Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Sunday, 19 August 2018

Catatan Seorang Mujahid


RAHMAT ALLAH DI BUMI MAKKAH
Tak sampai sebulan memasuki pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), saya diberi penghormatan 'menumpang' keberkatan jemaah haji Malaysia yang melakukan ibadat haji tahun ini.
Terasa diri kerdil berada di bumi para anbiya, Ibrahim a.s yang pernah meninggalkan anaknya Ismail a.s. dan isterinya Hajar yang dengan hikmah Ilahi kemudiannya mengasaskan leluhur Muhammad S.A.W.
Bumi dengan sejarahnya yang panjang ini menjadikan diri kita mengimbau dengan insaf betapa agungnya sejarah umat ini.
Saya berpeluang menginsafi betapa risalah agung Muhammad S.A.W dipenuhi dengan tribulasi di Makkah selama 13 tahun, namun konsisten langkah Nabi akhir zaman membuahkan hasil di fasa Madinah sehinggalah tersebar di ceruk rantau dunia dan terus berkembang.
Saya menerokai ke dalam diri cuba memahami risiko, implikasi dan tribulasi jejak Muhammad S.A.W dan saya dapati keperibadian Muhammad itulah rahsia kejayaan.
Saya juga mengimani sepenuh keimanan, jika rahsia ini difahami dan dijadikan panduan, jaminan kejayaan akan sama ganjarannya di penghujung jalan nanti insya-Allah.
Keperibadian Muhammad S.A.W dikenali dengan segala sifat yang terkumpul di dalamnya erti kasih, kesopanan dan penyantunan.
Jiwa baginda terlalu luas sehingga tiada ruang yang tidak ditutup melainkan semua manusia akan diberi tempat yang selesa di dalamnya.
Keperibadian ini tidaklah semudah yang dijangkakan, ia menjangkau sekadar melabel dan menghukum tetapi merangkul dan menyantuni.
Kasih Nabi S.A.W sesama insan dan alam sekelilingnya menjadi aura yang cukup ampuh menangkis sebarang bentuk kebencian, permusuhan dan perseteruan yang lebih mudah jalannya.
Itulah perjuangan dan jalan sukar yang ditempuh walaupun manusia biasa akan memilih persimpangan perjuangannya di lorong gelap yang penuh kebencian dan permusuhan sebagai jalan pintas.
Inilah jalan Rahmatan Lil Alamin (RLA) yang kerananya nabi akhir zaman diutuskan.
Risalah ini menyentak hati dan pemikiran kebencian serta menyanggah ketaksuban kaum dan perseteruan sesama manusia.
RLA jalannya panjang , likunya tajam dan dakiannya memenatkan tapi hasilnya berbaloi.
Saya bercita-cita menggagaskan dan membumikan RLA dalam amanah sementara ini.
Biar belum sebulan, stamina saya telah diuji, malah kata caci saya telan reda, rupanya sukar membawa obor RLA, lebih mudah mengusung api kebencian dan permusuhan.
Saya akur dan cuba membaiki diri namun saya tidak akan tunduk kepada seruan menggila kebencian dan cacian apatah lagi menghukum dan melabel pesalah dan pendosa seolah mereka adalah penentu hujung hayat seseorang.
Dalam bahang bumi Makkah, saya sujud di hadapan Kaabah agar kukuhkan pijakan saya mendaki perjalanan ini.
Saya terus menangis agar Allah jayakan cita-cita ini dan janganlah kelemahan diri menguasai harapan kerdil ini.
Saya datang mendambakan bimbinganNya agar kembali nanti, saya masih membawa obor Rahmatan Lil Alamin dan berusaha menjejaki jalan Nabi Muhammad S.A.W.
"TIDAK AKU UTUSKAN DIKAU (WAHAI MUHAMMAD) MELAINKAN UNTUK MEMBAWA RAHMAT KE SELURUH ALAM INI"

Dr. Mujahid Yusuf Rawa
Catatan Makkah (menanti Wuquf)
18 Ogos 2018
7 Zulhijjah 1439

Thursday, 9 August 2018

Sayangi Malaysiaku: Masyarakat Majmuk

Kaedah mendapatkan sokongan dengan mensensasikan isu-isu agama dan kaum semakin kurang berkesan sebagai faktor daya penarik di dalam sesebuah kerajaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pengundi terutama di kalangan generasi remaja kini lebih mengutamakan aspek tadbir urus yang baik selain defisit keyakinan berlaku kerana faktor-faktor rasuah dan salah guna kuasa.

Titah baginda, pengundi mahukan tadbir urus yang berpaksikan undang-undang dan tidak kepada karisma seseorang individu. 

"Sentimen pengundi wajib dibaca secara tepat oleh kerajaan yang telah diberikan mandat memerintah.

"Sentimen pengundi juga wajib dijadikan panduan kepada parti-parti politik yang berusaha untuk meneruskan jangka hayatnya. 
"Sentimen pengundi yang lebih menumpukan kepada tadbir urus yang baik lagi telus, 
dan semakin kurangnya daya pengaruh isu-isu sensasi berteraskan agama dan kaum, membuka ruang luas untuk budaya politik di negara ini dapat dibangunkan atas penyebut atau denominator yang sama," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku 'Reflections on Malaysian Unity and Other Challenges' yang merupakan kompilasi tulisan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar dan diterbitkan  Zubedy (M) Sdn Bhd.

Dalam pada itu titah baginda, setiap negara menghadapi isu perpaduan, dan setiap negara menghadapi pelbagai cabaran yang tidak ada kesudahannya.

Malah titah baginda, negara yang komposisi warganya terdiri daripada rakyat yang seragam atau homogenous tidak sunyi daripada perselisihan dan tidak bebas daripada menghadapi cabaran.


"Apatah lagi bagi Malaysia, sebuah negara yang memiliki segala elemen mencabar untuk mewujudkan perpaduan.

"Warga Malaysia berlatar belakangkan pelbagai budaya, bertutur di dalam pelbagai bahasa, terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut pelbagai agama; di samping memiliki tahap pencapaian ekonomi dan intelek yang berbeza, melalui sistem pendidikan yang begitu pelbagai lagi berbeza, dipengaruhi pula oleh pelbagai idealisme politik yang dijuarai oleh parti-parti politik yang begitu banyak bilangannya, bagi sebuah negara kecil daripada segi keluasan geografi dan bilangan penduduk," titah baginda.

Titah Sultan Nazrin lagi, penggunaan bahasa Malaysia juga wajar dijadikan ramuan kejayaan yang berupaya dijadikan pemangkin untuk mengurangkan jurang perbezaan persefahaman antara kaum.

Sumber:  Astro Awani

Friday, 4 May 2018

Undian Anda Akan Dipersoalkan Kelak


ADAKAH MENGUNDI TIDAK DITANYA PADA HARI AKHIRAT?

Soal :

Benarkah perkataan orang yang berkata memilih pemimpin dalam pilihanraya tidak akan ditanya pada hari kiamat. Olih itu undilah siapa yang kita mahu undi. Pilihanraya hanya perkara dunia yang tidak ada hubungan dengan akhirat?

Jawab :

Pada sisi orang-orang atheis yaitu orang-orang yang tidak ada agama maka semua perbuatan manusia tidak akan dibicarakan pada hari akhirat bahkan akhirat pun tidak ada disisi mereka. Mereka adalah antara kafir yang paling keji diantara berbagai jenis kafir yang ada.

Adapun di sisi orang yang beriman maka wajib percaya bahawa di akhirat nanti semua perbuatan yang telah dilakukan olih manusia akan didatangkan dan dihisab. Tidak ada suatu pun yang terlepas dari hisab.

Bukan sahaja perkara besar seperti memilih pemimpin bahkan perkara yang kecil pun akan dihisab samada perbuatan itu baik atau jahat.

Firman Allah Taala :

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ  .  وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Artinya : “Maka siapa yang mengerjakan suatu amal baik sekalipun sekecil semut pasti akan dilihatnya (pada hari kiamat). Dan siapa yang mengerjakan amal jahat sekalipun sekecil semut pasti akan dilihatnya (pada hari kiamat).” (Al-Zalzalah : 7 & 8)

Apabila semua yang kecil dan besar akan dibicarakan maka jika baik amalnya maka syurga balasannya dan jika jahat amalnya maka neraka balasannya.

Hari kiamat ialah hari semua manusia akan melihat segala perbuatan yang pernah dia lakukan ketika hidup di dunia.

Firman Allah Taala :

الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ ۚ لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Artinya : “Pada hari kiamat itu setiap orang akan ditunjuk segala perbuatan yang pernah dia lakukan. Tidak dizalimi seorang jua pun pada hari itu. Sungguhnya Allah sangat segera menghisab.”
 (Mukmin : 17)

Dan Firman Allah :

وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَإِنْ كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَى بِنَا حَاسِبِينَ

Artinya : “Dan Kami akan hantarkan neraca timbangan amal yang adil pada hari kiamat. Maka seorang pun tidak akan dizalimi sedikit pun. Dan walaupun amalan yang seberat biji sawi pun akan Kami datangkan dengannya. Mencukupilah Kami sebagai yang menghisab.” ( Al-Anbiya’ : 47)

Ketika mengundi memilih pemimpin tangan digunakan untuk memangkah siapa yang dia pilih menjadi pemimpinnya. Tangan yang memangkah itu pasti akan menceritakan semula siapa yang dia pilih. Sekalipun undi adalah rahsia tetapi tangannya ada bersama ketika dia mengundi itu dan tangan akan menjadi saksi perbuatannya itu samada dia memilih yang dibenarkan olih Allah atau yang diharamkan olih Allah sekalipun mulutnya bolih bercakap bohong ketika di dunia.

Firman Allah Taala :

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Artinya : “Pada hari kiamat nanti akan Kami tutup mulut-mulut mereka dan Kami jadikan segala tangan mereka berkata-kata dan segala kaki mereka menjadi saksi dengan segala perbuatan yang telah mereka kerjakan.” (Yaasin : 65)

Dan sekalipun seseorang itu telah lupa siapa yang dia pilih ketika di dunia sebagai pemimpin maka Allah akan tunjukkan kembali semua yang telah dia lupakan itu.

Firman Allah :

يُنَبَّأُ الْإِنْسَانُ يَوْمَئِذٍ بِمَا قَدَّمَ وَأَخَّرَ

Artinya : “Akan diceritakan kepada manusia pada hari itu (hari kiamat) dengan segala perbuatan yang telah mereka lakukan dan perbuatan yang telah mereka lupakan.” (Al-Qiyamah : 13)

Akhir sekali berhati-hatilah ketika membuat pilihan nanti jangan sampai menyesal di akhirat nanti dan menyalahkan diri sendiri kerana semuanya rahsia pada hari itu akan terbuka nyata tidak dapat disembunyikan lagi. Sampai manusia akan menjadi tersangat takut kerana terkejut melihat semua perkara yang pernah dia lalukan ada tertulis dalam buku catatan amal.

Firman Allah Taala :

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Artinya : “Dan akan dibuka buku catatan amalan masing-masing maka orang-orang yang berdosa akan melihat dalam ketakutan pada segala amalan yang tercatat di dalamnya. Dan mereka akan berkata “Celakalah kami pada hari ini. Buku apakah ini sampai semuanya kecil dan besar ada tertulis belaka.” Mereka nampak semua perbuatan mereka ada belaka. Dan Tuhanmu tidak menzalimi siapa jua pun.” (Al-Kahfi : 49)

Kesimpulan :

- Setiap amalan yang dilakukan oleh manusia akan ditunjukkan pada hari kiamat dan dihisab. Amalan yang baik akan mendapat balasan yang baik yaitu syurga manakala amalan yang jahat akan mendapat balasan yang jahat yaitu neraka.

- Tidak ada seorang jua pun yang dapat menyembunyikan apa yang ia telah kerjakan kerana  semuanya sudah ditulis dan akan dibentangkan di hadapannya pada hari kiamat nanti dan anggota tubuh badannya akan menjadi saksi.

- Perkataan yang mengatakan perbuatan manusia di dalam dunia tidak akan dihisab pada hari kiamat adalah salah dan ia adalah perkataan golongan athies yang tidak mempunyai agama.

Wallahua’lam

https://www.facebook.com/Ustaz.Azhar.Idrus.Original

Monday, 16 April 2018

Mengalahkan Sebuah Kemustahilan


Apakah yang telah berubah?
Banyak yang telah berubah.
Saya berada jauh. Ia tidak memungkinkan saya membuat dakwaan. Ia akan menjadi andaian, malah andaian dari jauh. Apa yang boleh saya ungkapkan adalah mengenai perubahan yang terjadi di dalam diri saya sendiri. Kemudian, disokong oleh interaksi dengan sebahagian sahabat yang masih bertukar khabar berita saban hari melalui media sosial, biar pun jauh dijarakkan oleh sempadan geografi dan masa.
Mengapa saya boleh menerima kepimpinan Tun Mahathir di dalam Pakatan Harapan?
Jawapannya ialah: banyak yang telah berubah.
CATATAN 2015
Semasa saya mengambil keputusan untuk meninggalkan PAS, pada masa itu fikiran saya sudah berubah. Berubah daripada menjadikan PAS sebagai sesuatu yang tetap, kepada sesuatu yang boleh diubah. Apa yang tetap adalah komitmen saya kepada apa yang percaya sebagai kebenaran. Sebelum saya mampu berbuat demikian, bertahun-tahun saya berpegang bahawa PAS adalah sesuatu yang tetap. Justeru, apa-apa yang tidak kena, saya cari jalan untuk ia diperbaiki supaya saya boleh terus tetap bersama PAS. Tidak perlulah diulang apa yang telah dibuat, namun mencecah tahun 2015, keadaan menyebabkan saya tidak mampu lagi berfikir, apakah lagi yang boleh dibuat untuk saya tetap bersama PAS.
Oleh kerana PAS telah berubah, ia mengubah pendirian saya.
Saya keluar dari satu daerah pemikiran bahawa apa sekali pun terjadi, saya mesti terus setia bersama PAS. Saya keluar dari daerah itu kerana PAS sendiri sudah tidak setia dengan prinsipnya yang menjadikan saya memilih untuk bersama PAS, lama dahulu.
Membuat keputusan untuk meninggalkan PAS memerlukan saya berpindah daripada satu daerah pemikiran ke satu pemikiran lain. Ia seumpama melawan sesuatu yang mustahil.
Mustahil saya meninggalkan PAS.
Tetapi saya telah meninggalkan ‘kemustahilan’ itu.
Meninggalkan PAS adalah sesuatu yang boleh.
Berubah, demi mengekalkan apa yang perlu saya kekalkan.
Jika meninggalkan PAS sebagai sesuatu yang mustahil, saya sudah melepasinya, saya sudah melepasi banyak perkara yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini. Saya sudah melepaskan diri daripada belenggu fikrah. Ilmu agama saya tidak tinggi mana, tetapi saya tahu yang keputusan saya adalah mentaati Allah. Wala’ yang sesungguhnya hanya untuk Allah dan Rasul.
Kebenaran.
MASA HADAPAN MALAYSIA MENJELANG PRU14
Ketika itu, saya bingung memikirkan, jika PAS meninggalkan Pakatan Rakyat, bagaimanakah PRU14 nanti? Berdasarkan rekod pilihanraya, tindakan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan berjuang sendirian, akan membawa PAS ke zaman-zaman pemencilan diri. Jika PAS bersendirian, ia memecahkan undi mereka yang berusaha menolak UMNO dan Barisan Nasional. Jika PAS bersama UMNO dan Barisan Nasional pula, lagilah terang sebabnya mengapa saya tidak boleh lagi bersama dengan PAS.
Kebingungan itu bukan sekadar kebingungan peribadi. Saya menjejak umur 40 tahun, dan saya khuatir dengan masa hayat saya yang berbaki. Saya juga prihatin dengan keadaan pemimpin-pemimpin PAS yang dilabel Jebon ketika itu, apabila mereka dibelasah dengan celaan, makian, sindirian, gelak ketawa, malah doa, oleh parti dan jemaah mereka sendiri. Bukan sekejap, tetapi bertahun-tahun.
Tidakkah semua itu membuang masa?
Kita hidup dalam perjuangan bukan untuk menghabisan masa dengan hal ehwal rumahtangga kita.
Kita berjuang untuk negara.
Untuk rakyat.
Negara semakin bermasalah.
Rakyat semakin terhimpit.
Kita para ‘pejuang Islam’ bukan sibuk membela rakyat dan berkhidmat untuk negara. Sebaliknya kita bercakaran sesama sendiri, membuang masa, dan masih tanpa segan silu menyolek hiruk pikuk itu sebagai ‘politik Islam’.
Sebab itu, berubahlah!
TIDAK MUDAH
Saya tahu, ia tidak mudah buat pemimpin-pemimpin berkenaan.
Saya hanya melukut di dalam PAS. Mereka pula adalah pemimpin-pemimpinnya. Mereka sudah bersusah payah, keluar masuk penjara, dan macam-macam lagi perkara yang menjadikan keputusan meninggalkan PAS itu ‘mustahil’.
Dalam beberapa siri pertemuan, saya ditanya, adakah hati saya bulat semasa membuat keputusan meninggalkan PAS? Jika jawapannya ya, mengapa ya?
Soalan itu menunjukkan si penyoal sedang bertarung untuk berpindah daripada sebuah daerah ke daerah baru yang mustahil.
Ia tidak ada kena mengena langsung dengan kecewa tidak dapat jawatan, tali barut DAP dan lain-lain tohmahan yang dizikir saban masa di media sosial tanpa akhlak. Sekurang-kurangnya di peringkat peribadi, saya tahu semua itu bukan motifnya. Mereka setia mahu berjuang untuk rakyat dan melakukan sesuatu untuk negara. Keislaman diri mereka mendesak mereka untuk berfikir bersungguh-sungguh, masihkah mereka berada di landasan yang benar, jika demikian suasananya?
Saya kira, apabila pemimpin-pemimpin PAS yang dilabel ular daun, jebon dan macam-macam lagi itu, apabila mereka membuat keputusan meninggalkan PAS, mereka juga ada persamaan dengan fikiran saya, bahawa mereka sudah mengatasi pembolehubah yang mustahil itu. Mereka telah mengalahkan sebuah ‘kemustahilan’.
Keupayaan untuk melakukan perkara itu adalah satu integriti yang tinggi, demi untuk terus setia dengan tujuan asal mereka berjuang.
Saya tidak tahu, apakah yang rakan-rakan di dalam PAS fikirkan untuk mereka masih bersama dengan PAS. Saya sudah lama berada jauh, dan tidak ada lagi berdiskusi untuk memahami. Walaupun scalabilityfikiran saya tidak terjamin sahih untuk menggambarkan apa yang ada di fikiran pemimpin AMANAH masa kini, sekurang-kurangnya ia memberi indikasi bahawa mereka sudah berpengalaman untuk membuktikan bahawa TIADA YANG MUSTAHIL.
Tiada yang mustahil ini boleh jadi slogan golongan opportunist.
Tetapi juga boleh jadi kriteria golongan yang berpendirian.
Bahawa demi mengekalkan apa yang perlu kekal, kita perlu berubah, termasuk melakukan sesuatu yang mustahil.
Antara perkara mustahil itu, selain tekad untuk meninggalkan PAS, adalah untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia.
TERGAMAM
Dari jauh, saya juga tergamam.
Saya mengambil masa yang lama untuk memproses perubahan ini. Benarkah Tun Mahathir telah mengubah posisinya? Mengapa beliau berubah? Selamatkah perubahan itu? Boleh percayakah? Pemimpin AMANAH dan Pakatan Harapan, boleh terimakah?
Apa yang tidak berubah di dalam fikiran saya ialah, korupsi dan masalah negara sudah berada di tahap yang amat membimbangkan. Perdana Menteri masa ini dan Barisan Nasional perlu berundur. PAS, saya sudah tidak kenal lagi mereka dalam wajahnya hari ini. Dan Pakatan Harapan perlu teguh bersatu untuk menjayakan perubahan dalam PRU14. Ini  adalah variables yang bagi saya tetap, buat masa ini.
Bagaimana untuk semua itu terjadi?
Saya tiada jawapan.
Resah dari jauh memikirkan solusinya.
Sehinggalah perubahan itu datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka.
Tokoh yang menaikkan Perdana Menteri hari ini, tampil sendiri ke hadapan untuk menurunkannya. Ia bukan sekadar itu, malah penampilan Tun Mahathir adalah dengan perincian-perincian organisasi, integriti, dialog, dan strategi jangka pendek serta jangka panjang. Kunci utama yang menguji perubahan ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudian Lim Kit Siang.
Apabila kepimpinan Tun Mahathir diakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Lim Kit Siang, bagi saya, tercapailah sebuah kerjasama yang mempunyai kualiti harapan.
Kini, apa yang ada, adalah sebuah strategi yang menampakkan sinar, bahawa rakyat masih punya harapan.
Dan saya tidak ada masalah untuk menghadam perubahan ini, serta kagum dengan kerjasama teguh yang ditunjukkan oleh Pakatan Harapan. Namun saya rasa saya faham mengapa ramai rakan-rakan yang masih belum dapat memproses perubahan ini.
Mungkin kerana mereka masih di daerah yang sama. Atau memilih secara sedar untuk berada di daerah berkenaan.
Tidak mengapa.
KITA BERBEZA KERANA SETIAP KITA UNIK
Sama-samalah kita berusaha, sedaya upaya kita.  Jika yang berpindah dan kekal sama-sama berpegang bahawa keputusan masing-masing adalah berasaskan lillāhi ta’ālā, maka perlulah kita sama-sama menjauhkan diri daripada saling menyakitkan, dan fokus kepada tujuan yang besar itu. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat melakukannya.
Kita tidak dapat memaksa pendapat kita selaras, kerana apa yang kita masing-masing alami berbeza. Saya tidak dapat meletakkan harapan untuk orang yang tidak mengalami apa yang saya alami, menghargai pelajaran yang saya ambil daripadanya. Samalah juga dengan orang lain yang turut mempunyai pengalaman-pengalaman individu yang berbeza.
Di dalam teori pembelajaran, terutamanya apabila kita banyak mengambil kira aspek pengalaman, ilmu terbentuk bukanlah secara semberono. Kita perlu memahami bagaimana di dalam constructivism, proses membina makna dan iktibar daripada pengalaman perlu dihalusi. Ilmu dibina berasaskan pengalaman peribadi dan hipotesis ke atas persekitaran. Kita sebagai orang yang belajar akan terus menerus menguji hipotesis berkenaan melalui proses rundingan sosial. Setiap kita mempunyai penafsiran yang berbeza serta proses pembinaan ilmu yang unik. Seorang yang belajar bukannya berada dalam tabula rasa untuk satu warna khusus apabila dimasukkan ke dalam minda akan kekal warna itu tanpa perubahan. Sebaliknya, setiap kita membawa bersama pengalaman silam dan faktor budaya kepada situasi.
Hasilnya, siapa lagi banyak pengalaman bukan penentu kefahaman.
Siapa banyak di cawangan atau di pusat, bukan penentu mutlak kepada keputusan.
Ia adalah perkara ijtihadi yang banyak ruang kelabu.
Kita hanya perlu berpegang dengan sesuatu yang kita tiada khilaf, iaitu amar makruf nahi munkar.
Jika nampak satu benda baik, sokong dan suburkan.
Jika nampak satu benda tidak baik dan salah, bantah dan cegah.
Sama ada benda baik itu pada pihak yang kita tidak suka.
Ada benda tidak baik itu ada pada pihak yang kita pilih.
Kita mesti sentiasa menegakkan kebenaran, menentang kezaliman dan ketidakjujuran.
 إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. [Hūd 11: 88]
Dirgahayu Malaysia.
Salam rindu dan harapan.
HASRIZAL
Oulu FI

Wednesday, 11 April 2018

Bukan Lagi Darah Daging



PRU 14 - A citizen betrayed. Open Confession to our politicians.
37 tahun lalu, saya dilahirkan dan dibesarkan di Labis, Johor. Ada beberapa perkara wajib yang secara exclusive nya menjadi DNA orang Johor, antaranya adalah makan nasi wajib ada kicap, goreng pisang (and everything else) dengan sambal kicap, dan Melayu yang secara automatik nya akan setia kepada UMNO.

My entire life and all of my family member's life, kami tidak pernah terima parti lain selain UMNO. Kalau UMNO itu pembekal darah, percaya lah, dalam badan kami ini semua nya adalah darah dengan brand UMNO. For us UMNO cant do no wrong. To be a part of UMNO adalah satu kebanggaan dan satu bentuk kesetiaan bagi Melayu Johor. Even when i was growing up, when ever my grandfather want to gave me a pep talk, he would use UMNO leaders like Rafidah Aziz and Dr Mahathir as examples. Belajar rajin rajin dan jadi seperti mereka. "Jadi orang pandai yang bangunkan bangsa" he said.
For us, hanya UMNO yang akan memperjuangkan nasib melayu, just like what it did back in the 1940s, by our very own Dato Onn Jaafar in Batu Pahat, the district where my grandparents ( who was a hardcore UMNO supporter) live, and my moyang 's stomping ground. I can bet that my great grandparents also vote for UMNO in the most historical election that shape our country.
But then, things started to change within UMNO's leadership as well as Barisan Nasional's, that has also directly change the way government rule this country. Politics have become the field ground where people join just to gain personal profits, tidak lagi seperti dahulu dimana ianya adalah platform untuk membela bangsa, agama dan negara. Adakah anda semua lupa sejarah penubuhan parti parti politik lain yang turut menjadi cabang kepada Barisan Nasional, tentang bagaimana MCA dan MIC ditubuhkan? Semuanya adalah bagi mencapai kesepakatan diantara kaum agar kita semua dapat menikmati kemerdekaan.
For years, saya terpaksa melihat kepincangan dalam parti politik yang menjadi darah daging saya. Dan akhirnya, menjadi sebuah parti yang memalukan akibat tindakan sebahagian besar ahlinya. Menjadi ahli UMNO bukan lagi untuk memperjuangkan rakyat tetapi, memperjuangkan kepentingan sesetengah pihak. Tetapi atas dasar kesetiaan, saya beritahu diri sendiri, maybe it just rumours, maybe it is just done by a few UMNO members, and maybe i should still be grateful for what UMNO have done and fight for the past 6 decades.
Then come the 1MDB and the RM2. 6 billion scandal, it totally crushed what ever faith and loyalty i have left for this party. The act of removing honest peoples that want to bring the truth to light regarding the scandal, the downright spiral of Malaysian economy dan nama baik negara ini di mata dunia, solidify my belief that something must be done to save our country from the abyss.
Ianya sangat mengecewakan, bila keadaan rakyat sekarang adalah lebih teruk dari generasi sebelum kita. Buying power kita yang mula menurun sejak lebih sedekad lalu ( tahun 2000, sebungkus nasi, sekor ikan kembung, sambal dan sayur hanya berharga RM2. 80-3.00, sekarang item yang sama bernilai hampir RM8, peningkatan 300% berbanding kadar kenaikan gaji, fresh graduates engineering tahun 2000 bergaji sekitar RM 1500-1600, fresh graduates sekarang, bergaji sekitar RM2500-2800, peningkatan sebanyak 75-80% sahaja), peluang pekerjaan dalam sektor sains dan teknologi yang juga makin menurun, keadaan social yang semakin tidak stabil dan banyak lagi.
People who know me, knows that saya bukanlah jenis orang yang mengharapkan bantuan, i work hard for everything that i want. Dari rakyat miskin golongan penoreh getah yang makan bubur dan sambal waktu musim tengkujuh, i work hard to change my life dan jadi seorang pekerja professional yang banyak merantau ke seluruh dunia dan berjumpa pelbagai bangsa. Saya tidak mengharapkan segalanya diberikan kepada saya oleh kerajaan tetapi apa yang saya mahu adalah to be given an equal fighting chance to work hard and make my life better. Dan untuk terus menjadikan bangsa dan negara saya sebagai bangsa dan negara yang dihormati. Malaysia dulu pernah menjadi negara kecil yang dihormati dan disegani dunia, sekarang Malaysia hanyalah bahan ejekan dunia.
Undi saya yang terakhir dulu adalah untuk Barisan Nasional, tetapi kali ini, tidak lagi. Kali ini saya perlu menjatuhkan mereka demi menyelamatkan negara yang saya sayang. Saya tidak mahu menghancurkan UMNO yang merupakan darah daging saya, tetapi this is my effort untuk purge out pemimpin mereka yang telah rosak. Duri duri yang mencucuk kedalam daging UMNO perlu di korek keluar, dan ianya adalah suatu yang menyakitkan, tetapi ianya perlu bagi memulihkan UMNO kembali.
Ianya bukan keputusan yang mudah, bagi hardcore UMNO seperti bapa saya, dia kerap mengulang ayat yang sama "kita bukan tidak marah pada Najib tetapi kalau tak sokong UMNO, tiada yang akan bela nasib kita". Tetapi bagi saya, the act of casting my vote untuk parti lain selain UMNO adalah pengkhianatan.
But then again, I am the loyal Citizen that was first betrayed by them, am i not?. Mandat yang saya berikan telah mereka salah gunakan bagi kepentingan mereka sendiri. There fore, pengkhianatan ini adalah ssesuatu yang saya perlu lakukan untuk menyedarkan pimpinan sekarang dan pemimpin pada masa hadapan, bahawa anda tidak boleh berbuat sesuka hati anda. Anda dipilih sebagai pemegang amanah rakyat, dan sekiranya anda tidak amanah, YOU WILL BE REMOVED. Ini adalah peringatan kepada mereka bahawa they are to serve THE PEOPLE not "THEIR PEOPLE"
This might be a very risky gamble that might left me crying later, but saya pasti dengan suatu perkara, iaitu Dato Onn bin Jaafar dan Tun Razak mungkin sedang menangis saat ini melihat kehancuran segala usaha yang pernah mereka kerjakan dahulu.
Kalau anda juga merasa apa yang saya rasa please spread this around. The politicians NEED to know that they better straighten up themselves for good.
Luahan Ita Hatta - Johor Darul Takzim