Kenangan yang paling penting, sungguh berharga, terlalu bermakna dan tidak mungkin aku lupakan hingga ke akhir hayatku ialah pengembaraan spiritual ku ke tanah suci Mekah pada tahun 2007. Berkali-kali aku mengingatkan diriku bahawa aku adalah anak seorang pahlawan. Setiap perjalanan hidupku terdidik dan disusun oleh Maha Pencipta untuk mengharungi pelbagai rintangan dan ujian sebelum menikmati manisnya kemenangan perjuangan. Abah yang pernah mengerjakan ibadah haji pada tahun 2000, menjelaskan kesihatannya tidak mengizinkan dirinya untuk turut serta menemaniku ke Mekah. Aku merayu kepada Allah dengan permohonan yang bersungguh-sungguh supaya Allah membuka peluang untuk ku kali ini dan merestui hajat murniku. Aku juga memohon emak dan abah untuk turut mendoakan agar diberi kemudahan ke atas segala urusanku oleh Allah.
Keperihatinan Abah terhadap ku sungguh mengharukan aku. Abah tidak jemu-jemu berkongsikan pengalamannya, petua-petua serta buah fikiran yang bernilai tentang ibadat haji pada setiap peluang yang ada. Abah menjadi tempat rujukan utamaku. Ketika itu, Akulah manusia paling bertuah, Aku masih mempunyai Abah yang cergas lagi cerdas untuk menemani ku di fasa terpenting dalam hidupku. Abah menguruskan segala keperluanku dengan penuh tanggungjawab dan sebaik yang mungkin. Majlis doa selamat dirancang dan diatur begitu rapi oleh abah. Jiran tetangga serta rakan-rakan masjid abah dijemput menjayakan majlis send off ku yang dikendalikankan dengan tertib sekali.
Semua perbelanjaan majlis kenduri dibiayai oleh Abah tersayang. Bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan fikiran ku, abah mengupah seorang bekas pekerjanya yang mahir untuk memandu kami ke Kelana Jaya. Adik-adikku seisi keluarga dan kakakku serta keluarganya turut mengiringi kami dengan kereta masing-masing. Di khemah jamaah haji, Abah tidak terlepas daripada pandanganku. Kira-kira sejam sebelum check in, Abah bersila rapat menghampiri ku serta di kelilingi seiap ahli keluargaku. Abah menasihatiku dengan penuh kasih sayang agar mengawal kemarahanku semasa berada di tanah suci. Abah inginkan segala-gala yang terbaik untuk ku.
Dalam meniti usia senjaku, Abah ibarat sebutir permata dalam taman hatiku. Kilauannya menjadi penawar dukaku, penyeri dan penghibur kehidupanku. Abah sumber inspirasiku, meniupkan keyakinan dan meningkatkan jati diriku bagi meneruskan perjuangan hidupku. Kebersamaan Abah secara spiritual walaupun tidak secara fizikal sepanjang masa, membantu aku merintis liku-liku kecemerlangan. Jika Norhayati membawa maksud cahaya hidupku, semoga aku umpama cahaya hidup kepada kedua orang tuaku, keluargaku, para sahabatku dan kenalanku maka kedua ibubapaku pula ialah Dhiyaie atau penyuluh hidupku di sepanjang waktu.
"Ya Allah, ampunilah aku, kedua ibubapaku dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani aku sejak kecil. Ya Allah peliharalah mereka, muliakanlah mereka, perelokkanlah kesihatan mereka, terimalah segala kebaikan mereka, panjangkan umur mereka dalam kebaikan, kumpulkan kami semua di dalam syurga FirdausMu...wahai Tuhan yang Maha Pengasih, amin."
Rasulullah bersabda di dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Seseorang mengikuti orang yang ia cintai”
“Siapa pun orang yang engkau cintai, dialah yang akan bersamamu pada hari Kiamat. Aku mencintai Nabi (s.a.w) dan aku mencintai para sahabat. aku mencintai orang-orang yang suci, terdidik, terhormat, dan beragama. InsyaAllah, engkau pun akan datang pada hari Kiamat bersama mereka. Seseorang akan dikumpulkan dengan orang yang mereka cintai”
(Amru Khalid, 2007).
Setiap hari merupakan hari ibubapa muslim! Allahu 'alam.
No comments:
Post a Comment