Penceritaanku mungkin cliché, tiada yang luar biasa malah serupa dengan cerita-cerita orang lain tetapi aku yakin proses kematangan oleh sentuhan kebapaan yang setiap daripada kita lalui adalah berbeza.
Bagi aku, di dalam dunia ini, tiada lelaki yang paling handsome seperti raut wajah Abah. Tiada lelaki yang paling manis senyumannya daripada senyuman Abah. Tiada lelaki yang paling macho seperti Abah. Abah lah yang paling gentleman, paling merdu dan gemersik suaranya. Pendek kata, Abah lah yang lelaki yang terbaik dalam banyak aspek. Aku tidak bermaksud untuk memuji secara berlebihan tentang sifat kedua ibubapaku atau membunga-bungakan amalanku atau mengaibkan keluargaku dalam mana-mana penulisanku tetapi aku sekadar ingin berkongsi pengalaman hidup serta pandangan melalui bidang penulisan yang aku rasakan sungguh therapuetic ini. Aku sedar dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap bait-bait ayat yang aku nyatakan kerana setiap perkataan merupakan saham akhiratku dan akan dipersoalkan oleh Allah kelak.
“Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya, ke manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan ke jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” [Hadith diriwayatkan oleh Tirmidzi]
Abahku telah diterima untuk mengikuti latihan ketenteraan di Port Dickson pada 25 November 1956. Selepas 6 bulan, Abah mula berkhidmat sebagai anggota Regimen Askar Melayu Di Raja Malaysia (RAMD) atau Tentera Darat Malaysia, TDM, Batalion ke-4 di Tapah, Perak. Sebagai anggota tentera, Abah terpaksa akur dengan perintah untuk dihantar bertugas di merata tempat. Abah pernah menjalankan operasi ketenteraan untuk mengawal keamanan negara daripada keganasan komunis di Cameron Highland dan Mentakab, Pahang serta Keroh dan Kuala Ketil, Kedah.
Setelah 4 tahun menabur bakti di tanah air tercinta, Batalion Abah telah dipilih untuk menyertai misi Pengaman Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di Congo pada 31 Oktober 1960 selama 10 bulan. Mereka ke Congo menaiki kapal laut daripada Port Swethenham, Malaysia ke Port Matadi, Congo yang mengambil masa 29 hari. Misi pengaman di Congo (sekarang Zaire) merupakan penglibatan TDM yang pertama di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. United Nations Operations In Congo atau lebih dikenali sebagai UNOC, mulai Oktober 1960 hingga April 1963, melibatkan 3,000 anggota Tentera Darat Malaysia dari pelbagai peringkat anggota.
Angkatan Tentera Malaysia telah menghantar Pasukan Khas Malaya (MSF) di bawah pemerintahan Brig Jen Hamid Bidin.Tugas MSF di Congo adalah untuk menentukan ketenteraman dan memelihara undang-undang bagi membantu kerajaan yang baru ditubuhkan. Objektif MSF ialah memelihara keutuhan wilayah dan kebebasan politik Congo, mencegah berlakunya perang saudara, memastikan penarikan keluar dari Congo semua tentera asing, separa tentera dan anggota penasihat asing yang bukan di bawah pemerintahan PBB serta memastikan penarikan keluar semua askar upahan. (sedutan daripada laman web ATM).
Setelah misi pasukan pertama selesai, Abah dan rakan-rakan seperjuangannya telah pulang ke Tanah air dan disambut meriah sebagai Wira Negara pada Mac 1961. Pada 5 November 1962, aku dilahirkan. Abah bersara wajib daripada perkhidmatan tentera berpangkat sarjan pada tahun 1979. Darah kesastriaan terus mengalir ke dalam tubuhnya hingga ke hari ini. Tiada perkara yang cukup membanggakan dan membahagiakan Abah daripada bercerita pengalaman serta kemahiran ketenteraannya kepada sesiapa sahaja.
Setiap anak merupakan kebanggaan kepada setiap ibubapa. Ikatan murni lagi kental itu jika dipateri dengan leburan ketakwaan menjadi mustahil untuk dirongkaikan hingga ke akhir masa. Kekuatan kuasa luar biasa yang jika digembeling mampu menghasilkan kehebatan berpanjangan. Seorang bapa sanggup berkorban nyawa demi keselamatan dan keselesaan anaknya. Allah menggambarkan kepentingan peranan bapa dalam banyak kisah para nabi dan rasulnya di dalam Al Qur’an. Umpamanya, kisah pengorbanan dalam penggembangan syiar Islam oleh nabi Ibrahim dan nabi Ismail, kepentingan perwarisan tugas dakwah nabi Zakaria dan nabi Yahya, keutuhan kasih sayang dan jalinan keimanan nabi Ya’akub dan nabi Yusuf serta penceritaan Lukman mendidik anaknya dengan pendekatan bijaksana.
Allah menegaskan Nabi Muhammad (s.a.w) sebagai role model dan ikutan umat sepanjang zaman dalam Surah Al Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: “ Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah”
Rasulullah pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari tentang puteri kesayangannya Fatimah Az-Zahrah yang bermaksud: “...Fatimah adalah sebahagian daripada ku, dan aku benci apa yang ia benci untuk melihat, dan apa yang menyakiti nya, menyakiti ku”
Bersambung...
No comments:
Post a Comment