Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Sunday 28 December 2008

Ketidakpastiaan yang nyata...

Ada yang bertanya ke mana saya menghilang buat seketika. Alhamdulilah, apabila ada yang merasakan ketiadaan saya, terasa kewujudan diri ini dihargai. Secara tidak langsung menggambarkan kejayaan saya berinteraksi dengan sahabat handai serta anggota masyarakat. Ia mendorong saya untuk lebih mendalami kemahiran berkomunikasi supaya "connect" dengan lebih ramai insan dan berkenalan serta bertukar-tukar fikiran dengan mereka.

Saya telah diarahkan bermesyuarat akademik di Hotel Goldcourse, Klang selama tiga hari mulai hari Rabu, 17 Disember yang lalu. Bandar Di Raja kesultanan Selangor yang mahsyur pada suatu ketika dulu telah menjelma sebagai "Little Indonesia". Suasana yang kelam dengan kebanjiran pendatang asing ini kurang menghiburkan, alhamdulilah ada pelawaan Ogie ke Shah Alam, hati menjadi girang untuk bertemu Fikri, Faris dan Farhana. Semasa di sana, saya telah diraikan oleh Ogie sekeluarga dengan menikmati makan malam jumaat di Muara Ikan Bakar, Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang. Bahagia nya saya dengan layanan kelas pertama Ogie, menikmati pelbagai juadah makanan laut dan suasana nyaman pelabuhan klang pada waktu malam. Fauzi, suami Ogie bergurau "Nak berjalan jauh memang kena menikmati makan ", kebetulan beliau akan berangkat ke Egypt keesokan harinya atas urusan rasmi sebagai "model designer" bagi syarikat SHARP. Saya seronok berbual dengan Fauzi yang berpengetahuan luas khususnya dalam bidang ekonomi dan teknologi. Banyak input baru yang saya perolehi setiap kali bertemu dengannya. Ogie sungguh bertuah dianugerahkan suami yang "gentlemen", menghargai wanita dan secara zahirnya memahami dan menyantuni wanita, "humble" walaupun berpangkat tinggi, menjelajahi hampir semua pelusuk dunia, memiliki hampir segalanya...isteri yang cantik serta warga korprat yang berjaya, anak-anak yang comel lagi ta'at dan kekayaan harta. Setiap kali saya menceritakan tentang "spiritual journey" saya dan menyebut tentang perjuangan Rasulullah s.a.w, ada sebak dalam pertuturannya. Mereka berdua menjayakan misi kita melalui perniagaan secara terancang. Ogie seorang pensyarah di Institut Perguruan, "full swing" dengan Zhulian mana kala Fauzi pula "all out" dengan "perniagaan teknologi" di samping membantu dan memberi sokongan yang padu kepada perniagaan Ogie. Setiap hari mereka berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat sambil memasarkan produk mereka. Mereka jelas dengan hala tuju dan tujuan mereka. Aset dan kekuatan yang menguntungkan mereka ialah komunikasi yang baik dengan semua orang termasuk pembantu rumah Indonesia yang mereka"pelihara" bertahun-tahun lamanya. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan Ogie sekeluarga kerana memperuntukkan masa untuk saya dalam kesibukan tugas harian mereka dan jadual ketat untuk menghantar anak-anak ke kelas renang di musim cuti ini.

Satu perkara yang saya telah gadaikan yang hampir bertahun saya tidak lakukan iaitu memboikot daripada menjamu selera di restaurant makanan segera Amerika seperti McDonald, KFC dan Pizza Hut sebagai protes tindakan mereka menggunakan sebahagian keuntungan untuk menyokong Amerika dan Israel memerangi dunia Islam khususnya Palestin. Saya "cair" dengan undian anak-anak Ogie yang kelaparan selepas satu kelas renang untuk makan tengahari jumaat, 19 Disember di McDonald yang saya sebut sebagai WcDonald ("wek donald" pinjam lawak Mawaddah Abdul Aziz) di seksyen 3, Shah Alam. Saya kurang pasti sejauh mana mereka memahami rasional yang masih tersimpan di hati saya. Saya serahkan saja pada Fauziah Hashim dan Fauzi dalam menanggani isu ini. Mereka lebih mengetahui pendekatan yang sesuai dalam mendidik waris mereka. Saya bermalam di rumah Ogie selepas makan malam di muara sungai Klang. Dia menghantar saya ke tempat mesyuarat pada jam 8:00 pagi dan menjemput saya semula untuk makan tengahari bersama anak-anaknya dan berehat di rumahnya sekali lagi sebelum menaiki bas ke Johor pada jam 3:00 petang.

Saya menghabiskan cuti saya dengan menziarahi Paksu Muhammad Tahir, adik bongsu Abah yang menduda hingga kini dan tinggal bersama enam orang anak-anak remajanya di Taman Universiti, Skudai. Di sana, saya mengambil kesempatan juga untuk menziarahi sepupu saya, Puan Rosnah binti Mat di Kluang. Saya tidak menyangka sambutan hangat sepupu saya sekeluarga kali ini khususnya dalam memperkenalkan "Kluang Railway Coffee" di kopitiam terkenal yang hanya lima minit berjalan kaki dari kediamannya. Saya pun tidak melepaskan peluang langsung untuk melayan anak tekak saya dengan aroma kopi yang menyelerakan dan hidangan "bun & Butter" yang sungguh lazat di stesen keretapi Kluang. Di Bandar Baru Ipoh (bersebelahan dengan stokis Zhulian), terdapat cawangan kopitiam ini tapi suasana dan kelazatannya tidak akan sama seperti pengalaman sendiri di Kluang.

Banyak perkara yang saya amati di Johor Darul Takzim khususnya. Saya terus berfikir dan merasa hairan semasa perjalanan pulang ke Ipoh pada hari Natal...kenapa sebahagian manusia alergik kepada kemuliaan malah ramai yang bangga dengan "pelanggaran-pelanggaran" batas yang mereka amalkan. Sepatutnya manusia yang berfikiran waras mengejar kemuliaan. Bersyukur dengan limpahan nikmat kesihatan, kekayaan material dan keupayaan berkasih sayang sesama insan yang dianugerah oleh Allah yang Maha Berkuasa lagi Perkasa. Jika kita mengasihi seseorang, kita akan mengambil hatinya setiap masa, kita akan lakukan apa sahaja untuk membahagiakan dan menggembirakannya. Kita tidak akan cuba sedaya upaya untuk tidak menyakiti hati nya dan jauh sekali melakukan perkara-perkara yang akan mencari kemarahanya. Ada kalanya, kita rela tersiksa dan menderita demi merelakan orang yang kita kasihi itu bahagia. Itulah sebenarnya penilaian dan harga cinta dan kasih yang sejati. Bukan ingin membandingkan cinta manusia dengan cinta kepada Allah kerana tidak layak kita lakukan seperti itu. Tapi sekadar analogi bagi melontarkan padangan tentang hakikat cinta hakiki kita terhadap Allah, Pencipta kita. Kita ingin Allah kasih kepada kita, kita lafazkan cinta kita kepada Allah yang tidak berbelah bahagi tetapi pada masa yang sama tindakan kita tersasar dan tidak mencerminkan cinta kita kepada Allah.

Kita tidak semesti perlu melakukan perubahan jika tidak perlu. Tetapi yang pasti, kita perlu melakukan penambahbaikkan. Jika kita pernah melalui kegagalan dalam liku-liku kehidupan...Janganlah mudah berputus asa kerana kegagalan sebenarnya merupakan kejayaan yang tertangguh. Sempena sambutan tahun 1430 hijrah ini, marilah sama-sama kita melakukan penilaian dan disusuli dengan penghijrahan dalam apa bentuk sekali pun bagi penambahbaikan diri yang berterusan dengan sisa-sisa kehidupan yang masih dibenarkanNya. Semoga Allah sentiasa memberi kita kekuatan dan kemudahan serta memimpin setiap tindakan semasa dan masa depan kita. Fikiran kita tidak mampu menjangkau apa yang Allah habuankan untuk kita...yang pasti kita memohon agar Allah mengurniakan apa sahaja yang kita mampu lakukan dan Allah melimpahkan kesabaran yang tinggi dalam mengharungi kehidupan seterusnya yang tidak dapat kita gambarkan dan tiada kepastiaannya...hanya pada Allah kita berserah diri dan meletakkan pengantungan sepenuhnya. Biar Allah golongkan kita dalam mereka yang meredai dengan ketetapanNya dan mematikan kita dalam Iman dan Islam.

" ...Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadan muslim (berserah diri kepada-Mu)"
Surah Al A'raf: 126.

''...Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan"
Surah Al A'raf: 56

Hadis riwayat Tirmizi:
"Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling panjang umurnya dan baik amalannya. Dan seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya"

"Change is the law of life and those who change look only to the past or present are certain to miss the future." (John F. Kennedy)

Allahu 'Alam. Selamat Menyambut Ma'al Hijrah 1430H.

No comments: