Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Sunday, 11 May 2014

Al-Ummu Madrasah Al-ula





PERUTUSAN HARI IBU 2014

WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

10 Mei 2014

IBU DI HATI, SYURGA MENANTI

1. Sempena dengan Hari Ibu 2014 yang disambut seluruh dunia minggu ini, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada semua ibu-ibu di mana jua mereka berada,

2. Hakikatnya setiap hari adalah Hari Ibu, istimewanya hujung minggu kedua bulan Mei ini telah dinobatkan sebagai Hari Ibu. Justeru, marilah kita mengambil kesempatan berharga ini untuk menzahirkan rasa kasih sayang cinta kita kepada ibu-ibu kita, dalam bahasa kasih sayang yang paling indah dan dapat dirasai oleh mereka. Hadiahkan mereka sebuah dakapan erat sambil melafazkan kata: “Ibu, anakanda sayang pada Ibu, terima kasih atas jasa baik ibu.”

Bagi yang ibu mereka telah tiada, kita masih boleh berbakti kepada mereka dengan sentiasa berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapa kami, masukkan mereka ke dalam syurga Firdaus-Mu, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami semasa dalam kandungan, ketika melahirkan, menyusukan, mendidik dan membesarkan kami dengan penuh kasih sayang .” Aamiin.

Dan kepada yang belum Islam, sambutlah Hari Ibu, menurut budaya sambutan dan kepercayaan masing-masing untuk menghargai ibu .

3. Islam mengambil perhatian tinggi terhadap berbuat baik kepada ibu bapa dengan meletakkannya sebagai kewajipan pertama setelah beriman kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

Firman Allah :

ٰﻰَﻀَﻗَو ٰ ﻚﱡﺑَر َ ﱠﻻَأ آوُﺪُﺒۡﻌَﺗ ْ ﱠﻻِإ ٓ هﺎﱠﻳِإ ُ ﻦۡﻳَﺪِﻟٲَﻮۡﻟﭑِﺑَو ِ ﺲۡﺣِإ ـَ ۚ‌ﺎًﻨ

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

Al-Isra’ ,17:24.

Firman Allah:

ﺎَﻨۡﻴﱠﺻَوَو ﺲﻧِۡﻹٱ ـَﻦٰ َ ﻪۡﻳَﺪِﻟٲَﻮِﺑ ِ ۖ‌ﺎًﻨۡﺴُﺣ

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.” Al-‘Ankabuut,29: 8.

Dalam hadis Sahih Bukhari , seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang maksudnya : “Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?” ,

Jawab Nabi: “Ibu kamu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Selepas itu?”

Jawab Nabi: “Ibu kamu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Selepas itu?”

Jawab Nabi: “Ibu kamu.”

Kali keempat lelaki itu bertanya: “Selepas itu?”

Jawab Nabi: “Bapa kamu.”

Hadis ini mengisyaratkan untuk kita melebihkan hak ibu tiga kali ganda daripada bapa kerana kesusahan dan pengorbanan ibu sewaktu mengandung, melahir, menyusu dan seterusnya mendidik serta membesarkan anak itu dengan penuh kasih sayang. Jasa seorang ibu tidak mungkin dapat dibalas oleh seorang anak sebagaimana digambarkan oleh Sayyidina Abdullah bin Umar al Khattab r.a. dalam kisah berikut;

Seorang lelaki datang kepadanya dan berkata, "Saya telah mendukung ibu saya sepanjang tawaf, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu?" Jawab Ibn Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun satu hembusan nafas ketika melahirkanmu.”

Berbakti kepada ibu adalah amalan yang utama kerana ganjarannya begitu besar , mendapat ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan mendapatkan kemenangan syurga di akhirat.

4. Wanita IKRAM menyarankan semua ahli dan anggota masyarakat agar giat menganjurkan serta menghadiri majlis-majlis sambutan Hari Ibu bagi tujuan mengingatkan masyarakat perihal kewajipan berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam suasana kesibukan masyarakat mengurus kehidupan harian dan bertambahnya gejala-gejala keruntuhan institusi keluarga, maka sewajarnya mereka diingatkan tentang peranan dan tanggungjawab menjaga dan menyantuni ibubapa. Bertambahnya pusat jagaan orang tua dan penghuni rumah warga emas ini menjadi bukti kepada kurangnya keprihatinan dan rasa tanggungjawab seorang anak kepada ibubapa. Semakin benarlah ungkapan yang mengatakan seorang ibu boleh menjaga sepuluh anak, namun sepuluh anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Kepada ibu-ibu sekalian, berbahagialah kerana dari rahim-rahim kalianlah lahirnya semua manusia di dunia ini. Allah s.w.t. telah memartabatkan kalian dengan satu tugas besar yang mulia dan tidak mungkin dipikul oleh orang lain.

Besarnya jasa seorang ibu ini digambarkan dalam bait-bait puisi berikut:

“Seorang Ibu adalah sekolah,

Apabila engkau persiapkan dengan baik,

Maka engkau telah mempersiapkan satu generasi yang harum”.

Manakala Napolean Bonaparte pernah ditanya , “Benteng manakah di Perancis yang paling kuat? Ia menjawab, “ Ibu yang baik.”

Maka wahai kaum ibu sekalian, marilah kita mainkan peranan kita dengan sebaik-baiknya. Peranan untuk mengandung, melahirkan, menyusukan dan seterusnya mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang. Berilah penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membenteng manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.

Bagi ibu-ibu yang bekerja, lengkapkanlah diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jati diri setiap ahli keluarga, terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu dan bapa dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.

5. Wahai para suami, bantu dan sokonglah isteri kalian. Suami kepada seorang isteri yang bekerja harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul.

6. Bagi ibu tunggal yang bekerja, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.

7. Kepada pihak berwajib dan anggota masyarakat lainnya, bantulah para ibu dengan memastikan semua majikan sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata. penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Para penggiat media dan industri hiburan hendaklah menyediakan bahan-bahan yang boleh membantu ibu-ibu membina generasi yang mempunyai jati diri yang kuat serta bebas daripada unsur dan pengaruh yang merosakkan.

Akhirnya, marilah sama-sama kita menyanjung pengorbanan dan jasa ibu kita semua.

“Ibu di hati, syurga menanti. ”

Selamat Hari Ibu


Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments: