Di kala para peminat bola sepak di seluruh dunia tidak sabar-sabar lagi menantikan saat gilang gemilang majlis perasmian FIFA World Cup 2010 di kaca televisyen, emak sekeluarga dalam kesedihan dan tidak berupaya melihat ayah tiri saya yang sedang menderita, nazak, bertarung nyawa pada pagi jumaat lepas. Emak sebak menceritakan keadaan abah melalui telefon bimbit. Sejurus selepas itu, saya mendapat panggilan dari emak menyampaikan berita pemergian abah menemui rabb nya. Innalillahi wainnailaihi rojiun. Terputuslah urusan arwah abah mail dengan dunia, berakhirlah kesengsaraannya dan semoga Allahyarham dikurniakan kerehatan hakiki dari kelelahan kehidupan ini, amin.
Tidak banyak yang saya ketahui tentang insan istimewa ini kecuali daripada penceritaan emak. Arwah abah mail masih segan-segan untuk berbual panjang dengan saya bila kami bertemu. Namun, arwah abah amat memahami keperluan masa berkualiti saya dengan emak. Arwah abah tidak pernah menghalang emak untuk bercuti ke mana sahaja dengan saya. Keizinan diberikannya dengan senang hati, kadang-kadang hingga seminggu berjauhan dengan emak.
Hubungan saya dan arwah abah mail menjadi mesra sejak Allahyarham mengidap kanser paru-paru kurang lebih dua bulan yang lalu. Arwah abah mail sentiasa menguntumkan senyuman manis semasa mendengarkan pandangan dan nasihat saya tentang ikhtiar-ikhtiar pilihan yang masih ada untuk mengurangkan kesakitannya. Doktor meramalkan jangka hayat arwah abah ialah lebih kurang empat bulan. Sel kanser arwah abah telah merebak hingga ke tulang belakang. Setiap malam, arwah abah kesakitan dan sukar untuk tidur. Ayat-ayat manzil yang Allahyarham amalkan dan kegunaan "bam" yang dibacakan ayat-ayat syifa' mengurangkan gangguan tidurnya. Hampir selang sehari, saya menghubungi emak untuk melegakan tekanan yang beliau hadapi dan melakukan persiapan mental emak untuk melalui saat-saat genting yang bakal beliau tempohi. Saya tidak putus-putus mendoakan ketabahan dan kesabaran emak serta mengharapkan kesembuhan yang sempurna untuk abah mail.
Alhamdulillah, emak dan arwah abah mail menerima ujian Allah ini dengan hati yang terbuka. Menurut emak, segala nasihat dan barangan pembelian saya diterima pakai serta dihargai oleh arwah abah mail. Abah sidek, abah kandung saya, bekas suami emak yang pertama, pula sering bertanya khabar tentang abah mail untuk berkongsi cerita tentang penyakit kronik yang sama-sama mereka tanggung dan menzahirkan simpati kepada emak. Ketara sungguh perubahan pada diri abah sidek. Begitu juga lah penerimaan arwah abah mail terhadap abah sidek yang sering disebut nya sebagai "abah sana". Benarlah, penyakit dan menziarahi pesakit mengingatkan kita tentang urusan akhirat dan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah. Kali terakhir, Allahyarham bersalaman sebanyak dua kali dengan saya sebelum berangkat ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis pertunangan anak saudaranya, lebih kurang seminggu sebelum Allahyarham kembali ke rahmatullah.
Abah mail tidak berpelajaran tinggi. Kerja nya sejak bujang hanya membanting tulang sebagai buruh kasap. Arwah abah mail menerima emak seadanya dan mendapat tentangan hebat daripada keluarganya apabila Allahyarham yang masih teruna mengawini emak yang telah bergelar "janda" beranak tiga dan kekal jelita ketika itu. Setelah mengawini emak, arwah abah diterima sebagai penjawat awam dan masih melakukan kerja-kerja berat di luar waktu pejabat, berkerja keras untuk menyara keluarga yang besar,sepuluh orang anak yang tidak jauh jarak umur mereka. Tabiat merokok nya menjadi-jadi saban hari dan lama kelamaan, arwah abah mail menjadi seorang perokok yang tegar. Sayang dan kasihnya kepada emak tidak pernah pudar hingga lah di hari terakhir, emak melihat nya mendakap foto mereka berdua.
Emak sempat membisikkan di telinga nya, menyampaikan salam terakhir dan permohonan kemaafan segala kesilapan saya. Arwah abah mail hanya mampu respon melalui kerongkong sahaja dengan mata yang tertutup. Hasrat saya untuk turut menunaikan solat jenazah nya tidak berkesampaian, kerana masih dalam berhadas. Saya berpeluang menatap jenazah abah mail dan menyampaikan salam takziah abah sidek kepada emak sekeluarga. Semoga Allah mengampuni segala dosanya, menerima segala kebaikannya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengumpulkan rohnya bersama roh para solihin, amin.
"Kamu sekalian adalah penyaksi-penyaksi Allah di muka bumi ini. Siapa yang kamu pujikan dengan baik, maka ia adalah sebagaimana yang dikatakan itu" (Hadis)
"Kami sekalian kepunyaan Allah, dan kami sekalian akan kembali kepadaNya. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jadikan lah kitabnya (suratannya) di tempat Illiyiiin (Syorga tertinggi), dan catitkanlah nasibnya sebagai orang-orang yang baik di sisiMu. Dan gantikanlah kehilangannya dengan yang lain dari keluarganya yang tinggal. Dan ampunilah kami dan dia, wahai Tuhan seru sekalian alam"!
Allahu 'alam. Moga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment