Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Thursday, 13 January 2011

Bagaimanakah kamu nanti...?


Apabila membaca pengkisahan pejuang-pejuang Islam yang menentang penjajah dan fahaman sekularisma di negara masing-masing khususnya di benua Afrika, semenanjung Arab, India dan Pakistan, terasa kita ini amat bersenang lenang dalam seribu satu macam keselesaan. Sesungguhnya ujian yang paling dahsyat yang menimpa umat ini ialah ujian kesenangan.

Mereka yang berjuang demi untuk mendaulatkan gagasan Islam di negara yang mereka cintai itu bukan lah calang-calang orang tetapi tokoh dan ilmuan setempat. Kebanyakan mereka daripada golongan profesional, memiliki PhD, ada yang dalam bidang falsafah, pendidikan, syariah dan lain-lain lagi. Mereka bangun mempertahankan prinsip agama dalam kekalutan politik melampau, kegawatan ekonomi yang membelit, penafian hak rakyat dalam pemerintahan autokratik yang menindas dan melucutkan segala elemen Islam dalam semua aspek kehidupan. Professor Rashid Al Ghanusi di Tunisia sebagai contoh. Beliau dipenjarakan puluhan kali kerana nenentang boneka Penjajah Perancis, Habib Bourguiba yang dinobatkan sebagai presiden pertama Tunisia. Semasa hidupnya, Bourguiba melarang undang-undang keluarga Islam, memansuhkan takwim hijrah, melarang orang Islam berpuasa di bulan Ramadhan, menubuhkan kelab bogel, menutup masjid-masjid, mencela Al Qur'an dan As Sunnah dan banyak lagi. Penggantinya, presiden Ben Ali yang memerintah Tunisia sekarang ini turut mewarisi pemerintahan Bourguiba dengan mengarahkan seorang polis untuk mengawasi kegiatan setiap 100 rakyat Tunisia.

Kita tidak mahu diuji sedemikian rupa tetapi kesenangan yang kita kecapi sungguh melalaikan. Prinsip kita mudah benar ditawar menawar, dijual-beli, dengan harga yang murah sekali. Kita mudah dikalahkan dengan janji-janji manis dan umpan yang diselaputi "gula-gula yang menarik" dan meleburkan hati hingga kita bacul dalam kata-kata dan tindakan. Islam didagang di hadapan mata, musuh sedang menunggu saat dan ketika....apabila diingatkan ramai yang menyinga, membantah segala kerana takut hidup sengsara dalam kemuliaan dan lebih rela bermewah-mewahan dalam kehinaan. Rasulullah bimbang akan keadaan umat baginda dan menggambarkannya seperti berikut:

Daripada Ali bin Abi Talib Radhiyallahu 'anhu: “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair Radhiyallahu 'anhu dan tiada di atas badannya kecuali hanya selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam melihat kepadanya, Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana terharu mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu ( kerana sangat dimanjakan oleh ibunya ) dan kerana melihat nasib Mus’ab sekarang ( ketika berada di madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kemewahan di Mekah. Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi ( menghiasi ) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka’abah?. Maka jawab sahabat, “ Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada ibadah sahaja dan tidak perlu mencari rezeki”. Lalu Baginda bersabda : “Tidak, keadaan kamu pada hari ini lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu”. (Hadith Riwayat Al-Tirmizi).

Sebagaimana yang dirumuskan oleh seorang sahabat saya, Dr. IK, yang berkesan dalam penyampaian seerah, semasa slot tazkirah dua hari yang lepas, berkaitan dengan hadis di atas bahawa hidup kita perlu kepada kepayahan dan kesusahan, agar kita sentiasa dekat kepada Allah. Hakikatnya, kemewahan melalaikan kita untuk memperingati Allah walau sehebat mana sekali pun penghujjahan kita.

Semoga Allah sentiasa membantu serta memimpin kita untuk mengingati Nya, mensyukuri nikmat Nya dan elok dalam beribadah untuk mencapai keseimbangan dalam kehidupan, amin.

Allahu 'alam.

No comments: