Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Sunday 29 June 2008

Senjata kita...Kekuatan kita...Pedoman kita

Salam sejahtera para pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Didoakan sihat dan 'afiat.

Pada hari jumaat, 27 Jun 2008 yang lepas, saya meraikan hari persaraan seorang rakan pensyarah dan juga merupakan salah seorang mentor saya di dewan Perdana, Hotel Seri Malaysia. Tiga jam sebelum itu, majlis "send off" di adakan di dewan Seri Melati, oleh warga Institut Perguruan Ipoh, Perak. Ramai pensyarah yang tidak hadir kerana "urusan rasmi". Kedengaran deringan telefon bertalu-talu semasa majlis berlangsung, mungkin kerana ketidakpekaan hadirin atau satu tanda protes terhadap beliau oleh golongan tertentu. Wanita berusia 56 tahun itu bukanlah seorang yang popular di kalangan staf akademik kerana sikapnya yang tegas, berprinsip, mempunyai etika kerja yang "ketat" dan dalam banyak hal tidak memudahkan urusan banyak pihak. Saya juga merupakan salah seorang daripada mereka yang tidak setuju dengan tindakan tertentu beliau. Namun demikian, beliau tidak menghiraukan semua cemuhan manusia dan terus menjalankan tugas dengan dedikasi serta mengharungi segala risiko.
Kesedaran beliau akan tanggungjawab kepimpinan dan akan dipersoalkan kelak sebagai seorang ketua jawatan serta rakan "senior", melaksanakan amar ma'aruf dan nahi mungkar tidak pernah beliau abaikan. Justeru itu beliau dilabel sebagai seorang yang "rigid" dan "menyusahkan" orang lain. Di sebalik semua tanggapan itu, beliau seorang yang berhati mulia, bermurah hati dengan menghulurkan sumbangan kewangan dalam program-program kebajikan dan tidak lokek kasih sayang kepada rakan-rakan yang memberi peluang serta ruang kepadanya. Saya menjangkakan keadaan yang lebih buruk akan berlaku berdasarkan maklumat yang saya terima daripada perbualan secara langsung dengan sebahagian pihak. Alhamdulilah, majlis yang dijangka akan "cacat" itu, diakhiri dengan kebaikan yang melimpah ruah, meninggalkan kenangan yang indah dan pengunduran seorang yang berjasa dengan cara terhormat sekali...semata-mata kerana amalan keramat...keikhlasan...

Ikhlas merupakan rahsia kekuatan jiwa, mental dan fizikal kita. Senjata untuk memerangi pujuk rayu syaitan durjana dan kuncu-kuncunya yang sentiasa memerangi orang mukmin di setiap penjuru dan ketika. Ikhlas telah terbukti menjadi benteng dari segala jenis kejahatan. Ini diperakui sendiri oleh iblis yang diceritakan dalam kitab suci Al Qur'an dalam surah Shad: 79 - 83 yang bermaksud:

"Iblis berkata, 'Ya Tuhanku, bertangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan'. Allah berfirman, 'sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari kiamat)'. Iblis menjawab, 'Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka'. "

Amalan yang ikhlas ini hanya urusan kita dengan Allah sahaja...syaitan tidak tahu, para malaikat pun terkecuali untuk menilainya...hebatnya keikhlasan ini. Tanpa keikhlasan...betapa besar sekali amalan kita itu tidak akan dikira. Oleh itu, syaitan dan para pengikutnya akan berusaha sekeras mungkin untuk memesongkan niat ikhlas kita pada awal tindakan kita agar segala kerja buat itu akan menjadi sia-sia ...maka datanglah unsur-unsur riya' pula...

Ustaz Amru Khalid, seorang imam masjid Asy Sheikh Mahmud Khalil Al Hashry, Cairo, mengupas tentang pengurusan qalbu ala mesir dalam siri khutbah beliau dalam buku "Hati Sebening Mata Air" menyatakan bahawa beramal kerana manusia adalah riya' dan meninggalkan amal soleh kerana manusia juga riya'

Sebagai panduan untuk kita memeriksa setiap amalan kita agar tidak tersasar daripada landasan yang ditetapkan Allah dan meraih ganjaranNya. Beliau telah mengutarakan lima tanda-tanda ikhlas seperti berikut:

1) Selalu waspada terhadap diri sendiri dan menganggap selalu kekurangan.
2) Tidak "mengemis" pujian dari manusia. (Tidak minta dipuji dan tidak marah jika tidak dipuji)
3) Jangan berubah meskipun manusia berbuat kerusakan.
4) Jadikanlah niat sebagai "poros" hidup kita.
(Semua amal perbuatan harus sesuai dengan niat kita)
5) Kita menyembunyikan amal kebaikan, kecuali agar diteladani manusia.
( tetap harus memiliki amalan yang kita sembunyikan hingga tidak diketahui manusia, dan
menjadi rahsia kita dengan Allah, s.w.t.)

Semoga perkongsian yang sedikit ini, bermanfaat serta menjadi amalan harian kita. Allahu 'alam.

No comments: