RAHMATAN LIL 'ALAMIN AJARAN LIBERAL?
Akhir-akhir ini kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperkecilkan teras Rahmatan Lil ‘Alamin (RLA) sebagai salah satu teras pentadbiran Islam di Malaysia. Mereka mendakwa dalam tulisan dan ceramah mereka kononnya RLA adalah satu cara halus untuk meliberalisasikan fahaman masyarakat Islam di Malaysia.
Soalnya, adakah benar dakwaan mereka itu?
Teras RLA ini sebenarnya merujuk kepada ayat 107 Surah al-Anbiyaa Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan tidaklah Kami utuskan dikau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
Dalam ayat tersebut Allah SWT menegaskan bahawa tujuan pengutusan nabi terakhir Muhammad SAW adalah semata-mata untuk tujuan memberi rahmat kepada seluruh alam buana. Maksud alam ialah segala kewujudan selain Allah SWT. Maka kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah untuk menyenangkan dan membahagiakan seluruh alam, bukan khusus untuk umat Islam atau bangsa Melayu sahaja.
Dalam surah al-Fatihah, perkataan al-Rahman (yang sangat pemurah memberi rezeki) dan al-Rahim (yang sangat mengasihi dan menyayangi) adalah berasal daripada kata akar yang sama iaitu ra-hi-ma yang bermaksud sayang dan rahmah. Ia diulang dua kali dalam surah al-Fatihah, iaitu surah yang menjadi rukun bacaan dalam setiap rakaat solat sunat atau solat fardhu.
Pengisytiharan yang wajib diulang dalam setiap rakaat solat ini mempunyai maknanya yang tersendiri, bahawa ajaran agama Islam adalah ajaran rahmah. Rahmah pula kepada seluruh alam dan makhluk Allah swt. Tidak pernah ajaran rahmah itu hanya terhad untuk umat Islam sahaja atau bangsa Melayu sahaja.
Dengan sifat al-Rahman, Allah swt menjadikan seluruh manusia hidup di bumi ini dengan selesa. Mereka mendapat oksigen secara percuma untuk bernafas, makanan dan minuman yang tidak terkira banyaknya, tempat tinggal yang sesuai, pakaian yang cantik-cantik, kenderaan darat, laut dan udara yang memungkinkan mereka bergerak ke mana sahaja, bahkan segala kelebihan yang ada pada diri mereka sendiri pun terdapat maksud sifat al-Rahman Allah swt.
Dengan sifat al-Rahman itu, semua manusia mendapat nikmat, kerana mereka semua adalah anak keturunan Adam a.s. yang dimuliakan. Islam tidak pernah mengajar bahawa sifat al-Rahman Allah swt itu hanya untuk umat Islam. Pemikiran yang menganggap Allah swt itu hanya tuhan bagi orang Islam sahaja, yang melakukan kebaikan atau rahmah untuk orang Islam sahaja, memberi dan menyayangi orang Islam sahaja, adalah tanggapan yang salah dan tidak berasas.
Walaupun Allah swt tidak meredhai hambaNya yang sengaja mengingkari ajaran rasulNya dan tidak beriman, tetapi Allah swt tetap menyayangi dan memberi nikmat kepada semua hambaNya tidak kira mereka beriman atau tidak beriman. Kerana Allah swt telah memuliakan seluruh bani Adam iaitu manusia (surah al-Israa: 70).
Dalam hadis pula Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mencipta sebanyak 100 rahmah pada hari penciptaannya. Dia menyimpan 99 rahmah dan melepaskan untuk seluruh makhluknya hanya satu rahmah…” (Riwayat al-Bukhariy no 2751)
Hadis ini menjelaskan bahawa rahmat Allah SWT terlampau banyak dan luas tidak terjangkau oleh ilmu manusia. Alam maya yang terbentang ini dan seluruh kehidupan dan makhluk di dalamnya hanyalah manifestasi kepada SATU (1) rahmat Allah SWT sahaja. Di sana ada lagi 99 rahmat yang Allah SWT simpan untuk dianugerahkan kepada hamba-hambaNya yang beriman di akhirat.
Rasulullah SAW juga membuat misalan rahmat Allah SWT terhadap hambaNya dengan seorang wanita yang kehilangan bayinya. Dia sentiasa mencari bayinya. Apabila ketemu, terus dia mengambilnya, memeluknya dan menyusuinya. Lantas Rasulullah SAW bertanya para Sahabah RA: Adakah kamu rasa sang ibu itu akan mencampakkan anaknya ke dalam api? Mereka berkata: Tidak, dia akan bertarung untuk tidak mencampakkannya. Lalu sabda baginda: “Sesungguhnya Allah lebih rahmah terhadap hambaNya daripada sang ibu itu terhadap bayinya” (Riwayat al-Bukhariy no 2754)
Bolehkah kita bayangkan, hanya dengan satu rahmat Allah SWT segala makhluk wujud dengan penuh tersusun dan sistematik di bumi dan di langit? Dengan satu rahmat itu, turunnya hujan yang menyuburkan tanah dan menumbuhkan rumput dan segala tumbuhan? Tumbuhan itu pula mengeluarkan bunga yang memberikan keindahan dan menghasilkan buah yang sebahagiannya menjadi makanan manusia dan haiwan. Rahmat hujan juga menjadikan sungai dan lautan yang menjadi sumber minuman dan makanan protin untuk manusia. Firman Allah SWT maksudnya: “Jika kamu cuba menghitung nikmat-nikmat Allah nescaya kamu tidak mampu menghitungnya…” (Surah Ibrahim: 34 dan al-Nahl: 18)
Seluruh ajaran Islam adalah untuk merealisasikan rahmat Allah SWT kepada makhluknya secara inklusif, bukan kepada orang Islam sahaja atau eksklusif untuk bani Melayu sahaja. Lantaran itu, segala dasar, fahaman, tindakan atau perkataan yang bertentangan dengan makna rahmah wajib ditolak oleh orang Islam kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
Sekiranya kita benar-benar menjunjung dan menghayati ajaran Rasulullah SAW, sudah tentu kita akan menyambut seruan supaya melaksanakan agenda RLA dengan hati yang senang dan gembira. Kerana ia adalah seruan yang lahir daripada intipati ajaran Islam.
Sebaliknya jika kita tidak senang dengan seruan itu, maka ia memberi maksud kita mempunyai masalah dengan ajaran Islam yang suci dan murni daripada segala noda jahiliyah dan perkauman. Tidak usah berpura-pura memperjuangkan Islam jika tindakan dan perkataan kita menjurus ke arah membangkitkan semangat perkauman sempit seolah-olah bumi ini hanya milik satu kaum. Tidak usah mendabik dada mendapat tarbiah atau mengikuti usrah jika laungannya adalah laungan untuk menjulang bangsa tertentu walaupun ikon bangsa itu telah melakukan kerosakan yang nyata dan dahsyat yang tidak pernah disaksikan masyarakat dunia sebelumnya.
Haruslah masyarakat sedari bahawa teras RLA bukanlah agenda tersembunyi mana-mana pihak untuk menipu umat Islam. Ia adalah teras pentadbiran kerajaan yang cuba memperbaiki kerosakan yang telah dilakukan terdahulu agar rakyat Malaysia akan hidup secara bersama dengan aman dan harmoni. Membuat tuduhan tidak berasas kononnya RLA ini adalah agenda kaum kafir untuk menyesatkan umat Islam adalah sangat berat, kerana mereka menuduh sebahagian umat Islam yang tidak sehaluan mereka menggunakan ayat al-Quran untuk menyesatkan umat Islam. Siapakah yang akan membela mereka di akhirat kelak untuk mempertahankan tuduhan berat itu.
Kesimpulannya, sebagaimana dibukti dengan maksud ayat-ayat al-Quran dan hadis di atas, teras RLA adalah bersumberkan ajaran Islam yang tulen dan original. Ia bukan alat propaganda tersembunyi digunakan untuk menyesatkan umat Islam supaya menjadi liberal atau menolak agama Islam. Semoga Allah swt memberi hidayah dan petunjuk kepada kita semua.
Ustaz Ali Muda
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Sumber: Malaysia Dateline
No comments:
Post a Comment