Pembaca yang dirahmati Allah, didoakan sihat sejahtera dan ceria selalu. Di minggu terakhir bulan januari 2010, saya telah berkunjung ke bahagian perlesenan JPJ untuk memperbaharui lesen memandu saya. Setelah selesai urusan dan di dalam perjalanan saya untuk keluar dari bangunan JPJ itu, saya terserempak dengan seorang pemuda, sedang-sedang badannya, berkulit gelap dan memakai kemeja-T merah dengan tulisan berwarna putih. Pemuda itu menundukkan pandangannya apabila dia sedar, saya sedang membaca tulisan yang tertera di hadapan kemeja-T nya.."I used to be single and happy...", setakat itu sahaja. Spontan saya mengukirkan senyuman, geli hati kerana jarang sekali spesies insan bernama lelaki begitu mudah dan selesa untuk meluahkan perasaan begitu, sama ada secara lisan atau isyarat non-verbal begitu. dalam hati saya berkata-kata:this is something...cepat-cepat saya menoleh ke belakang bajunya untuk membaca "gesture" yang seterusnya.Tertulis:"...but now I am the happiest". Salah satu tafsiran yang mudah daripada kedua-dua tulisan itu ialah pemuda tadi telah berpunya(harap-harapnya berkahwin) dan menikmati kehidupan yang lebih bahagia daripada zaman membujang. Tahniah kepada pemuda ini serta golongan yang mengiklankan budaya hidup sihat melalui pemakaian T-shirt, pelekat di kereta dan seumpamanya.
Saya terpanggil untuk menengahkan isu kahwin-bujang ini. Skop perbincangan yang sungguh luas dan lebih berkesan lagi terkesan jika dilaksanakan dalam bengkel atau seminar kekeluargaan Islam. Matlamat dan pendirian hidup saya amat jelas, alhamdulillah. Jika diturutkan hati, saya letih mental dan fizikal untuk membicarakan isu kahwin-bujang ini kerana perkara ini sepatutnya telah jelas lagi terang. Tegasnya, apabila saya menyuarakan pandangan tentang kehidupan kahwin-bujang, saya tidak berniat dan berminat untuk meraih simpati atau perhatian. I am not a symphaty or an attention seekers. Saya merasakan suatu keperluan untuk membicarakannya, platform ini difikirkan sungguh sesuai untuk dimanfaatkan bagi memperjelaskan 'holistic view' saya tentang beberapa perkara.
Isu kebahagiaan bukan berkisar kepada kenikmatan hidup di alam perkahwinan atau kebebasan tanpa batas semasa bujang senang. Tetapi kebahagiaan mutlak bertakhta di hati dan benak fikiran individu itu sendiri. Ketenangan jiwa dan fikiran yang lahir atas dasar kesyukuran terhadap segala nikmat dan kurniaan Nya. Bagaimana pandangan dan persepsi individu tersebut terhadap kehidupan yang dicorakkan oleh pendidikan dan latihan yang dilaluinya, diperkayakan dengan pelbagai pengalaman serta hasil interaksi dengan anggota masyarakat dan faktor-faktor lain yang tidak kurang pentingnya, boleh mempengaruhi pemikiran dan tindakan seseorang.
Kita perlu akur bahawa habuan yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap daripada kita adalah berbeza. Allah Pencipta kita. Allah Maha Mengetahui apa yang kita perlukan dan terbaik untuk kita kerana Dia sayang kepada kita. Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengasihani. Allah sengaja tidak kurniakan kesemua yang kita inginkan atau menjauhkan sebahagian perkara yang boleh merosakkan kita kerana Dia kasih kepada kita. Allah juga Maha Pemurah, Dia akan mengurniakan apa sahaja yang hambanya usahakan walaupun di kalangan hambanya yang melanggar ketetapan-ketetapanNya sebagai ujian sejauh mana keterlaluan mereka dalam melampui batas-batas Allah tetapi sedarlah Allah hanya sayang dan kasih kepada hamba-hamba yang sentiasa taat kepada Nya.
"Cinta Allah kepada hamba-hamba-Nya melebihi cinta ibu tadi kepada anaknya" (HR Ahmad)
( Rasulullah bertanya kepada para sahabat apabila melihat seorang ibu memegang anaknya. Apakah pandangan kalian, sanggupkah wanita itu melemparkan anaknya ke neraka". Mereka menjawab, "Tidak")
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah(nikmat) kepadamu." (Ibrahim:7)
Justeru itu, setiap manusia melalui pelbagai ujian dengan tahap yang berbeza. Bukan semua orang diuji dengan perkahwinan, bukan semua yang berkahwin secara automatik dikurniakan anak atau anak yang ramai, walaupun kita "by designed" dilengkapi dengan alat peranakan yang sempurna. Kehidupan kita akan monotonus jika semua orang berkahwin maka tidak terkawal lah populasi manusia. Suatu perkara yang pelik juga jika semua manusia membujang kerana manusia berhenti membiak dan akan pupus. Keadaan ini melanggar syariat dan melawan sunnatullah (hukum alam) kerana hanya insan merupakan khalifah yang mampu dan dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan bumi ini dengan melaksanakan Islam sebagai satu-satunya cara hidup (The Only Way Of Life) yang dijanjikan kecemerlangan oleh Allah.
Hidup kita dimeriahkan dengan kepelbagaian ini iaitu kehidupan berkelamin dan kehidupan membujang. Setiap corak kehidupan berkahwin dan membujang mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Bukan mudah mengharungi kehidupan berumahtangga. Tanggungjawab yang berat untuk mendidik setiap anggota keluarga sebagai anggota masyarakat yang berjaya lagi berguna dan menurut spesifikasi ajaran Islam. Hidup membujang juga merasakan cabaran kehidupan khusus nya berada bersama segelintir masyarakat Malaysia yang memandang mereka yang membujang sebagai suatu "kecacatan". Golongan membujang yang kononnya tiada pembela dan boleh diperlakukan sesuka hati...tersilap besarlah mereka yang pendek akal ini. Golongan bujang pula tidak seharusnya merasakan kekurangan diri dan membazir masa bersedih hati kerana tidak 'dimiliki'. Golongan bujang harus manfaatkan kelapangan waktu bujang untuk menabur bakti dalam pelbagai bentuk, setiap ketika dan di mana sahaja menurut keupayaan dan kemampuan masing-masing. Golongan bujang yang ditakdirkan bujang hingga ke akhir hayat, harus melihat diri sebagai "golongan kelainan upaya" dan berusaha gigih untuk melayakkan diri ke laluan "fast track, "nothing to declare lane" di padang Mahsyar kelak, insyaAllah. Syurga itu bukan khusus untuk mereka yang berkahwin sahaja. Yang pasti dan jelas, tidak lah Allah menjadikan sesuatu itu sia-sia. Sama ada kita, bujang atau berkahwin, kita semua mempunyai fungsi masing-masing yang wajib disempurnakan dan pelbagai tanggungjawab di "penjuru" masing-masing yang bakal dipersoalkan oleh Allah kelak.Syurga Allah itu mahal harga nya, hanya dihuni oleh mereka yang berusaha keras, melalui pelbagai rintangan dan sentiasa berkorban serta terkorban. Semoga Allah permudahkan segala urusan kita dan memperkenan kita sebagai penghuni syurgaNya, amin.
"Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya" (Al-Lail: 4)
"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan"
(At-Taubah:105)
"Ya Rabb kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami, dan kukuhkan pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang yang kafir" (Al Baqarah: 250)
Hakikat kehidupan dunia hanyalah ibarat sang musafir berteduh di pohon yang rendang, sementara dan sebentar cuma.
"Apalah artinya dunia ini bagiku, di dunia ini akau hanya seseorang musafir yang bernaung di bawah pohon, lalu dia beristirehat, dan kemudian meninggalkannya" (HR Ahmad)
Dunia merupakan pentas ujian dan permainan yang melalaikan/mendustakan. Kehidupan akhirat jua yang kekal abadi. Dunia bukan matlamat orang-orang mukmin. Orang-orang mukmin yang bertaqwa dimotivasikan oleh kehidupan akhirat. Bukan kerana individu, bukan kerana pencapaian, bukan untuk menunjuk kehebatan diri, bukan untuk bersaing tetapi setiap langkahnya terpimpin oleh kejelasan matlamat hidup untuk meraih keredhaan Allah semata-mata. Dunia hanya lah perantara untuk menuju kehidupan akhirat. Mari sama-sama kita berusaha untuk memanfaatkan waktu dan usah membuang waktu menghitung kelebihan dan kekurangan habuan Allah kepada kita. Kita bersyukur dengan apa sahaja kurniaannya dan fokus dengan pencapaian matlamat hidup untuk meraih keredhaan serta kecintaan Allah. Kita ke syurga Allah bukan kerana banyak nya amalan kebaikan kita tetapi kerana Rahmat, kasih sayangnya, amin ya Rabb.
Kita sentiasa melalui pelbagai pendidikan dan latihan. Sebahagian daripadanya ialah kita sering melakukan kesilapan dan mengambil keputusan yang tidak tepat supaya kita terus belajar serta tabah mengharungi kehidupan. Kita akur dengan segala ketetapan Nya.Semoga Allah ampuni segala dosa-dosa kita yang lalu, semasa dan akan datang. Semoga Allah ganjari segala kepayahan dan keperitan yang kita lalui, amin. Sesungguhnya saya bertuah masih memiliki anggota keluarga yang prihatin dan penyayang walaupun dari keluarga yang tidak sempurna. Saya ditemani oleh para sahabat, teman dan ahli keluarga mereka, yang memahami, menyayangi saya tanpa batas dan syarat. Anak-anak didik yang menyokong untuk sama-sama meneruskan perjuangan di dalam bidang pendidikan dan organisasi. Kasih sayang saya juga mahal harganya dan tinggi nilainya, hanya saya curahkan kepada mereka yang pandai menghargai dan ikhlas menerimanya.
"Barangsiapa tidak mengasihi, maka ia tidak dikasihi"
(HR Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Allahu 'alam. With that, i raise my points and rest my "case".
Terima kasih kerana bersabar dan sudi membaca hingga ke akhir huruf, semoga bermanfaat.
1 comment:
Emm..tajuk posting ni buat org suspens la..:) memang panjang.."mari bersabar" membacanya
Post a Comment