Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Sunday, 19 August 2018

Catatan Seorang Mujahid


RAHMAT ALLAH DI BUMI MAKKAH
Tak sampai sebulan memasuki pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), saya diberi penghormatan 'menumpang' keberkatan jemaah haji Malaysia yang melakukan ibadat haji tahun ini.
Terasa diri kerdil berada di bumi para anbiya, Ibrahim a.s yang pernah meninggalkan anaknya Ismail a.s. dan isterinya Hajar yang dengan hikmah Ilahi kemudiannya mengasaskan leluhur Muhammad S.A.W.
Bumi dengan sejarahnya yang panjang ini menjadikan diri kita mengimbau dengan insaf betapa agungnya sejarah umat ini.
Saya berpeluang menginsafi betapa risalah agung Muhammad S.A.W dipenuhi dengan tribulasi di Makkah selama 13 tahun, namun konsisten langkah Nabi akhir zaman membuahkan hasil di fasa Madinah sehinggalah tersebar di ceruk rantau dunia dan terus berkembang.
Saya menerokai ke dalam diri cuba memahami risiko, implikasi dan tribulasi jejak Muhammad S.A.W dan saya dapati keperibadian Muhammad itulah rahsia kejayaan.
Saya juga mengimani sepenuh keimanan, jika rahsia ini difahami dan dijadikan panduan, jaminan kejayaan akan sama ganjarannya di penghujung jalan nanti insya-Allah.
Keperibadian Muhammad S.A.W dikenali dengan segala sifat yang terkumpul di dalamnya erti kasih, kesopanan dan penyantunan.
Jiwa baginda terlalu luas sehingga tiada ruang yang tidak ditutup melainkan semua manusia akan diberi tempat yang selesa di dalamnya.
Keperibadian ini tidaklah semudah yang dijangkakan, ia menjangkau sekadar melabel dan menghukum tetapi merangkul dan menyantuni.
Kasih Nabi S.A.W sesama insan dan alam sekelilingnya menjadi aura yang cukup ampuh menangkis sebarang bentuk kebencian, permusuhan dan perseteruan yang lebih mudah jalannya.
Itulah perjuangan dan jalan sukar yang ditempuh walaupun manusia biasa akan memilih persimpangan perjuangannya di lorong gelap yang penuh kebencian dan permusuhan sebagai jalan pintas.
Inilah jalan Rahmatan Lil Alamin (RLA) yang kerananya nabi akhir zaman diutuskan.
Risalah ini menyentak hati dan pemikiran kebencian serta menyanggah ketaksuban kaum dan perseteruan sesama manusia.
RLA jalannya panjang , likunya tajam dan dakiannya memenatkan tapi hasilnya berbaloi.
Saya bercita-cita menggagaskan dan membumikan RLA dalam amanah sementara ini.
Biar belum sebulan, stamina saya telah diuji, malah kata caci saya telan reda, rupanya sukar membawa obor RLA, lebih mudah mengusung api kebencian dan permusuhan.
Saya akur dan cuba membaiki diri namun saya tidak akan tunduk kepada seruan menggila kebencian dan cacian apatah lagi menghukum dan melabel pesalah dan pendosa seolah mereka adalah penentu hujung hayat seseorang.
Dalam bahang bumi Makkah, saya sujud di hadapan Kaabah agar kukuhkan pijakan saya mendaki perjalanan ini.
Saya terus menangis agar Allah jayakan cita-cita ini dan janganlah kelemahan diri menguasai harapan kerdil ini.
Saya datang mendambakan bimbinganNya agar kembali nanti, saya masih membawa obor Rahmatan Lil Alamin dan berusaha menjejaki jalan Nabi Muhammad S.A.W.
"TIDAK AKU UTUSKAN DIKAU (WAHAI MUHAMMAD) MELAINKAN UNTUK MEMBAWA RAHMAT KE SELURUH ALAM INI"

Dr. Mujahid Yusuf Rawa
Catatan Makkah (menanti Wuquf)
18 Ogos 2018
7 Zulhijjah 1439

No comments: