Salam...
Para pembaca yang budiman lagi dikasihi sekalian...
Bukan mudah untuk meneruskan perjuangan hidup ini tanpa sistem sokongan yang kukuh khususnya bagi seorang wanita yang meniti usia empat puluhan dan melakukan persediaan untuk menuju ke alam warga emas. Aset seseorang wanita ialah umurnya. Kesuburannya menurun apabila umur semakin meningkat. Secara fitrah dan biologinya seseorang wanita mencapai kemuncak umur kematangan fizikalnya dengan tribulasi emosi pada umur 35 tahun. Pada ketika itu, kaum wanita seolah-olah mencapai akil balikh untuk kali kedua (rejuvenate). Setelah menghampiri usia empat puluhan, kaum hawa akan melalui perubahan fizikal, kesihatan dan "hormone imbalance". Para remaja dan mereka yang masih berusia awal tiga puluhan tidak akan memahami perubahan yang dialami oleh wanita di usia empat puluhan. Pada ketika usia empat puluhan, wanita lebih sensitif.., rakan dan sahabat sejantina memainkan peranan lebih penting dalam hidup mereka. Keperluan untuk berkawan menjadi lebih mendesak ketika itu. Memilih siapa kawan kita pada ketika itu amat penting bagi menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat. Dunia kita perlu terbuka dan luas...lingkungan teman-teman kita juga perlu pelbagai. Otak manusia yang bersifat sosial secara semula jadi akan dioptimumkan setelah bergaul dengan lebih kerap dengan insan-insan berilmu lagi 'alim. Latihan minda (intellectual exercise) akan memantapkan lagi fungsi otak dengan bersosial secara positif dan sihat.
Allah tidak menzalimi kita. Allah Maha Kaya. Dia menjadikan seisi alam ini untuk kegunaan dan bekalan untuk kita manfaatkan semasa kita singgah di alam syahadah ini. Pasangan hidup yang sepatutnya mendamaikan hati, anak-anak yang ramai yang membahagiakan kita, ahli-ahli keluarga sentiasa menyokong kita, usaha yang berterusan untuk mengumpul harta benda yang tidak pernah cukup dan tiada kesudahannya serta kesibukan yang kita "cipta" bagi mengisi usia yang semakin pendek dan akan berakhir pastinya.
Sama ada kita diuji dengan perkahwinan atau pun ditakdirkan membujang sepajang hayat, kita semua mempunyai misi yang wajib dilaksanakan. Memakmurkan bumi ini dengan kalimah Allah. Pengganti Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan risalah Islam dalam apa saja bentuk dan cara yang kita terdaya. Kalimat ini akan sentiasa diulang-ulang di Permai Kasturi ini sebagai peringatan bersama. Allah juga memberikan kita peluang untuk membuat pilihan sama ada untuk melaksanakanya atau tidak. Jika kita seorang yang waras, kita akan sentiasa memburu ilmu bagi membantu kita untuk terus menerus membuat keputusan yang tepat di samping berusaha melaksanakan misi kita menurut kemampuan dan batasan yang kita ada. Kita menghadapi risiko dengan setiap pilihan kita buat. Kita juga diberi habuan masing-masing. Jika ditakdirkan Allah tidak dikurniakan pasangan hidup di dunia ini...cukuplah Allah membahagiakan kita dengan menganugerahkan para sahabat yang sejati.
Rasulullah berpesan:
"Barangsiapa bersaudara dengan saudara kerana Allah ta'ala, maka Allah mengangkat darjatnya darjat di syurga yang tidak dia capai dengan sesuatu daripada amal perbuatannya"
"Mukmin itu menyukai dan disukai. Tak ada kebaikan pada orang yang tidak menyukai dan tidak disukai"
"Life is all about making choices". Semua orang berhak membuat pilihan mengikut keperluan dan keselesaan hidupnya. Saya seorang yang memilih. Saya akan berusaha mendampingi dan bermesra dengan semua orang. Tetapi hanya mereka yang terpilih sahaja yang akan saya raikan sebagai rakan dan sahabat. Persahabatan saya bukan untuk sehari dua..bukan untuk keperluan semasa sahaja tetapi diusahakan berkekalan hingga ke akhirat, di Syurga Allah, insyaAllah. Saya setia dengan persahabatan. Keluarga sahabat dan teman saya juga merupakan sahabat saya. Saya akan melakukan apa sahaja dengan sebaik mungkin demi menyuburkan persahabatan yang terjalin. Saya bukan ingin bergantung kepada anda tetapi memadai anda sebagai elemen yang membahagiakan saya...menyebabkan saya ketawa dalam banyak hal dan suasana...mendamaikan hati saya...menghilangkan keluh kesah saya...menerima saya seadanya...menjadi pendengar yang baik...seboleh mungkin membantu dan meyokong dalam usaha-usaha saya dalam merealisasikan misi hidup kita...sebolehnya juga berada di samping saya walaupun tidak melakukan apa-apa ketika saat-saat getir...penasihat saya di waktu senang dan sukar...teman berbicara dalam perbagai aspek kehidupan dan meningkatkan daya intelektual saya. Saya juga akan cuba sedaya upaya menjadi teman dan sahabat yang seperti ciri-ciri yang saya harapkan dari seseorang sahabat itu.
Pada saya persahabatan mempunyai nilai yang tinggi. Saya menghargai persahabatan walau bagaimana rapuh ia sekali pun. Orang yang tidak menghargai saya bermakna tidak menghargai persahabatan saya. Imam Al Ghazali menyatakan "Saling sayang dan cinta kerana Allah dan persaudaraan dalam agama itu termasuk ibadah paling tinggi. Hal itu termasuk buah mulianya akhlak"
Allah berfirman dalam surah Al Anfal, ayat 63 yang bermaksud:
"Walau bagaimanapun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka"
“Sehingga apabila dia menjadi dewasa dan cukup umurnya empat puluh tahun, berkatalah ia: ya TuhanKu! Berikanlah aku daya untuk mensyukuri kurniaMu yang telah Engkau kurniakannya kepadaku, dan kepada kedua ibu bapaku dan dorongkanlah aku untuk membuat amalan salih yang Engkau meredhainya”
(Al Ahqaf: 15)
Apabila anda di peringkat usia empat puluhan, keperluan spiritual anda turut meningkat. Secara tabiie nya, anda akan menjinakkan diri dengan majlis-majilis ilmu dan mendampingi golongan yang meningkatkan saham akhirat anda, dengan lebih kerap lagi. Anda akan rasa tertekan jika anda dilingkungi teman-teman yang tidak berfokus ke arah ini atau lebih cenderung dengan material atau membawa isu-isu yang boleh merosakkan dirinya dan amalan anda. Sampai ke suatu tahap, anda lebih bahagia jika tidak kerap menemuinya dan tidak mendapat maklumat tentangnya. Jika di suatu ketika, dia pernah menjadi sahabat karib anda, anda lebih rela menderita menanggung kerinduan daripada bertemu dengannya dan membuatkan diri anda senggsara selepas pertemuan tersebut. Anda berdoa agar Allah ganjari segala penderitaan itu semata-mata keranaNya.
Seperti mana kata-kata Imam Al Ghazali dalam Mukhtasar Ihya' Ulumiddin bahawa "memutuskan hubungan dengan orang yang bodoh itu ibadah kepada Allah"
3 comments:
sangat best entry sahabat ni.sarat dengan wisdom.huhu.keep up the good work mc yatty =)
TQ Kak Ila...my staunch blogging buddy!
TQ Kak Ila...my staunch blogging buddy!
Post a Comment