekena laksa" di gerai yang tidak jauh daripada Hotel Hydro Majestic(Hydro bermaksud air sebab dibina air terjun tiruan di pintu masuk nak ke hotel, dan mungkin juga hotel berhadapan dengan laut). Hotel yang dikhususkan untuk ketua-ketua jabatan IPG dan golongan pemimpin di sekolah.

Berbalik dengan cerita di Hotel Sunway Penang. Hari sebelum hari peperiksaan iaitu hari khamis...saya sudah tidak tahan lagi. Saya dah usahakan, sumbangkan dan lakukan yang terbaik mungkin untuk kumpulan. Para malaikat Allah menjadi saksi...I deserve to pamper myself: "Must get out from the Hotel, look at the outside world" dan tumpukan perhatian kepada peristiwa yang bakal saya tempohi pada hari esok yang pastinya lebih mencabar...". Saya pun secara solo menziarah gerai mamak di Jalan Chowrasta, menikmati cucur udang dua pinggan dan air serbat (sorbet) campur yang lazat. Kemudian ke Jalan Jelutong, membeli nasi briani untuk makan malam di gerai dalca sedap kegemaran saya...tukang ceduk lauk, anak kepada Pak Din, pun menyapa mesra saya sebagai pelanggan tetap kalau berkunjung ke Penang. Konsep macam Maria Tengku Sabri...Jalan-Jalan Cari Makan. "Do what ever that will make you happy..so I did it, i mean, enjoy the local cusine!".

Saya mahu "studi menonggeng", menonggeng tidur pun ya juga...realistik lah kan. Berbekalkan nota-nota semasa PTK DG44, (semua isi kandungannya masih boleh digunakan hingga bila-bila, cuma peringkat penilaian sahaja yang berbeza) saya pun studi, terlena, studi terlena begitulah berulang kali hinggalah muazzin di masjid berdekatan, mengumandangkan azan subuh dengan merdu dan syahdu sekali. Kerana PTK, saya beli beg tangan baru, tempah baju baru, "seronok" dalam "stress", semoga berbaloi-baloi, semoga Allah terima segalanya sebagai ibadah...amin. Sekadar berkongsi pengalaman. Allahu 'alam.

Wednesday, 23 September 2009

Sungguh Permai Ramadhan dan Eidul Fitri 1430H...






Para pembaca yang dirahmati Allah. Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh dan Salam lebaran!
Saya mulakan bicara dengan mengucapkan "Taqabbalallahu minna wa min kum: semoga Allah menerima segala ibadah kami dan anda di sepanjang bulan Ramadhan kareem yang lalu", amin.

Lebaran kali ini sungguh permai sekali. Permai bermaksud:mendatangkan rasa puas dan nyaman, keindahan dan keelokkan(Kamus dewan edisi keempat),jika permai terkait dengan mana-mana entiti, ia hanyalah satu kebetulan yang indah. Begitulah juga hasrat, dan impak yang diharapan terhasil daripada penulisan di blog PERMAI KASTURI ini. Semoga tercetus lah hendaknya rasa nyaman,kepuasan dengan santapan minda dan spiritual yang disajikan serta terkesan berpanjangan di sanubari pengunjung serta pembacanya, hingga membuahkan amal dengan pengetahuan yang diperolehi,amin.

Permai kerana Allah memberi keselesaan untuk saya berpuasa sebulan penuh, alhamdulilah. Saya juga berkesempatan untuk beribadah dengan mereka yang saya kasihi di pelbagai premis...seperti kompleks Al Hidayah Ipoh, Masjis Sultan Idris Teluk Intan, Masjid Taman Seri Setia Teluk Intan, Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh, Masjid An-NUR Universiti Teknologi Petronas Tronoh, Masjid UIA Gombak dan Masjid As-Syakirin Gombak. Saya tidak keseorangan, rasa permai dan bertuah kerana masih ramai teman dan taulan yang ingin menemani saya untuk mencorakkan kanvas sisa-sia hidup saya, alhamdulilah.

Rasa permai menjadi seorang ahli seumur hidup NGO Islam yang berdaftar, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang setia dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatannya. Iftar bersama anak-anak Yatim dan sumbangan kepada Fakir miskin. Saya berpeluang mempengerusikan mesyuarat perwakilan wanita JIM Negeri Perak dan turut terlibat dalam pemilihan barisan kepimpinan sesi 2009-2011 bagi JIM Bandaraya Ipoh yang permai, dalam bulan Ramadhan Al Mubarak.

Permai hati ini mengenangkan jiran-jiran yang prihatin turut menceriakan Ramadhan kali ini serta menyumbangkan suasana ketenangan kepada saya untuk beribadah. Jiran sebelah saya, seorang ibu tunggal, tinggal keseorangan, mempunyai tujuh orang anak yang telah dewasa, menghulurkan setalam juadah untuk berbuka. Sahabat saya, Fauziah Ali dan suaminya "Chef" Ainol Azhar melebihkan "master piece" mereka untuk saya, berupa "Ikan Talapia Berlado" dan "Rendang Podeh daging" yang keenakan nya sukar dilupakan. Permai hati saya melihat jiran-jiran saya yang lain, berbahagia dengan keluarga dan kehidupan masing-masing, alhamdulilah. Permai bersahur dengan "rendang pedas udang" dan menghabiskan "Gulai Tauchu Ikan Tongkol" selama seminggu masakan bonda tercinta di Bulan Ramadhan ini.

Hati Pilu tetapi permai merelakan seorang sahabat yang menemui Allah di hari khamis(tanda-tanda husnul khotimah,insyaAllah), setelah berkesempatan menghatam Al Qur'an dan beribadah di malam ke-27 Ramadhan. Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala ibadah, melapangkan tempat tinggal dan mempermudahkan segala urusan Allahyarham, amin.

Allah menghilangkan kesedihan dan segera mendamaikan hati saya di bulan mulia yang penuh dengan keberkatan ini daripada provokasi-provokasi verbal dan tindakan jelik segelintir manusia yang tidak mengerti...bahawa setiap tindakan mereka tetap akan dinilai oleh Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Adil.

Jubaidah Abdullah memeriahkan sambutan syawal dengan menemani saya di "Barokah" pada malam hari raya. Hafsah Chung Abdullah memeluk erat saya, sambil menitiskan air mata sejurus selesai mendengar khutbah solat Eidul Fitri kerana sungguh terharu diberi kesempatan oleh Allah untuk meraikan syawal yang sungguh bermakna dengan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah tercinta. Muncul pula Ezween (bersama ibunya), anak murid kesayangan saya yang sekian lama ingin menemui saya di pintu keluar Masjid Jalan Dairy...sungguh mengharukan dan mendamaikan hati saya. Saya meraikan syawal bersama Jubaidah, Hafsah dengan orang tua saya di kampung dan menziarahi rakan-taulan di sekitar Batu Gajah dan Ipoh. "Darling" saya, Noora, suaminya Hisham, anak-anak mereka: Aiman, Ehsan, Raihana, Annisah dan Najwa memgunjungi "Barokah"...letih melayan mereka sebagai tetamu-sahabat tetapi hati berbunga-bunga serta permai... mata hitam saya menjadi biru sejak 30 Ramadhan hingga 3 Syawal dalam banyak ketika kerana berbahasa inggeris sepanjang masa berinteraksi dengan sahabat handai bersama-sama saudara baru kita, Jubaidah dan Habsah. Alhamdulilah, seperti orang lain juga, saya dihujani dengan SMS ucapan dan doa lebaran tetapi SMS yang satu ini sungguh istimewa dan menyentuh hati dari orang yang istimewa...

"SALAM SYAWAL...Ya Allah, ketika berakhirnya ramadhan yang penuh barokah ini dan munculnya Idul Fitri yang mulia, Engkau muliakan dan sayangi penerima ucapan ini, berkati dirinya, sihatkan tubuh badannya, limpahkan rezeki yang halal untuknnya, jauhkan daripada fitnah, penganiayaan, penghinaan. Suburkan benih keimanan dengan penuh rasa kasih sayang serta taqwa tanpa alasan. Makbulkan doa serta cita-citanya yang murni. Amin Ya Rabbal A'lamin. Salam Idul Fitri..." Begitulah bunyinya SMS daripada seorang sahabat yang sangat saya senangi. Alhamdulilah.

Permai dan damai apabila menikmati alunan nasyid ini...

Jendela Hati
Artist: Firdaus
Song Category: Nasyid

Aku ingin hidup secerah mentari pagi
Yang menyinari di taman hatiku
Aku ingin seriang kicauan burung
Yang terdengar di jendela kehidupan

Aku ingin segala-galanya damai
Penuh mesra membuahkan ceria
Aku ingin menghapuskan duka dan lara
Melerai rindu di dalam dada

Sedamai pantai yang memutih
Sebersih titisan embun pagi
Dan ukhuwah ini pasti berputik
Menghias taman kasih yang harmoni

Seharum wangian kasturi
Seindah ceria pelangi
Segalanya kan bermula di sini
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Ya Allah, sesungguhnya,aku memohon kepada-Mu seluruh kebaikan yang ada, untuk mampu melakukan segala kebaikan, meninggalkan segala kemungkaran, mencintai orang-orang miskin, dan terimalah taubatku, ampunilah aku serta kasihanilah aku. Ya Allah, dan aku memohon kepada Mu untuk mampu mencintai-Mu, mencintai orang-orang yang mencintai-Mu dan mencintai amal yang menghantarkanku untuk mampu mencintai-Mu. Ya Allah, sesungguhnya, aku memohon kepada-Mu akan hal-hal yang menyebabkan turunnya rahmat-Mu, dorongan yang mendatangkan ampunan-Mu, keselamatan dari segala noda dosa, keuntungan dari segala kebaikan, keberuntungan akan syurga-Mu, dan keselamatan dari api neraka", Amin Ya Rabbal alamin.

Allahu alam. Sekian dahulu.

Saturday, 22 August 2009

Jaminan Kualiti ?!



Salam Ramadhan Kareem, didoakan para pembaca sekalian sihat sejahtera di musim cuti sekolah kali ini yang penuh barokah. Semoga Allah melimpahkan kerahmatanNya, kekuatan dan kesabaran kepada kita untuk berusaha memanfaatkan setiap detik berharga dalam menjalani ibadah di bulan istimewa yang dikurniakan khas untuk umat jujungan Nabi Muhammad s.a.w., amin.

Lebih sebulan lamanya, rindunya saya untuk berceloteh di PERMAI KASTURI walaupun hampir setiap hari saya melayari internet tetapi kesibukan berkerja, Ketidakmampuan berkarya disebabkan keletihan fizikal dan mental yang di luar jangkaan menghalang terbitnya ide-ide bernas untuk menyelubungi minda. Setiap kali memikirkan isu untuk diperkatakan, saya akan terus dibuai ke alam mimpi.

Pada hari khamis, 20 Ogos 2009 yang lalu, Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh, menyambut "Hari Kualiti" nya. Banner sambutan hari kualiti di gantung di pintu masuk utama bagi menggantikan banner sebelumnya yang memaparkan barisan wajah-wajah mereka yang bertanggungjawab bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan produk di Pusat latihan Perguruan itu. Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur yang mengatur majlis tahunan itu sebaik mungkin di zaman kegawatan ekonomi. Penyediaan dan pembacaan ikrar kualiti yang panjang lebar bertujuan menagih warga IPG Ipoh mengamalkan kualiti di segenap ruang lingkup perkhidmatan dan penampilan diri mereka dibaca oleh para hadirin dengan penuh semangat. Tahniah juga kepada barisan penerima "Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ", APC. Dr. Ismail Zain, tokoh motivasi kementerian Pelajaran Malaysia, pensyarah Jabatan TMK telah bertungkus lumus menyampaikan ceramah "berkualiti" kepada warga Dewan Seri Melati yang terdiri daripada para pensyarah sebagai golongan cerdiakawan dan staf bukan akademik iaitu kumpulan pekerja yang tidak kurang pentingnya, yang merupakan nadi jentera pentadbiran dalam sesebuah organisasi. Seperti biasa, dalam mana-mana penilaian dan pertandingan, telah menjadi adat, mereka yang diberi penghargaan tinggi tersenyum lebar bagi menggambarkan kebahagiaan jiwa. Mereka yang menyaksikan majlis "gilang gemilang" itu pula ada yang tersenyum simpul dan terdapat juga mereka yang melemparkan senyuman kelat. Allah sahaja yang Maha Mengetahui lintasan hati pemilik-pemilik senyuman tersirat itu.

Yang sudah pasti, pemilihan untuk APC atau sebarang penilaian komprehensif terhadap kejayaan seseorang bukanlah sesuatu yang mudah kerana kualiti merupakan pengukuran tahap kecemerlangan, sesuatu yang subjektif dan bergantung kepada banyak faktor yang memerlukan penelitian dan kawalan rapi. Dalam hal ini, tanggungjawab pihak kepimpinan untuk menyediakan segala jenis kemudahan dan persekitaran yang baik bagi meyuburkan kualiti dalam perkhidmatan (Pembinaan Insan Guru) dan penghasilan produk (Insan Guru Berkualiti), tidak boleh diremehkan. Di antara elemen-elemen tersebut ialah penyediaan prasarana yang baik, suasana fizikal dan ruang berkerja yang sama kondusif, agihan tugas yang saksama dengan merujuk kepada tabii subjek yang diajar, suasana persaingan yang positif, kesamaan peluang untuk memajukan diri, menyantuni para "whistle blower" dalam "check and balance" demi penambahbaikkan organisasi dan kejelasan kerja dalam satu pasukan. Setiap mereka yang dipimpin pula harus dilihat mempunyai potensi yang sama hebat dengan sumbangan mereka tersendiri bagi kecemerlangan organisasi.

Soal kepimpinan bukanlah isu yang boleh dipermain-mainkan kerana kedudukan pemimpin yang 'adil amat mulia dan tinggi di sisi Allah. Justeru, kepimpinan bukan satu keistimewaan(privilage)malah suatu tanggungjawab yang amat berat yang terpaksa dipikul dan pasti akan dipersoalkan kelak. Setimpal dengan bebanan kepimpinan, ganjaran kepada seorang pemimpin yang 'adil sungguh lumayan dan mahal harganya. Doa golongan istimewa ini dikabulkan Allah akhirnya. Pemimpin yang 'adil adalah di antara mereka yang mendapat naungan 'Arasy Allah di akhirat kelak, ketika tiada tempat berlindung kecuali naunganNya.

"Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu; doa seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. Doa-doa mereka itu diangkat Allah ke atas awan, lalu dibuka pintu-pintu langit, Allah s.w.t akan berfirman: 'Demi kemuliaan-Ku, Aku akan menolongmu..."
(Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Di Universiti Ramadhan yang kita semua bakal graduannya nanti, turut dituntut menitik beratkan kualiti ibadah. Sememangnya, mudah memberi nasihat dan bermain kata-kata daripada melaksanakannya, semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan memberi kekuatan kepada kita dalam berpesan-pesan dan mengamalkan pesanan tersebut.

Puasa yang berkualiti akan terkesan kepada semua jenis amalan kita di luar bulan Ramadhan. Sujud kita, sujud berkualiti. semasa bersujud memikirkan perkara-perkara akhirat, tidak terpaut dengan hiasan dunia serta tidak mengingatkan ibadah lain selain daripada bersujud. Doa kita, doa berkualiti. Menurut Abdul Hamid Al Bilali dalam buku "Taujih Ruhiyah, jilid 2, Di antara ciri-ciri orang bersujud, mereka berdoa dengan
1) mengingati dosa-dosa lalu dan berharap diampunkan
2) mengingati dosa-dosa sekarang dan khuatir ia mempengaruhi amal-amal shalih
3) mengingati amal-amal shalih takut tidak diterima
4) mengingati orang-orang shalih, amalan mereka dan berharap disatukan bersama mereka
5) meminta keperluan dunia dan yakin Allah kabulkan
6) takut akan su'ul khotimah
7) berharap terus bertahan keshalihan, ketaqwaan dan bertaqarrub kepada Allah

Alhamdulilah, Allah masih memberi kita peluang untuk beramal di bulan Ramadhan kali ini. Telah ramai sahabat-sahabat dan ahli keluarga meninggalkan kita menjelang tiba nya bulan yang mulia ini. Justeru itu, marilah sama-sama kita menghindarkan diri daripada tabiat melengah-lengahkan mengerjakan kebaikan dan berhasrat untuk melakukan pelanggaran sama ada sengaja atau tanpa disedari di luar bulan Ramadan kerana kita tidak memiliki ilmu untuk menjangka sama ada diberi peluang lagi untuk terus beramal hingga ke penghujung Ramadhan ini dan di Ramadhan yang akan datang. Allahu 'alam. Selamat Beribadah Di Bulan Ramadhan Al Mubarak, Semoga Diterima Allah, amin.

Monday, 13 July 2009

Indahnya Islam, Indahnya waktu bersama...


Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam persahabatan


Dua hari ahad berturut-turut saya telah meluangkan masa untuk bersama saudara-saudara baru kita (revert sisters). Suatu pengalaman dan keseronokan luar biasa telah menjadi ketagihan, dengan menggarap kemahiran berinteraksi dengan mereka yang dahagakan Islam. Cabaran utama ialah penggunaan gaya bahasa yang mudah dan berhujjah secara kognitif yang perlu diperkayakan dengan pelbagai analogi.


Hari ahad yang pertama, saya menghabiskan masa di bandar DiRaja Kuala Kangsa bersama Nuratiqah Abdullah @ Shanty. Seorang pelajar kolej perubatan "MasterSkills", semester ketiga. 'Atiqah yang berasal daripada Kucing, Sarawak tinggal di Permai Lake View apartment, Hulu Kinta. 'Atiqah pernah berkerja sebagai operator kilang di Pulau Pinang dan mengenali Wan Nadiah (Kak Adi) dari USM. Saya menghubungi 'Atiqah melalui SMS sejak tahun lepas lagi berbekalkan nombor telefon yang diperolehi daripada Neena Umi . Awal tahun ini, 'Atiqah telah bersedia menemui saya dan kami makan malam bersama untuk beberapa kali. 'Atiqah juga pernah bermalam di rumah, outing ke Cameron Highland dan menemani saya ke jemputan walimah. Hubungan bertambah erat dan mesra. 'Atiqah sedang belajar iqra' sering merujuk saya sebagai kakak angkatnya kepada kawan-kawannya.



Hari ahad yang lepas, gembiranya saya tidak terkata apabila dipertemukan dengan seorang saudara baru, Jubaidah Abdullah daripada Bostwana, Afrika. Seorang pelajar pharmasi UniKL tajaan kerajaan Bostwana juga di semester ketiga. Walaupun daripada Afrika tetapi kulitnya lebih cerah daripada saya. Mendiang ayahnya seorang Filipina. Ayah tiri dan ibunya ialah ahli perniagaan Bostwana. Jubaidah tinggal dengan kawan-kawan beragama kristian seramai 27 orang di kondominium mewah di Bercham. Nikmat dan rahmat ikatan keimanan dalam Islam dilimpah-ruahkan di segenap penjuru hati kami dalam pertemuan itu. Hafsah Chung Abdullah turut serta bersarapan dengan kami di Dulang Coffee House, Hotel Excelsior. Hafsah seorang guru mandarin dan bahasa melayu di SMK Raja Chulan. Terasa bagai telah mengenali satu sama lain sejak dulu lagi. Allah telah permudahkan segala urusan kami pagi itu. Saya sungguh bahagia menatap wajah-wajah tenang lagi bercahaya mereka yang disulami dengan gelak ketawa semasa kami berbual. Pertemuan pertama saya dengan Hafsah ketika saya dijemput mengendalikan ceramah motivasi "Remaja Hanya Sekali" kepada sekumpulan ahli Puteri Islam Raja Chulan pada tahun lepas. Kami kerap SMS dan bertemu di rumah Hafsah. Ibu Hafsah yang berusia dalam awal 80-an yang sakit tua tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Hafsah merupakan anak tunggal dan mempunyai seorang abang angkat (juga berbangsa Cina) yang bergilir dengannya untuk menjaga ibu mereka.



Allah telah menghamparkan seluas-luas peluang untuk saya melakukan kebaikan dengan menyantuni ketiga-tiga saudara baru ini. Saya banyak berkongsi ilmu dan membekal bahan-bahan bacaan kepada mereka. Hafsah mendampingi seorang rakan guru yang banyak memberikan bimbingan manakala Jubaidah menghadiri kelas bimbingan agama di Green Town. Cuma Nuratiqah yang perlukan jadual bimbingan yang lebih teratur yang sedang saya usahakan. Mereka yang sungguh istimewa ini merupakan suatu anugerah kepada kita. Ketiga-tiga mereka berfikiran terbuka, positif serta berpegang teguh kepada prinsip. Kesemua mereka berasal daripada agama kristian. Mereka berdebat dengan paderi masing-masing tentang konsep rapuh "trinity" dan tidak berpuas hati dengan jawapan yang tidak konsisten paderi-paderi mereka hinggalah mereka menemui hidayah Allah, Allahuakbar!. Segala kekusutan fikiran mereka selama ini terongkai sudah setelah menemui jalan pulang yang mereka cari-cari, Alhamdullilah. Sebagai tambahan, Nuratiqah pula terpesona dengan disiplin yang dianjurkan oleh Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang diterima oleh Allah. Hafsah, Nuratiqah dan Jubaidah ini golongan terpilih, terpilihara dan sunggung beruntung. Allah memilih mereka untuk bersama-sama kita dalam usaha-usaha meninggikan kalimah Allah bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia sejagat.


"Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". (Al Ikhlas: 1-4)



"Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah mereka dikembalikan."
(A-li Imran:83)




"(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
(Ar Ruum:30)

Sungguh Islam ini untuk orang-orang mahu berfikir dan sentiasa aktif berfikir akan kehebatan ayat-ayat (tanda-tanda) Allah. Keimanan pula perlu dicari, sentiasa dipelihara, dipupuk dan dibajai. Mereka yang malas berfikir, mengabaikan nikmat-nikmat keislaman, terus lalai, dibuai dengan permainan syaitan durjana dan tidak mampu menolak keinginan nafsu jahat, mengundang azab Allah. Mereka tidak mampu melihat cahaya keimanan, Allah telah memasang halangan / dinding pada hati, fikiran dan pandangan mereka. Mereka tenggelam punca, kabur matlamat hidup akibat kesan pemahaman ketauhidan Allah yang lemah. Kesannya, segmen dalam masyarakat kita tanpa mengira golongan remaja ataupun dewasa telah dihanyutkan dengan pelbagai Illah yang menggelapkan kehidupan dan tanpa mereka sedar terheret ke jurang kebinasaan. Maka lahirlah pelbagai program yang disusun untuk menyedarkan mereka kembali ...tanggungjawab ini terpikul di bahu kita semua...contohnya program ABJZ: Anda Bijak Jauhi Zina...

Allahu Alam, setakat ini dahulu. Terima kasih kerana sudi menziarahi PERMAI KASTURI !!!

Monday, 22 June 2009

Seronoknya bercuti...



Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam persaudaraan


Para pembaca budiman...


Tiga minggu lamanya saya bercuti daripada menjalankan tugas-tugas rasmi di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), kampus Ipoh. Sepanjang dua minggu saya memperuntukkan masa untuk menulis cerpen "Ayah Penyuluh Hidupku". Saya dapati agak sukar untuk bercerita tentang Abah yang tersayang berbanding dengan cerita Emak yang dikasihi. Bukan gender bias tetapi itulah hakikat. Mungkin kita lebih rapat dengan ibu. Sejak dalam kandungannya hinggalah kita dewasa, kita banyak mendampingi ibu berbanding ayah. Kedua-dua mereka penting dan sama banyak jasanya kepada kita. Ibu bertarung nyawa untuk melahirkan kita di dunia. Ibu lebih memahami serta mahir soal-soal pendidikan dan jiwa berbanding Ayah. Syeikh Amru Khalid menghujahkan fenomena ini dengan menyatakan kaum hawa dicipta Allah daripada tulang rusuk nabi Adam (as) semasa baginda sedang tidur. Sebab itu, kaum wanita mampu menahan kesakitan waktu bersalin dalam keadaan jaga dan lebih ramai wanita terlibat dalan sektor pendidikan, kejiwaan dan kekeluargaan berbanding kaum lelaki yang lebih tertumpu kepada kerjaya yang berkait rapat dengan alam semula ladi dan tanah. Allahu 'alam.

"Ya Allah, ampunilah aku, kedua ibubapaku dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani aku sejak kecil. Ya Allah peliharalah mereka, muliakanlah mereka, perelokkanlah kesihatan mereka, terimalah segala kebaikan mereka, panjangkan umur mereka dalam kebaikan, kumpulkan kami semua di dalam syurga FirdausMu...wahai Tuhan yang Maha Pengasih, amin."


Di samping itu saya sibuk memeriksa skrip jawapan SCE 3111: Evaluation in Science Teaching di minggu pertama "Key in" markah dan mengawas peperiksaan di awal minggu kedua. Begitulah tugas pendidik, cutinya tidak seperti pekerja di sektor lain. Pengorbanannya kepada organisasi tetap dituntut sepanjang masa dengan upah yang tidak setimpal dengan jasa yang mereka taburkan malah ada yang memandang sinis tentang cuti yang mereka nikmati bersama pelajar. Hanya Allah jua yang mencukupkan ganjaran kelak, amin. Saya sengaja tidak mengundang "vitamin W" pada musim cuti kali ini. Biarlah beri peluang kepada mereka yang lebih memerlukan daripada saya. Hasilnya fikiran dan jiwa saya lebih sejahtera. Saya juga mengambil peluang untuk melakukan spring cleaning, mengemas pohon-pohon hijau dan flora di laman Barokah yang agak terbiar disebabkan kesibukan tugas harian. Moga-moga saya tergolong dalam mereka yang melakukan kebaikan yang kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu dan ketiadaannya dirindui selalu. Bukanlah hendaknya saya tergolong dalam lingkungan mereka yang ketiadaannya menyebabkan orang lain terhindar daripada kejahatan tutur kata dan tindakannya.Wanauzubillahi min zalik.

Saya juga telah melakukan beberapa penambahan kepada listing blog saya. Saya cuba-jaya dulu sama ada lebih berkesan cara ini. Saya berusaha untuk update kan setiap minggu bagi menggarap kemahiran menulis saya. Saya ingin berkongsi hasil pembacaan saya secara terperinci dalam blog bahasa Inggeris : To Smile and Not To Smile dan perkongsian maklumat keguruan dalam Remaja Hanya Sekali. Lawatan dan feedback anda amat dialu-alukan dan dihargai. Terima kasih.

Alhamdulilah, saya juga telah berpeluang lebih mendampingi zamrud dan nilam di taman hati saya di sepanjang cuti kali ini. Masih ramai lagi delima-delima yang masih tidak dapat saya sebutkan lagi di sini. Dengan melihat wajah mereka sahaja, jiwa menjadi tenang. Apabila berbicara dengan mereka, kesejahteraan terasa, ilmu bertambah dan mereka mengingatkan kita tentang kematian.
Tidak dapat nak digambarkan, diucapkan dengan menyusun huruf-huruf kekunci lab top ini, betapa cemasnya hati dan berserabutnya fikiran ini ketika mereka diuji Allah dengan musibah. Kesedihan mereka merupakan kesedihan kita, keperitan mereka adalah keperitan kita, senyum tawa mereka menceriakan kita. Hanya bisikan doa dengan iringan linangan air mata yang mampu dizahirkan semasa bermunajat kepada Maha Pencipta lagi Maha Pengasih di atas anugerah yang sungguh bernilai ini. Nilai cinta dan kasih sayang yang tidak mampu ditolak dari pemberian seorang sahabat. Allah telah memakbulkan doa saya dan menemukan saya dengan sahabat-sahabat yang dapat menolong saya untuk taat kepada Allah. Jazakumullahu khairan kathira Kerisisiah Mohd Daud ( Kak Mah), Noorazila Ngah Ghazali (Noora) dan ramai lagi butiran permata-permata di taman hati.

Rasulullah bersabda di dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Seseorang mengikuti orang yang ia cintai”


“Siapa pun orang yang engkau cintai, dialah yang akan bersamamu pada hari Kiamat. Aku mencintai Nabi (s.a.w) dan aku mencintai para sahabat. aku mencintai orang-orang yang suci, terdidik, terhormat, dan beragama. InsyaAllah, engkau pun akan datang pada hari Kiamat bersama mereka. Seseorang akan dikumpulkan dengan orang yang mereka cintai”
(Amru Khalid, 2007).

Amin.



Monday, 15 June 2009


"Sesungguhnya jika orang mukmin bertemu dengan mukmin lainnya, lalu ia mengucapkan salam kepadanya, meraih tangannya, dan berjabat tangan, maka tercerai-berailah dosa-dosa keduanya sebagaimana daun-daun pepohonan yang jatuh berserakan" [ Al Hadis]


"Dan bersabarlah engkau bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini. Janganlah engkau mengikuti orang yang hatinya telah kami lalaikan dari mengingati kami, serta menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas" (Al- Kahfi: 28)