Membantu dan memberikan perlindungan kepada Dr Zakir Naik selaku pendakwah Islam yang terdedah kepada bahaya di negaranya adalah suatu maslahat, menjaga keharmonian kaum dan kestabilan politik setempat adalah juga suatu maslahat. Jika boleh kita ingin menjaga kedua-duanya sekaligus. Pun begitu, masalahat awam sentiasa lebih diutamakan dalam banyak keadaan.
Saya difahamkan, Dr Zakir, selaku Permanent Resident (PR), berdasarkan Bah 2, 'Fundamental Liberties' perkara 10 perlembagaan Persekutuan, kelihatan memang berbeza peruntukkan kebebasan bersuara bagi warganegara berbanding pemegang PR yang belum dianggap warga. Justeru memang ada sekatan atas kebebasan bersuara terhadap PR. DZN perlu dimaklumkan akan hal ini.
Oleh itu, adalah lebih baik beliau BERDIAM sahaja dari sebarang ucapan yang boleh memprovokasi atau menyindir mana-mana pihak yang tidak suka kepadanya di Malaysia ini. Ucapan terbabit jika dipolitikkan atau dipakaikan 'pakaian perkauman' pula akan lebih menyukarkan keadaan memberikan perlindungan kepadanya nanti. Pimpinan kerajaan Malaysia ini masih mahu membantunya namun jika dirinya sendiri tidak membantu kerajaan serta tetap dengan gaya dan caranya sendiri, maka tatkala itu, tiada siapa yang patut dipersalah kecuali dirinya sendiri.
Lebih baik, dakwah perbandingan agamanya di Malaysia diteruskan oleh anak-anak muridnya yang lebih memahami situasi negara dan kurang mencetus kontroversi, manakala DZN hanya melaksanakan kelas-kelas secara tertutup tanpa liputan media atau live stream melatih kader-kader dakwah dalam bidang kepakarannya.
Apapun, Dr ZN sudah meminta MAAF. apa yang kini kita mahukan adalah pemimpin politik termasuk menteri (khususnya menteri perpaduan yang tidak performed dalam tugasnya) yang turut pernah mengeluarkan kenyataan perkauman lebih teruk lagi untuk meminta MAAF.
Isu PERKAUMAN memang 'sedap' dan pasti mendapat sambutan jika dimainkan, ibarat kudis yang lazat digaru pada awalnya, tapi berbisa dan sakit boleh merebak dan berpanjangan selepas itu. Kerana itu, saya secara peribadi menasihati diri dan yang lain agar elak diri dari memperbesarkan sebarang isu yang boleh melebarkan retakan perkauman di dalam negara.
Baginda nabi pernah menegur sokongan atas dasar perkauman tanpa adil dengan kata
(دعوها فإنها منتنة).
Erti: Tinggalkannya ia seseungguhnya adalah keji
Erti: Tinggalkannya ia seseungguhnya adalah keji
Kepelbagaian kaum dalam negara mesti ditangani tanpa publisiti besar penuh cermat dan penuh semangat kerjasama. Ada pihak dan kaum yang pastinya kena 'lose some and win some for the larger benefits, jika hanya ingin win all..ia pasti akan menjadi suatu formula yang gagal. Baginda Nabi pun dalam politik bersedia menerima sedikit kerugian demi manfaat yang lebih besar.
Kemenangan dan keuntungan politik berdasarkan isu ini hanya menghasilkan masalah lebih besar kemudian hari. Kerajaan setakat ini dilihat GAGAL mengendalikan provokasi perkauman dari pelbagai pihak (termasuk dari dalam kerajaan) dengan baik.
Selaku rakyat kita desak kerajaan segera mengendalikan dengan bijaksana sama ada dengan rahmah dan diplomasi atau dengan rahmah secara undang-undang yang tegas. Sebagai contoh, jika perlu, SEKAT sahaja laman media sosial buat seketika di Malaysia agar provokasi, perdebatan atas dasar benci tanpa rasional akan tertutup sementara waktu pembinaan negara dilakukan secara lebih tersusun.
Sekian
Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR)
No comments:
Post a Comment