Semerbak Kasturi
"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)
BINA HARAPAN MALAYSIA
Thursday, 16 May 2013
Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH
Perutusan: Sempena
16 Mei 2013
Tema: “Murabbi IKRAM-MUSLEH: Membina Pemimpin Umat dan Masyarakat”
Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ilahi azza wajalla di atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya s.w.t. ke atas kita sehingga kini. Kita amat bersyukur kepada Allah s.w.t. dan mendoakan moga-moga perjalanan Majlis ini diberkati-Nya – amiin.
Alhamdulillah kita amat bersyukur dan gembira kerana usaha ”memperkasakan pendidikan Islam” telah melihatkan penglibatan aktif dan bersungguh bukan sahaja daripada pihak warga IKRAM-MUSLEH tetapi juga daripada semua pihak secara langsung dan tidak langsung. Kita lihat semua ini dari sudut pandangan yang positif. Sesungguhnya menyeru manusia ke jalan Allah swt adalah tanggungjawab setiap muslim dan muslimah. Firman Allah swt dalam surah an-Nahl: 125
Maksudnya:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk."
Guru-guru dan murabbi yang dikasihi,
PRU-13 yang baru berlalu telah menyaksikan proses pelantikan kepemimpinan melalui proses demokrasi berparlimen. Di antara perkara yang boleh kita lihat ialah kecelaruan umat di dalam menilai kelayakan pemimpin ketika pelantikan wakil rakyat dan seterusnya kepemimpinan negara. Kita lihat sebahagian daripada wakil dan pemimpin yang dipilih bukan berdasarkan kelayakan dan kewibawaan tetapi kerana kekuatan kewangan atau pengaruh. Khidmat seseorang kepada Islam dan Ummah, sumbangannya kepada amar maaruf nahi mungkar tidak menjadi pertimbangan.
Ini menguatkan tekad kita bagi meningkatkan lagi usaha memartabatkan sistem pendidikan kita bagi melahirkan generasi pemimpin baharu bagi merealisasikan firman Allah SWT bermaksud:
“Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jugalah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj, ayat 41)
Seperti yang kita semua yakini, murabbi memainkan tugas penting di dalam usaha-usaha untuk melahirkan generasi pemimpin masa depan, yang bakal memimpin ummah dan masyarakat. Oleh itu, kerja-kerja yang dibuat oleh murabbi IKRAM-Musleh tidak boleh dilihat dalam rangka hanya masuk kelas keluar kelas. Murabbi bukan hanya sekadar pengajar, mudarris atau cikgu. Tetapi jika dilihat di dalam rangka yang lebih besar, maka murabbi sedang menyediakan bakal pemimpin yang didambakan oleh ummah dan masyarakat.
Guru-guru dan murabbi yang dikasihi,
Para ulama’ telah menggariskan ciri utama seorang pemimpin sebagai al-Qawiy (kuat) dan al-Amiin (amanah). Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang menyebutkan anak perempuan nabi Syuaib a.s. pernah menyarankan kepada bapanya supaya mengambil nabi Musa a.s. sebagai orang upahan kerana beliau memiliki dua sifat agung iaitu al-Qawwi (kuat) al-Amiin (amanah). Dalam surah Al-Qasas: 26, Allah swt berfirman bermaksud:-
(Dia berkata): "Wahai ayah, ambilah Dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah."
Al-Qawiy bermaksud mempunyai 'kekuatan', tetapi ‘kuat’ yang dimaksudkan bukan sekadar sihat dan kuat tubuh badan. Ia meliputi juga sifat-sifat terpuji seperti sihat mental dan rohani, berkemahiran, berwawasan, berani, cerdik, rajin, bersemangat, bermotivasi, berdisiplin, bersungguh-sungguh, sedia berkorban, kreatif dan inovatif.
Al-Amiin pula membawa maksud kemantapan peribadi, meliputi sifat-sifat mulia seperti amanah, ikhlas, benar, jujur, berintegriti, bertanggungjawab, menepati janji dan sabar.
Guru-guru dan murabbi yang dikasihi,
Untuk merealisikan pemimpin generasi baru, kita bertanggungjawab untuk menanamkan ciri-ciri iaitu al-Qawwi dan al-Amiin di dalam anak-anak didik kita. Di samping itu, menjadi tanggungjawab kita juga untuk berusaha mewujudkan ciri-ciri berkenaan di dalam diri kita selaku murabbi.
Al-Qawwi dan Al-Amiin adalah sifat yang penting. Namun, ciri-ciri berkenaan sahaja tiada makna sekiranya ia terpisah daripada kerangka Aqidah.
Oleh itu, untuk mendasari semua sifat di atas, pemimpin perlu mempunyai aqidah yang kukuh. Falsafah Pendidikan Islam yang kita dokongi ‘..suatu proses pendidikan yang berteraskan aqidah at-tauhid..’ menegaskan bahawa sistem pendidikan Islam perlu memastikan bahawa anak didiknya sentiasa menuju ke arah konsep dan penghayatan aqidah at-tauhid sepenuhnya. Ilmu dan kefahaman, skil dan amalan praktikal, syakhsiyah, peradaban serta penghayatannya wajiblah berlandaskan kepada konsep aqidah at-tauhid.
Malah, bolehlah dikatakan bahawa aspek inilah yang membezakan antara sistem pendidikan Islam dengan apa jua sistem pendidikan yang lain. Ini jugalah yang membezakan keunggulan kepemimpinan Islam dengan kepemimpinan ‘hebat’ yang lain.
Konsep bahawa Allah s.w.t. adalah Rabb dan Ilaah perlulah difahami secara makro dan mikro; Dia-lah Maha Pencipta, Maha Pemilik, Maha Penguasa. Dia-lah sahaja yang menjadi tumpuan ibadah, tumpuan kecintaan, tempat perlindungan dan sumber rezki. Senjata utama bagi seseorang muslim adalah zikrullah dengan ertikata yang luas; yang akan mengerakkannya ke arah “memburu” hikmah dan hidayah Allah s.w.t. dimana sahaja dan setiap masa.
Moga-moga dengan mengenali Allah s.w.t., seseorang pemimpin yang bakal kita lahirkan akan dapat mencapai keredhaan-Nya. Tatkala itu, beliau akan sentiasa bermohon agar dirahmati-Nya. Dan tiadalah rahmat yang paling diingini oleh setiap insan selain daripada Jannatul Firdaus. Dengan itu, lahirlah pemimpin yang sentiasa mendekatkan dirinya dengan Allah swt dengan amalan-amalan ikhlas kerana-Nya semata-mata.
Zulkarnain, yang dikisahkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al- Kahfi (83-98) merupakan satu contoh terbaik pemimpin sedemikian; mempunyai ciri al-qawwi dan al-amiin dan sentiasa kukuh hubungan dan yakinnya dengan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. telah menyebut bagaimana Zulkarnain meraikan kejayaannya membina tembok yang begitu kukuh:
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar." (Al-Kahf:98)
Guru-guru dan murabbi yang dikasihi,
Inilah hala tuju menyeluruh bagi sistem pendidikan Islam – meletakkan asas-asas pemimpin ummah yang kukuh aqidahnya, mempunyai ciri al-Qawwi dan al-Amiin, mulia akhlaknya, menghayati syariat Islamiah dalam dirinya sendiri dan menegakkannya dalam masyarakat.
Di sinilah peranan para guru, pendidik, murabbi kita. Peranan mereka adalah membina, membentuk, membimbing, merangsang dan memperkembangkan segala potensi kurniaan Allah s.w.t. ke dalam diri anak-anak kita sehingga mereka mampu mengajak ke jalan Allah s.w.t. dengan cara berhikmah dan bijaksana.
Hakikatnya, ia adalah suatu tuntutan yang amat berat bagi para murabbi kita. Walaubagaimanapun kita yakin, insyaAllah dengan kerjasama, sokongan dan dokongan semua pihak, tanggungawab ini akan dapat dilaksanakan dengan cemerlang.
Kita juga bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana sokongan dan dokongan masyarakat terhadap sistem pendidikan Islam kian hari kian meluas. Ini juga membawa makna bahawa kita telah memahami dengan lebih mendalam lagi, hasrat sistem pendidikan Islam, kepentingannya dalam kehidupan seharian dan peranannya dalam pembangunan ummah.
Fasa pelajar adalah fasa yang paling kritikal dari sudut pembinaan, pembentukan dan pembangunan asas-asas kepemimpinan dalam diri seseorang manusia. Setiap program hendaklah dirancang dan disemak agar ianya sentiasa releven, efektif, efisyen dan yang paling utamanya diberkati Allah s.w.t. Sekiranya budaya kepemimpinan pelajar telah dapat dihidupkan dalam institusi pendidikan kita, ia dengan sendirinya insyaAllah akan dapat menjana generasi kepemimpinan dalam kalangan pelajar secara berterusan.
Penutup
Moga-moga kita semua akan memanfaatkan segala peluang dan kekuatan yang ada, bermujahadah dalam membina generasi anak-anak kita – para pelajar di SRI-SMI – diberkati dan di redhai Allah azza wa jalla – amiin. Firman Allah swt dalam surah Ali Imran: 139.
Maksudnya:
"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."
Moga-moga Allah s.w.t. memberkati sambutan Hari Murabbi tahun ini. Moga-moga hasrat dan impian kita untuk melahirkan generasi rabani, generasi yang akan memimpin ummah akan tercapai. Moga-moga Allah s.w.t. memberi kita semua kekuatan iman dan taqwa; dan memudahkan kita dalam perjuangan ini – amiin ya Rabb.
Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM-MUSLEH 2013.
Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi JK Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment