Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

Friday, 12 December 2008

Siapalah kita tanpa mereka...


Salam,
Sehari sebelum sambutan aidil adha, saya menerima sms daripada salah seorang pelajar saya yang bernama Ehsan ( Tok syeikh unit F5). Beliau menyampaikan berita sedih untuk kami kongsikan iaitu pulangnya ke rahmatullah ayahanda rakan seunitnya iaitu Azmi. Al Fatihah...Semoga Allah ampunkan segala dosa Allahyarham, menerima segala amalannya dan menempatkan rohnya bersama para solihin. Hanya kata-kata perangsang sahaja yang dapat saya kirimkan kepada Azmi sekeluarga supaya redo dan tabah menghadapi ujianNya. Tidak dapat saya gambarkan emosi Azmi dalam mengharungi hari-hari tanpa ayah lagi di sisi dalam masa terdekat ini. Azmi...sabar dan redo dengan ketetapan Allah juga merupakan ibadah, insyaAllah.
Pembaca sekalian, berusahalah untuk berbuat baik kepada kedua ibubapa kita dengan kemampuan yang kita ada bagi meraih rahmat Allah yang tiada batasnya. Dengan hanya merenung wajah mereka berdua dengan penuh kasih sayang, kita beroleh ganjaran pahala daripada Allah. Ambillah peluang untuk mengucup tangan mereka seberapa kerap yang mungkin. Dakaplah mereka dan lafazkanlah "sayang" kepada mereka bagi menghargai kehadiran mereka dalam hidup kita. Bagi mereka yang berjauhan dengan ibubapa, peruntukkanlah masa untuk selalu menziarahi mereka. Gembirakanlah hati mereka dengan apa cara sekali pun mengikut kemampuan kewangan kita. Jadikan detik-detik kita menemui mereka sentiasa merupakan masa yang paling bahagia dan berkualiti kita bersama mereka...seolah-olah ia merupakan saat-saat terakhir kita dengan mereka...sama ada kita yang akan meninggalkan mereka atau salah seorang mereka akan meninggalkan kita buat selama-lamanya selepas pertemuan itu...
Alhamdulillah, Allah Maha Mengetahui betapa "berbunganya" hati saya apabila diberi kesempatan untuk menyambut hari ulang tahun saya yang ke-46 bersama ibu yang dikasihi. Ibu saya merupakan orang yang pertama mengucapkan "selamat hari jadi" pada detik 12:01 pada 5 November 2008 yang lalu. Ibu yang telah berusia 68 tahun itu saya bawa menaiki kapal terbang untuk (kali pertama ibu menaiki pesawat udara) bercuti di Kota Bahru, Kelantan selama 4 hari 3 malam. Ibu menyatakan terima kasih dan menzahirkan rasa seronok semasa pesawat melalui kepulan awan dalam perjalanan pulang ke KLIA.
Semasa dalam berperjalananlah kita akan mengenali seseorang itu dengan lebih rapat lagi...kita akan ketahui kekuatannya...kelemahannya...kesukaanya dan perkara-perkara yang menyebabkan dia tidak seronok.

Lebih kurang seminggu selepas itu, saya, ayah dan adik perempuan saya sekeluarga meredah persisiran pantai timor dalam satu ekspedisi berkereta yang telah lama dirancang oleh ayah. Saya bagaikan "co-pilot" ayah. Ayah yang seorang bekas tentera benar-benar melatih saya untuk mahir membaca peta Malaysia lengkap milik beliau dengan penuh disiplin dan sistematik. Banyak perkara tentang ketenteraan yang beliau ceritakan semasa ekspedisi kami. Tujuan asal kami ialah untuk ke Gambang yang terletak kira-kira 20km daripada bandar Kuantan, Pahang untuk meraikan majlis berkhatan anak saudara saya (cucunda ayah), Zairul Naim bin Zaidee pada hari sabtu pertama hari cuti sekolah. Kami menginap di Hotel Seri Malaysia, Kuantan yang memberikan perkhidmatan yang cekap lagi mesra jika di bandingkan dengan hotel-hotel Seri Malaysia yang lain. Kami berpuas hati dengan rancangan Astro, hidangan sarapan yang enak lagi pelbagai dan yang paling mengembirakan kedua-dua anak saudara saya (anak-anak adik perempuan saya) ialah kolam mandi yang bersih. Saya "tabik spring" kepada ayah...beliau yang berusia 71 tahun, merupakan seorang pemandu yang cekap lagi cermat. Kami menyusuri pantai Cherating, Pahang singgah sebentar di pantai Rantau Abang, Terengganu untuk menikmati udara segar dalam setengah jam, makan tengahari di bandar Kertih, Terengganu dan akhirnya menginap di Hotel Temenggong di Kota bahru, Kelantan serta makan "ayam percik Yati" pada malam hari nya. Saya ada juga "merenggek" kepada ayah untuk singgah di Kemaman untuk menikmati sata dan keropok lekor di Besut tapi semuanya tidak dilayan oleh ayah...takut juga saya memaksanya nanti tak pasal-pasal kena tengking oleh ayah pulak...teruslah hilang "mood" kami untuk bercuti. Saya tahu kenapa ayah mengejar masa...ayah sukar memandu pada waktu malam kerana beliau rabun malam (alhamdulilah saya tidak mewarisi penyakit itu tapi kakak saya Noraini mendapat tempias rabun ayah). Sudah menjadi kelaziman saya untuk menjamu selera sepuas puasnya dengan juadah tempatan sambil melancung. Bagi saya, pasar Siti Khadijah adalah syurga makanan bagi saya walaupun berulang kali saya ke sana...saya tidak jemu dengan kepelbagaian hidangan yang ditawarkan. Alhamdulilah. Kami pulang melalui Grik setelah sedikit tersasar selama setengah jam di Kuala Krai. Setelah hujan lebat di Kuala Kangsar, akhirnya ayah benarkan saya memandu selama lebih kurang empat puluh minit. Saya memandu bagaikan dipantau oleh pengarah JPJ. Apabila hujan telah reda, emosi saya turut reda apabila mengembalikan "steering" kereta kepada ayah. Sejak dari hari itu, hubungan saya dengan ayah lebih akrab, saya diminta untuk menemaninya ke sana dan ke sini untuk sesuatu urusan...bagaikan "body guard" ayah...( ada sedikit "perasan"). Begitulah sedikit perkongsian aktiviti saya bersama kedua-dua orang tua saya...Ia cukup membahagiakan saya walaupun tindakan saya tidak seberapa jika dibandingkan dengan peluang anda untuk berinteraksi dengan ibu dan ayah anda yang lebih terbuka dan kerap. Allahu 'alam...sekadar renungan bersama. Jumpa lagi...

1 comment:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum,

Cik Yati,

Sangat beruntung masih mempunyai kedua ibu dan ayah di samping diri. Terus-terusanlah menghargai kehadiran mereka dalam kehidupan dan juga jasa mereka. Suatu nikmat dan anugerah daripada Allah yang tidak harus dipersiakan.

Wasalam,

Saya yang sudah lama tidak beribu ayah lagi...Moga mereka berbahagia di sampingNya di sana..Amin

NeenaUmi