Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Monday 16 April 2018

Mengalahkan Sebuah Kemustahilan


Apakah yang telah berubah?
Banyak yang telah berubah.
Saya berada jauh. Ia tidak memungkinkan saya membuat dakwaan. Ia akan menjadi andaian, malah andaian dari jauh. Apa yang boleh saya ungkapkan adalah mengenai perubahan yang terjadi di dalam diri saya sendiri. Kemudian, disokong oleh interaksi dengan sebahagian sahabat yang masih bertukar khabar berita saban hari melalui media sosial, biar pun jauh dijarakkan oleh sempadan geografi dan masa.
Mengapa saya boleh menerima kepimpinan Tun Mahathir di dalam Pakatan Harapan?
Jawapannya ialah: banyak yang telah berubah.
CATATAN 2015
Semasa saya mengambil keputusan untuk meninggalkan PAS, pada masa itu fikiran saya sudah berubah. Berubah daripada menjadikan PAS sebagai sesuatu yang tetap, kepada sesuatu yang boleh diubah. Apa yang tetap adalah komitmen saya kepada apa yang percaya sebagai kebenaran. Sebelum saya mampu berbuat demikian, bertahun-tahun saya berpegang bahawa PAS adalah sesuatu yang tetap. Justeru, apa-apa yang tidak kena, saya cari jalan untuk ia diperbaiki supaya saya boleh terus tetap bersama PAS. Tidak perlulah diulang apa yang telah dibuat, namun mencecah tahun 2015, keadaan menyebabkan saya tidak mampu lagi berfikir, apakah lagi yang boleh dibuat untuk saya tetap bersama PAS.
Oleh kerana PAS telah berubah, ia mengubah pendirian saya.
Saya keluar dari satu daerah pemikiran bahawa apa sekali pun terjadi, saya mesti terus setia bersama PAS. Saya keluar dari daerah itu kerana PAS sendiri sudah tidak setia dengan prinsipnya yang menjadikan saya memilih untuk bersama PAS, lama dahulu.
Membuat keputusan untuk meninggalkan PAS memerlukan saya berpindah daripada satu daerah pemikiran ke satu pemikiran lain. Ia seumpama melawan sesuatu yang mustahil.
Mustahil saya meninggalkan PAS.
Tetapi saya telah meninggalkan ‘kemustahilan’ itu.
Meninggalkan PAS adalah sesuatu yang boleh.
Berubah, demi mengekalkan apa yang perlu saya kekalkan.
Jika meninggalkan PAS sebagai sesuatu yang mustahil, saya sudah melepasinya, saya sudah melepasi banyak perkara yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini. Saya sudah melepaskan diri daripada belenggu fikrah. Ilmu agama saya tidak tinggi mana, tetapi saya tahu yang keputusan saya adalah mentaati Allah. Wala’ yang sesungguhnya hanya untuk Allah dan Rasul.
Kebenaran.
MASA HADAPAN MALAYSIA MENJELANG PRU14
Ketika itu, saya bingung memikirkan, jika PAS meninggalkan Pakatan Rakyat, bagaimanakah PRU14 nanti? Berdasarkan rekod pilihanraya, tindakan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan berjuang sendirian, akan membawa PAS ke zaman-zaman pemencilan diri. Jika PAS bersendirian, ia memecahkan undi mereka yang berusaha menolak UMNO dan Barisan Nasional. Jika PAS bersama UMNO dan Barisan Nasional pula, lagilah terang sebabnya mengapa saya tidak boleh lagi bersama dengan PAS.
Kebingungan itu bukan sekadar kebingungan peribadi. Saya menjejak umur 40 tahun, dan saya khuatir dengan masa hayat saya yang berbaki. Saya juga prihatin dengan keadaan pemimpin-pemimpin PAS yang dilabel Jebon ketika itu, apabila mereka dibelasah dengan celaan, makian, sindirian, gelak ketawa, malah doa, oleh parti dan jemaah mereka sendiri. Bukan sekejap, tetapi bertahun-tahun.
Tidakkah semua itu membuang masa?
Kita hidup dalam perjuangan bukan untuk menghabisan masa dengan hal ehwal rumahtangga kita.
Kita berjuang untuk negara.
Untuk rakyat.
Negara semakin bermasalah.
Rakyat semakin terhimpit.
Kita para ‘pejuang Islam’ bukan sibuk membela rakyat dan berkhidmat untuk negara. Sebaliknya kita bercakaran sesama sendiri, membuang masa, dan masih tanpa segan silu menyolek hiruk pikuk itu sebagai ‘politik Islam’.
Sebab itu, berubahlah!
TIDAK MUDAH
Saya tahu, ia tidak mudah buat pemimpin-pemimpin berkenaan.
Saya hanya melukut di dalam PAS. Mereka pula adalah pemimpin-pemimpinnya. Mereka sudah bersusah payah, keluar masuk penjara, dan macam-macam lagi perkara yang menjadikan keputusan meninggalkan PAS itu ‘mustahil’.
Dalam beberapa siri pertemuan, saya ditanya, adakah hati saya bulat semasa membuat keputusan meninggalkan PAS? Jika jawapannya ya, mengapa ya?
Soalan itu menunjukkan si penyoal sedang bertarung untuk berpindah daripada sebuah daerah ke daerah baru yang mustahil.
Ia tidak ada kena mengena langsung dengan kecewa tidak dapat jawatan, tali barut DAP dan lain-lain tohmahan yang dizikir saban masa di media sosial tanpa akhlak. Sekurang-kurangnya di peringkat peribadi, saya tahu semua itu bukan motifnya. Mereka setia mahu berjuang untuk rakyat dan melakukan sesuatu untuk negara. Keislaman diri mereka mendesak mereka untuk berfikir bersungguh-sungguh, masihkah mereka berada di landasan yang benar, jika demikian suasananya?
Saya kira, apabila pemimpin-pemimpin PAS yang dilabel ular daun, jebon dan macam-macam lagi itu, apabila mereka membuat keputusan meninggalkan PAS, mereka juga ada persamaan dengan fikiran saya, bahawa mereka sudah mengatasi pembolehubah yang mustahil itu. Mereka telah mengalahkan sebuah ‘kemustahilan’.
Keupayaan untuk melakukan perkara itu adalah satu integriti yang tinggi, demi untuk terus setia dengan tujuan asal mereka berjuang.
Saya tidak tahu, apakah yang rakan-rakan di dalam PAS fikirkan untuk mereka masih bersama dengan PAS. Saya sudah lama berada jauh, dan tidak ada lagi berdiskusi untuk memahami. Walaupun scalabilityfikiran saya tidak terjamin sahih untuk menggambarkan apa yang ada di fikiran pemimpin AMANAH masa kini, sekurang-kurangnya ia memberi indikasi bahawa mereka sudah berpengalaman untuk membuktikan bahawa TIADA YANG MUSTAHIL.
Tiada yang mustahil ini boleh jadi slogan golongan opportunist.
Tetapi juga boleh jadi kriteria golongan yang berpendirian.
Bahawa demi mengekalkan apa yang perlu kekal, kita perlu berubah, termasuk melakukan sesuatu yang mustahil.
Antara perkara mustahil itu, selain tekad untuk meninggalkan PAS, adalah untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia.
TERGAMAM
Dari jauh, saya juga tergamam.
Saya mengambil masa yang lama untuk memproses perubahan ini. Benarkah Tun Mahathir telah mengubah posisinya? Mengapa beliau berubah? Selamatkah perubahan itu? Boleh percayakah? Pemimpin AMANAH dan Pakatan Harapan, boleh terimakah?
Apa yang tidak berubah di dalam fikiran saya ialah, korupsi dan masalah negara sudah berada di tahap yang amat membimbangkan. Perdana Menteri masa ini dan Barisan Nasional perlu berundur. PAS, saya sudah tidak kenal lagi mereka dalam wajahnya hari ini. Dan Pakatan Harapan perlu teguh bersatu untuk menjayakan perubahan dalam PRU14. Ini  adalah variables yang bagi saya tetap, buat masa ini.
Bagaimana untuk semua itu terjadi?
Saya tiada jawapan.
Resah dari jauh memikirkan solusinya.
Sehinggalah perubahan itu datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka.
Tokoh yang menaikkan Perdana Menteri hari ini, tampil sendiri ke hadapan untuk menurunkannya. Ia bukan sekadar itu, malah penampilan Tun Mahathir adalah dengan perincian-perincian organisasi, integriti, dialog, dan strategi jangka pendek serta jangka panjang. Kunci utama yang menguji perubahan ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudian Lim Kit Siang.
Apabila kepimpinan Tun Mahathir diakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Lim Kit Siang, bagi saya, tercapailah sebuah kerjasama yang mempunyai kualiti harapan.
Kini, apa yang ada, adalah sebuah strategi yang menampakkan sinar, bahawa rakyat masih punya harapan.
Dan saya tidak ada masalah untuk menghadam perubahan ini, serta kagum dengan kerjasama teguh yang ditunjukkan oleh Pakatan Harapan. Namun saya rasa saya faham mengapa ramai rakan-rakan yang masih belum dapat memproses perubahan ini.
Mungkin kerana mereka masih di daerah yang sama. Atau memilih secara sedar untuk berada di daerah berkenaan.
Tidak mengapa.
KITA BERBEZA KERANA SETIAP KITA UNIK
Sama-samalah kita berusaha, sedaya upaya kita.  Jika yang berpindah dan kekal sama-sama berpegang bahawa keputusan masing-masing adalah berasaskan lillāhi ta’ālā, maka perlulah kita sama-sama menjauhkan diri daripada saling menyakitkan, dan fokus kepada tujuan yang besar itu. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat melakukannya.
Kita tidak dapat memaksa pendapat kita selaras, kerana apa yang kita masing-masing alami berbeza. Saya tidak dapat meletakkan harapan untuk orang yang tidak mengalami apa yang saya alami, menghargai pelajaran yang saya ambil daripadanya. Samalah juga dengan orang lain yang turut mempunyai pengalaman-pengalaman individu yang berbeza.
Di dalam teori pembelajaran, terutamanya apabila kita banyak mengambil kira aspek pengalaman, ilmu terbentuk bukanlah secara semberono. Kita perlu memahami bagaimana di dalam constructivism, proses membina makna dan iktibar daripada pengalaman perlu dihalusi. Ilmu dibina berasaskan pengalaman peribadi dan hipotesis ke atas persekitaran. Kita sebagai orang yang belajar akan terus menerus menguji hipotesis berkenaan melalui proses rundingan sosial. Setiap kita mempunyai penafsiran yang berbeza serta proses pembinaan ilmu yang unik. Seorang yang belajar bukannya berada dalam tabula rasa untuk satu warna khusus apabila dimasukkan ke dalam minda akan kekal warna itu tanpa perubahan. Sebaliknya, setiap kita membawa bersama pengalaman silam dan faktor budaya kepada situasi.
Hasilnya, siapa lagi banyak pengalaman bukan penentu kefahaman.
Siapa banyak di cawangan atau di pusat, bukan penentu mutlak kepada keputusan.
Ia adalah perkara ijtihadi yang banyak ruang kelabu.
Kita hanya perlu berpegang dengan sesuatu yang kita tiada khilaf, iaitu amar makruf nahi munkar.
Jika nampak satu benda baik, sokong dan suburkan.
Jika nampak satu benda tidak baik dan salah, bantah dan cegah.
Sama ada benda baik itu pada pihak yang kita tidak suka.
Ada benda tidak baik itu ada pada pihak yang kita pilih.
Kita mesti sentiasa menegakkan kebenaran, menentang kezaliman dan ketidakjujuran.
 إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. [Hūd 11: 88]
Dirgahayu Malaysia.
Salam rindu dan harapan.
HASRIZAL
Oulu FI

No comments: