Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Saturday, 13 April 2013

Menjelang....


KENYATAAN MEDIA WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

TUNTUTAN WANITA IKRAM MENJELANG PILIHANRAYA UMUM KE 13

8 APRIL 2013

Pembubaran parlimen pada 3 April 2013 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, telah memulangkan kuasa memilih kepemimpinan negara kepada rakyat. Kaum wanita mempunyai peranan besar lagi penting untuk sama-sama menentukan halatuju kepimpinan negara. Wanita yang juga merupakan kuasa penentu dalam proses pemilihan ini, perlu melaksanakan tanggung jawab dengan penuh kesedaran dan celik politik berasaskan maklumat yang benar dan tepat. Kematangan politik yang tinggi dapat membebaskan minda para pengundi termasuk wanita dari menjadi mangsa ugutan dan terperangkap dalam tipu daya politik yang tidak bertanggungjawab. Wanita IKRAM menyeru semua kaum wanita untuk keluar mengundi dan melaksanakan tanggungjawab ini dengan bijaksana bagi menentukan masa depan generasi terjamin.

Pemimpin yang mempunyai kompetensi tinggi dan berintegriti ( quwwah dan amanah) akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang adil, bersih, amanah, jujur, bertanggungjawab, telus, tidak rasuah, cekap dan mesra rakyat. Islam menuntut agar kepimpinan negara mestilah melaksanakan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama serta menjamin kesejahteraan alam sejagat. Wanita IKRAM mengingatkan semua wanita agar membuat pilihan yang boleh menzahirkan sebuah kerajaan yang memenuhi ciri-ciri di atas.

Selaras dengan itu, Wanita IKRAM menuntut kepada semua parti politik yang akan bertanding mempertimbangkan perkara-perkara berikut:

1. Agihan Kerusi Yang Lebih Munasabah Untuk Wakil Wanita

Keberadaan wakil wanita di posisi pembuat keputusan yang tertinggi akan dapat memperjuangkan dan mengungkapkan keperluan wanita dengan lebih berkesan. Dalam konteks pembabitan calon-calon wanita dalam PRU12 tahun 2008 , hanya 8.2% adalah wakil wanita secara menyeluruh. Wanita IKRAM menyarankan supaya agihan kerusi kepada wakil wanita dapat ditingkatkan di peringkat parlimen dan setiap DUN ke arah mencapai sasaran penglibatan wanita di peringkat kepimpinan tertinggi sebanyak 30%.

2. Pengiktirafan Terhadap Peranan Wanita Sebagai Ibu dan Pengurus Rumahtangga Sepenuh Masa

Sumbangan wanita dalam pembangunan negara tidak boleh dinafikan. Dianggarkan 46% dari tenaga kerja yang menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara ini terdiri daripada kaum wanita. Lebih kurang separuh daripada mereka ini adalah suri rumah sepenuh masa yang mana mereka tidak mendapat ganjaran kewangan yang jelas sebagaimana rakan mereka yang bekerja di sektor lain. Menurut Kementerian Sumber Manusia, anggaran terkini terdapat 3.37 juta wanita di negara ini yang dikategorikan sebagai suri rumah sepenuh masa. Namun demikian, jasa dan pengorbanan wanita yang memilih menjadi surirumah sepenuh masa masih belum mendapat pengiktirafan sewajarnya, sedangkan golongan ini memainkan peranan yang amat penting dalam pembinaan modal insan melalui pengukuhan institusi kekeluargaan yang mampu melahirkan warga negara yang menyumbang kepada pembangunan negara. Wanita IKRAM mencadangkan supaya insentif kewangan diberi kepada suri rumah sepenuh masa pada kadar yang ditentukan mengambil kira pendapatan dan kos sara hidup keluarga.

3. Penjagaan kesihatan wanita

Memandangkan wanita adalah aset terpenting negara maka penjagaan kesihatan wanita perlu ditingkatkan. Wanita IKRAM mencadangkan diwujudkan prasarana untuk membolehkan wanita mendapat rawatan kesihatan dengan lebih selesa dan mudah. Beberapa rawatan penting seperti ujian saringan asas termasuk pap smear dan pemeriksaan payudara secara percuma perlu diperluaskan lagi terutamanya kepada wanita di kawasan luar bandar dan pendalaman.

4. Sistem kehakiman yang lebih mesra wanita dan cekap menangani kes-kes keluarga

Sementara kehakiman syariah semakin responsif dalam melicinkan lagi prosedur kes-kes perceraian dan masalah yang berkaitan, mahkamah sivil masih memerlukan penambahbaikan yang sama untuk urusan berkaitan kes-kes kekeluargaan yang membabitkan wanita bukan Islam serta anak-anak mereka.

5. Komitmen untuk menyediakan persekitaran yang lebih selamat untuk wanita dan kanak-kanak.

6. Peruntukan belanjawan yang mencukupi dan pengagihan yang lebih adil bagi latihan dan program pembangunan wanita demi memberdaya dan meningkatkan keupayaan wanita dalam segala segi.

7. Waktu kerja yang fleksibel juga harus diberikan perhatian penting agar kaum wanita mampu mengurus diri dan keluarga dengan sewajarnya untuk memelihara kesejahteraan berkeluarga dan bermasyarakat.

Wanita IKRAM mengucapkan selamat melaksanakan tanggungjawab mengundi kepada semua warganegara Malaysia dan undilah dengan bijak. Semoga kita semua dapat menjalankan tanggungjawab kita untuk menentukan halatuju negara Malaysia yang kita cintai ini.

Ustazah Maznah Bt Daud

Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments: