Assalamu 'alaikum wbt & Selamat bercuti warga pendidik serta para remaja yang dikasihi,
Jika diikutkan kata hati, memang rasanya ingin tidur, berehat dan bersantai sepanjang masa sejak mula bercuti pada pertengahan bulan November yang lalu. Alhamdulilah, Allah sentiasa memimpin segala tindakan kita jika kita selalu memohon pimpinanNya setiap masa. Setiap perkara berlaku bagai diatur untuk menjadi pengajaran bagi kita yang mudah lalai dengan kehidupan dan kurang bijak menguruskan diri. Banyak peristiwa yang boleh dijadikan peringatan betapa berharganya masa, pengisian kehidupan dan erti pengorbanan mereka yang kita kasihi dan mereka yang mengasihi kita sama ada dizahirkan atau pun tidak tetapi melalui beberapa pentunjuk, mereka sebenarnya memang mengasihi kita serta mereka di dalam organisasi kita atau di luar organisasi kita...yang bersama-sama dalam perjuangkan kehidupan....
Peristiwa yang ingin saya kongsikan bersama ialah peristiwa kematian rakan pensyarah Encik Chong Lip Keong di Jabatan Matematik lebih sebulan yang lepas. Mendiang segak, berbadan rembang dan tinggi lampai orangnya. Berusia di awal lima puluhan dan masih bujang. Seorang yang rajin berkerja, "Mesra Alam" dan kadang kala "moody". Pemandu kereta yang sangat cermat. Saya berpeluang menjadi penumpangnya berserta seorang lagi rakan pensyarah perempuan semasa menghadiri kursus beberapa tahun yang lalu. Mendiang seorang berpengetahuan luas di dalam bidangnya khususnya matematik dan mandarin. Seorang pencinta ilmu pengetahuan, berjiwa seni dan penulis buku-buku kesusasteraan bahasa Cina yang konsisten. Mendiang merupakan pensyarah mandarin sambilan di UITM, Tronoh. Mendiang tidak lokek ilmu, sentiasa ingin berkongsi apa yang beliau hasilkan atau temui untuk dinikmati oleh semua rakan-rakan. mendiang sering ditemui di padang Polo untuk bersenam bagi mengekalkan tahap kesihatan yang tinggi. Hingga di saat-saat akhir hayatnya, beliau ditemui menghembus di saat terakhirnya sambil bersenam di atas sofa di kediamannya di Taman Perpaduan yang mendiang miliki dan tinggal bersendirian ( keadaan jenazah dan "dumb bell" yang ditemui di sampingnya sebagai bukti). Rakan-rakan pensyarah bergegas ke rumah mendiang , apabila beliau telah gagal dijejaki selama empat hari. Masih tergiang-giang lafaz "good morning" yang mendiang lemparkan kepada saya dua minggu sebelum mendiang diserang penyakit jantung. Kehilangan mendiang turut saya rasai hingga ke hari ini. Pemergian mendiang untuk selama-lamanya, menginsafkan saya tentang nilai kehidupan dan hubungan sosial yang sihat di kalangan ahli masyarakat serta saling ambil berat tentang rakan, sahabat dan ahli keluarga kita walau di mana mereka berada.
Minggu yang lepas, warga Institut Perguruan di seluruh Malaysia turut digemparkan dengan kematian secara tiba-tiba.. Allahyarham Dato' Razali Ismail ( semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama para solihin, amin) bekas pengarah Bahagian Pendidikan Guru dan timbalan menteri pelajaran akibat serangan jantung semasa bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland. Terasa baru semalam, kami mendengar ucapan dasarnya yang penuh berwawasan, namun tidak semuanya berkesampaian.
Tidak lupa juga dengan trajedi kepulangan ke rahmatullah, Allahyarham ustaz khairuddin di stesen Petronas, Jelapang yang sungguh menyayatkan hati kita semua.
Para pembaca budiman, inilah realiti dan ciri-ciri ajal. Maut datang pada waktu yang kita tidak dapat dijangkakan dan pada detik kita paling kurang bersedia. Ketiga-tiga insan yang dikisahkan di atas, masih ingin meneruskan kehidupan dan perjuangan mereka jika kita "mampu bertanya kepada roh mereka". Hakikatnya, khidmat dan pengorbanan mereka masih lagi diperlukan oleh keluarga dan masyarakat. Ketiga-tiga insiden ini menyedarkan kita betapa rapuhnya kehidupan dunia, maut akan menjenguk kita tepat pada masanya tanpa mengira agama yang kita anuti, darjat serta pangkat. Menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa berusaha dan mengharapkan, setiap detik yang kita lalui dipenuhi dengan aktiviti-aktivi yang berguna dan menepati piawaian Allah. Yang lebih penting lagi, semuanya nanti dikira sebagai ibadah oleh Allah, insyaAllah. Kita mempunyai misi...kejadian kita bukan sekadar kebetulan...bukan sekadar untuk mengisi masa...tapi kita telah diprogramkan sejak azali untuk memikul tanggungjawab yang besar dan murni...memakmurkan bumi Allah ini dengan kalimahNya dan melaksanakan Islam sebagai satu-satunya cara hidup...Allah mengingatkan kita supaya sentiasa sedar dengan misi kita...tidak mabuk dan lalai dengan kehidupan kerana....setiap tindakan kita akan dipertanggungjawabkan...Awasilah masa kita...sama ada kita seorang penganut agama Islam atau bukan Islam, anak, ibubapa, pelajar, pendidik, remaja, dewasa, lelaki, perempuan, miskin, kaya, cantik, hodoh dan sebagainya...jangan biarkan ia berlalu dengan sia-sia.
Firman Allah dalam surah At- Takathur: 1-8 yang bermaksud:
"Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu masuk ke dalam kubur.
Sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu),
kemudian sekali-kali tidak! Kelak kamu akan mengetahui.
Sekali kali tidak!Sekiranya kamu mengetahui dengan pasti,
niscaya kamu akan benar-benar melihat neraka jahim,
kemudian kamu benar-benar akan melihatnya dengan mata kepala sendiri.
kemudian kamu benar-benar akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang megah di dunia itu)".
Memang benarlah kata-kata Allah. Allahu 'alam...hingga jumpa lagi...
No comments:
Post a Comment