Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Monday, 29 April 2013

The Final Count Down...YOU ARE WHAT YOU VOTE!







PERUTUSAN IKRAM KEPADA PARA PENGUNDI PRU 13
30 April 2013 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1434 H


Para pengundi yang budiman!

Setelah sekian lama menanti, akhirnya tarikh 5 Mei 2013 diisytiharkan sebagai tarikh pembuangan undi bagi Pilihanraya Umum Malaysia ke-13 (PRU13). Seramai lebih 13 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi akan berpeluang memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, sekaligus menentukan penubuhan kerajaan Negeri dan Persekutuan.

IKRAM mengajak semua umat Islam dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menjalankan tanggungjawab terhadap negara dengan serius dan bersungguh-sungguh. Rakyat perlu bijak memilih peribadi pemimpin yang sihat serta kuat fizikalnya dan beramanah bagi menerajui pemerintahan negara. Pemimpin ini mestilah berupaya mengurus perjalanan negara dan kehidupan rakyat dengan satu bentuk pengurusan yang paling baik, bersih, adil dan bijaksana.

Kepentingan penglibatan politik

IKRAM berpandangan penglibatan politik adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sebagai ad-din yang syumul. Kuasa pemerintahan diperlukan bagi menjayakan agenda penegakan syariah dan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar. Justeru, penglibatan umat Islam di dalam PRU kali ini adalah amat penting dan dianggap kritikal untuk memilih wakil pemimpin yang mampu membantu merealisasikan cita-cita dakwah tersebut.

Matlamat penglibatan kita dalam dalam PRU 13

Matlamat utama penglibatan PRU13 ialah untuk memastikan:

1. Parti terbaik menguasai majoriti kerusi parlimen serta menubuhkan kerajaan baru yang bertanggungjawab dan berwibawa. Pemegang tampuk pemerintahan adalah satu kedudukan yang paling tinggi dalam Islam, ولاية عامة (wilayah ammah). Lantaran itu, ia sepatutnya diserahkan kepada peribadi-peribadi yang layak dan mempunyaiالقوى الأمين (kebolehan dan integriti).
2. Penegakan sistem dua (2) parti yang kuat, sistem ‘check dan balance’ yang berkesan.

Penglibatan ummah dan rakyat dalam PRU 13 mestilah dilihat sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memperbaiki urustadbir negara dan taraf kehidupan rakyat. Ia juga meletakkan perjalanan negara di atas landasan yang betul menerusi pelantikan pemimpin yang berkebolehan serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap.

Usaha ini adalah sebahagian daripada usaha yang wajib dilakukan oleh ummat Islam khususnya bagi menegakkan maslahah manusia di dunia dan akhirat sejajar dengan matlamat-matlamat syariah yang menuntut diwujudkan situasi yang akan melindungi perkara-perkara berikut:

1. Nilai kehidupan manusia (human values):
a. Pemeliharaan agama
b. Pemeliharaan kemanusiaan manusia:
i. Fitrahnya
ii. Kemuliaan dirinya
iii. Halatuju hidupnya (peranannya dalam kehidupan dunia)
iv. Kebebasannya

2. Diri manusia (human person):
a. Tubuh dan nyawanya
b. Rohani dan jiwanya
c. Aqal dan pemikirannya

3. Masyarakat manusia (human society):
a. Pemeliharaan keturunan dan maruahnya
b. Pemeliharaan institusi masyarakat dan hubungan kemasyarakatannya

4. Persekitaran (Environment):
a. Pemeliharaan harta benda
b. Pemeliharaan persekitaran kehidupan manusia

Semua perkara penting di atas merupakan matlamat-matlamat syariah yang mesti dipelihara dan dilindungi.

Pertimbangan dan Perbandingan

Di dalam senario PRU 13, nyata terdapat persaingan ketara di antara kedua-dua blok parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Untuk memilih blok yang paling hampir dengan hasrat rakyat, ciri-ciri berikut mestilah dipertimbangkan oleh rakyat:

1. Kedua-dua blok merupakan satu perikatan (tahaluf / alliance) yang mewakili masyarakat majmuk Malaysia. Rakyat hendaklah memilih blok manakah yang lebih memenuhi hasrat semua kelompok masyarakat majmuk Malaysia.

2. Kedua-dua blok ditubuhkan di atas asas perkongsian. Adalah wajar diketahui bentuk perkongsian di kalangan mereka: adakah wujud dominasi satu komponen ke atas komponen yang lain atau kesemua komponen sama rata berasaskan gagasan warga negara Malaysia? Perlu difikirkan apakah pulangan kepada semua komponen telah ditetapkan atau ia masih terletak pada perundingan dan tawar menawar.

3. Persepsi dan sikap kedua-dua blok terhadap isu-isu berkaitan bangsa Melayu, pengamalan agama Islam dan institusi Raja berpelembagaan adalah perkara yang penting dalam usaha mereka memerintah negara. Rakyat sentiasa mahu mengetahui adakah kedudukan orang Melayu, agama Islam dan insitusi raja-raja akan tetap terpelihara dan terjamin di bawah pemerintahan mana-mana blok yang diberi mandat ini. Di samping itu kedudukan orang bukan Melayu dan bukan bumiputra serta agama-agama selain Islam mestilah mendapat perhatian yang wajar.

4. Sikap dan amalan kedua-dua blok dalam konteks urustadbir negara dan pembelaan kehidupan rakyat adalah satu perkara yang penting. Rakyat hendaklah memilih blok yang lebih telus, bersih, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat dan dilihat menyebelahi rakyat.

5. Realiti penglibatan kaum dalam keahlian komponen kedua-dua blok ini mestilah dilihat sebagai satu realiti yang meyakinkan rakyat. Rakyat mestilah memilih blok manakah yang lebih mewakili kepelbagaian kaum dalam keahlian setiap komponen.



Rumusan

IKRAM merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat dalam PRU 13 kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan negara dan rakyat jelata.

Rumusan ini berdasarkan kaedah dan prinsip ‘kemudharatan yang lebih ringan’.

أحسن الخيارين , أخف الضررين وأهون الشرين
(Pilihan terbaik di antara dua pilihan, pilihan yang lebih ringan kemudaratannya dan kurang kejahatannya)

IKRAM menganggap pemilihan tersebut sebagai satu kecenderungan atau pilihan yang pragmatis yang dijangka akan lebih menyebelahi rakyat, lebih adil kepada semua, lebih bermanfaat kepada negara, lebih jujur kepada Islam dan bangsa Melayu serta lebih memantapkan institusi Raja berperlembagaan.

Pilihan ini akan membuka lebih banyak ruang dialog, perbincangan, perundingan dan permuafakatan bagi melaksanakan agenda perubahan dan pembersihan pentadbiran dan pengurusan perjalanan negara, supaya tiada berlaku lagi salah laku dan penyelewengan pegawai-pegawai pemerintah, sekaligus menghapuskan kemungkinan rasuah.


Para pengundi yang budiman!

IKRAM menyeru agar ummah tidaklah perlu takut, jika pendirian politik ummah kali ini membawa kepada perubahan kerajaan di peringkat pusat. Kejatuhan kerajaan BN tidak akan melucutkan kuasa pemerintahan daripada genggaman Ummat Islam. Ummat Islam tetap memiliki jumlah kerusi parlimen yang cukup selesa. Penguasaan ummah akan terus terpelihara dengan kewujudan berbagai-bagai institusi dan badan yang sedia ada bagi menjamin kelangsungan kekuasaan ummah. Institusi Raja berperlembagaan, institusi angkatan bersenjata, tentera dan polis, jabatan pentadbiran awam, badan-badan berkanun seperti Majlis-majlis dan Jabatan-jabatan Agama Negeri-negeri, dan kesemua NGO akan terus berperanan mempertahankan survival dan kelangsungan kekuasaan ummah di bumi Malaysia.


Para pengundi yang budiman!

Ingatlah, golongan yang takut kepada perubahan atau yang tidak ingin kepada perubahan hanyalah sebahagian daripada rakyat yang masih belum jelas dan golongan yang memperjuangkan kepentingan peribadi, kroni atau kelompok masing-masing.

Sebenarnya negara ini dilimpahkan oleh Allah SWT dengan kekayaan potensi dan sumber manusia serta alam. Ia terletak di laluan strategik dunia antarabangsa. Ia merupakan daerah pertemuan pelbagai peradaban, bangsa dan agama di dunia. Negara ini mempunyai potensi untuk diangkat ke tahap negara maju. Ia boleh terus menggalakkan rakyatnya untuk berdaya maju dan bersaing. Negara ini mampu membangunkan sebuah tamadun dan peradaban kemanusiaan yang menjunjung nilai-nilai kehidupan yang mulia.

Lantaran itu, rakyat diseru untuk berani mengorak langkah baru, membangun inisiatif politik yang berupaya mewujudkan perubahan yang kita inginkan untuk negara dan ummah di bumi Malaysia ini.


Para pengundi yang budiman!

Alangkah indahnya perjalanan sebuah negara dan kehidupan rakyatnya sewaktu ia dipayungi sebuah sistem politik yang adil, budaya politik yang sihat dan bersih. Rakyat boleh mengangkat pemimpin yang terbaik dari kalangan mereka. Setiap pemimpin boleh datang dan pergi menerusi proses pilihan rakyat yang telus, bersih, dan aman, tanpa perlu menggunakan kekerasan atau paksaan, tanpa menabur fitnah siang dan malam, sama ada oleh rakyat atau pemerintah.

Alangkah baiknya jikalau sistem politik yang diguna pakai akan membolehkan rakyat mengangkat peribadi-peribadi terbaik untuk menerajui kepimpinan negara, dan melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dalam pemilihan para pemimpin.

Budaya dan pendekatan politik baru yang bersih dan sihat untuk masyarakat dan negara perlu diusahakan segera. Negara mempunyai keupayaan untuk merubah keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dengan berpaksikan ketinggian akhlak, kebenaran, ketelusan, sikap prihatin kepada kepentingan umum, dan memperjuangkan matlamat-matlamat syariah serta maslahat Islam.

Negara juga berkeupayaan mengangkat peribadi-peribadi yang sesuai untuk kedudukan yang sesuai dalam usaha mereka memimpin rakyat dan negara. Kita mesti memilih wakil rakyat dari kalangan rakyat yang cerdas, berjiwa besar dan berakhlak mulia. Mereka ini merupakan satu golongan rakyat yang berupaya membuat keputusan dan polisi terbaik buat pengurusan negara. Dengan itu rakyat berpeluang menyahut cabaran-cabaran besar serta merebut pelbagai peluang yang terhampar pada tahun-tahun mendatang.

Untuk memilih pemimpin terbaik, rakyat memerlukan maklumat yang tepat. Dalam kebanjiran maklumat dan berita yang diperolehi dari pelbagai sumber, rakyat harus bijak menyaring isi kandungan berita yang boleh dipercayai. IKRAM menasihatkan rakyat agar berusaha mendapatkan maklumat dan informasi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, bertanggungjawab dan berintegriti. Maklumat dan berita yang mengandungi unsur dakwaan fitnah, pembohongan dan pemujaan pemimpin yang diragui integritinya sewajarnya diketepikan.

Marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan PRU 13 berlangsung dengan aman dan sejahtera, terhindar dari segala keburukan.

Sekian, selamat mengundi. Negara sejahtera, rakyat bahagia. Wassalam.


Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)



Selamat Mengundi Rakyat Malaysia!
KEPUTUSAN DI TANGAN ANDA...YOU ARE WHAT YOU VOTE!

No comments: