Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Sunday 7 June 2009

My Dad, My Super Hero...

Sebentar tadi, ketika melepasi detik 12 malam, saya telah menghantar SMS ucapan selamat hari lahir yang ke-73 kepada Super Hero saya . Genap usia Abah 73 tahun hari ini.

Abah tidak mempunyai capaian internet di rumahnya untuk membaca apa yang nak saya kongsikan gambaran ringkas tentang insan istimewa ini dengan para pembaca budiman. Yang penting, Abah tahu saya sangat sayangkan Abah. Walaupun saya tidak terlafazkan secara verbal namun saya pernah menyatakannya melalui SMS (terima kasih kepada perkembangan teknologi moden...sebagai penyelamat!).

Bagi saya, di dalam dunia ini, tiada lelaki yang paling handsome macam Abah, paling manis senyumannya daripada Abah, paling macho macam Abah, paling gentleman macam Abah, paling merdu dan gemersik suaranya macam Abah. Paling dahaga kepada pengetahuan seperti Abah...

Abah yang kuat semangat ini, mula berkhidmat sebagai Askar Melayu Di Raja Malaysia atau Tentera Darat Malaysia, batalion ke-4 pada 25 November 1956 iaitu setelah 20 hari kakak sulong saya, Noraini dilahirkan. Tahukah pembaca yang dirahmati Allah sekalian, saya dan kakak saya berkongsi tarikh lahir? Ya benar...5hb November. Emak mengandungkan saya setelah Abah pulang daripada misi Pengaman Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), UNOC, di Congo pada 1961. Abah bersara wajib daripada perkhidmatan tentera pada tahun 1979. Darah kesastriaan terus mengalir ke dalam tubuhnya hingga ke hari ini. Tiada perkara yang cukup membanggakan dan membahagiakan Abah daripada bercerita pengalaman serta kemahiran ketenteraannya kepada sesiapa sahaja. Ketiga-tiga anak lelaki Abah, kedua-dua adik saya Sarjan Zuhairi, Pegawai Waran II Zaidee termasuk Allahyarham Roselan, abang saya ialah anggota tentera. Jika bukan kerana nasihat sahabat-sahabat pada tahun 1988, saya sekarang mungkin di KOR Pendidikan sebagai Kapten Norhayati...kehkehkeh! (selingan sekejab...)

Jika pembaca mengikuti perkembangan hasil penulisan kerdil saya di akhbar tempatan dan karya saya di dalam buku Ibu, Madrasah Pertamaku (Beli jangan tak beli..)...sejak dilahirkan, saya ditakdirkan untuk tinggal berjauhan dari Emak dan Abah saya. Kejanggalan dalam interaksi di antara saya dengan kedua ibubapa saya tetap wujud di samping kesungguhan kami untuk menyantuni di antara satu dengan yang lain.

Saya juga tahu, Abah turut sayang pada saya. Hanya keadaan tidak mengizinkan Abah untuk terlalu menzahirkannya kepada saya kerana menjaga hati-hati insan yang begitu rapat dengannya. Rasa cemburu terhadap curahan kasih sayang Abah berpindah kepada saya jelas tergambar di wajah mereka apabila Abah menunjukkan penghargaan terhadap saya. Abah serba salah. Saya memahami perasaan dan tindakan Abah. Permintaan saya ialah Abah sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagian saya sepanjang masa.

"Seseorang yang istimewa bukan yang selalu di depan mata, yang selalu di sisi tetapi dia yang selalu di hati dan diingati dalam setiap bisikan doanya"

"Ya Allah, Ampunilah aku, kedua ibubapaku dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihani aku sejak kecil. Ya Allah peliharalah mereka, muliakanlah mereka, peelokkanlah kesihatan mereka, muliakanlah mereka, panjangkan umur mereka dalam kebaikan, terimalah kebaikan mereka...wahai Tuhan yang Maha Pengasih, amin...amin ...ya...amin Allah"

“Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya, ke manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan ke jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” [Hadith diriwayatkan oleh Tirmidzi]

Tabiiikkk Sprinnnngggggggg...Abah!

No comments: