Sukar sungguh untuk melelapkan mata di pagi hari raya korban kali ini. Terkenangkan jubah dan tudung putih yang masih lagi belum bergosok dan terdampar di atas lantai. Sejak pulang dari mengerjakan haji pada tahun 2007, seingat saya, belum pernah berpeluang solat Aidul Adha. Jubah dan tudung putih yang menyimpan seribu kenangan manis itu akan saya sarungkan esok,insyaAllah.
Tiada kenangan dan pengalaman yang lebih manis dalam kehidupan ini daripada menjadi tetamu Allah dalam kembara spiritual di dua bandar raya yang mulia serta penuh barokah, Madinah Al Munawwarah dan Makkah tul Mukarramah. Dua bandar yang paling cantik di dunia sebab di dalam nya terdapat ketenangan, ketenteraman dan kebahagiaan maksima yang diraih lantaran berada sangat dekat, di dalam pelukan Dia yang kita kasihi lagi cintai. Kita sangat senang kepada Nya dan Dia juga senang kepada kita.
Terkenang sambutan hari raya korban di Mina, ketika kelazatan beribadah memuncak, di kala kesyahduan pengaduan dan perjanjian dengan Allah semasa di Arafah, masih lagi berbekas di sanubari, semoga kekal hingga ke akhir hayat, amin. Kami dinasihatkan segera solat Aidul Adha secara bersendirian dan bersiap-siap untuk melontar di Jamrah. Ketika itu, tiada Metro Makkah. Kami berjalankan kaki melalui terowong Muassin sambil melaungkan takbir raya dengan jamaah haji Melayu-Asia yang lain. Teman sebilik dan suaminya menemani saya, hingga selesai bertahlul setelah helaian rambut saya digunting oleh Kak Ngah.
Tiada lauk rendang, tiada ketupat dan lemang, yang ada hanya Indo-mee, biskut komersil yang sangat manis dan air teh citra rasa sendiri dengan uncang teh, gula dan air panas yang disediakan oleh pihak muasassah kerajaan Arab Saudi, sebagai pengalas perut sementara hidangan nasi ala kadar pada waktu tengahari dan malam nyaman lagi dingin, diiringi angin sepoi-sepoi bahasa.
Masa selama tiga hari di mina berlalu dengan pantas sekali, waktu cukup berharga itu dipenuhi dengan wirid dan pelbagai solat rawatib, mengukuhkan ikatan ukhuwwah, dimeriahkan dengan aktiviti "sabar menanti" giliran ke bilik air dan mengambil wudu'. Di Mina, amalan kesamarataan berlaku tanpa mengira anda berperjalanan melalui pakej atau mode muasassah ("bersusah payah") Tabung Haji. Semua nya menunggu tandas yang satu jenis itu, di sini lah kesabaran teruji lagi dengan pelbagai karenah manusia, secara berterusan. Pengertian pengorbanan yang praktikal benar-benar dituntut. Harapan begitu menggunung setelah selesai kerja-kerja haji, agar kekal dan bertambah segala kebaikan hingga ke penghujung nyawa dengan izin serta bantuan Allah.
"Ya Allah, Tuhan yang mengendalikan hati, kendalikanlah hati-hati kami untuk berbakti kepada-Mu"
(Hadis riwayat Muslim)
"Ya Allah, sesungguhnya, aku berlindung kepada Mu dari segala keburukan atau kejahatan amal yang lalu maupun yang akan datang"
(Hadis riwayat Muslim)
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar...walillah ilhamd
Semoga bermanfaat. Allahu 'alam.
No comments:
Post a Comment