Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Friday, 25 December 2015

"Historia Magistra Vitae Est"

Agar membaca menjadi ibadah...berdoalah sebelum mula membaca....

Rodhiitu billahi Rabbaa Wabil Islaami Diina wabi Muhammadin Nabiyyaw Wa Rasuula. Rabbii Zidni 'ilma War Zuqnii Fahma

"Aku redha Allah sebagai Rabb ku, Islam agama ku, Muhammad sebagai Nabi dan Rasul. Wahai Rabbku, tambahkanlah untukku ilmu dan anugerahkanlah untuk ku kefahaman. Ya Allah kabulkanlah"

Minggu ini, di bulan Disember ini, di penghujung tahun 2015 ini, terdapat dua hari yang sungguh istimewa sekali. Kata orang putih, auspicious day, hari-hari kebesaran untuk dua perayaan, kelahiran dua junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad Ibnu Abdullah, salallahu 'alaihi wassalam dan Nabi Isa Ibnu Maryam, 'alaihi salam. Walaupun para ilmuan dan pengkaji sejarah mempertikaikan ketetapan tarikh kelahiran Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wassalam itu pada 12 Rabiul Awal tahun Hijrah, bersamaan 24 Disember 2015 dan Nabi Isa 'alaihi salam pula pada 25 haribulan Disember tahun Masihi, bersamaan 25 Disember 2015, tarikh sambutan ulang tahun kelahiran seseorang itu tidak lah begitu 'significant' jika dibandingkan dengan kewujudan, pengorbanan, kehebatan dan jasa-jasa mereka dalam kehidupan umat manusia. Alhamdulillah thuma Alhamdulillah.


Banyak bahan bacaan yang mengingatkan kita dan merakamkan penceritaan kelahiran yang unik Nabi Isa A.S.(PBUH-peace be upon him),seperti unik nya kelahiran Nabi Adam A.S.(PBUH-peace be upon him)untuk menzahirkan kebesaran dan kekuasaan Allah, iaitu 'Kun fayya Ku', Allah berkuasa untuk melaksanakan sesuatu, hanya sebut 'jadi' maka 'terjadilah sesuatu perkara itu'. Baginda Nabi Isa A.S.(PBUH-peace be upon him)yang menyampaikan ajaran Islam dengan mentauhidkan Allah kepada manusia di zaman nya.

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.

Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.

Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.

Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”.

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?”

Ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.

Maka Maryam hamilah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.

(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!

Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:” Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.

Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!

” Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!”

Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?”

Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.

Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.

” Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”.

Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.

Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: “Jadilah engkau”, lalu menjadilah ia.

Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul – lurus “.

Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.

Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang kafir itu semasa mereka datang mengadap Kami pada hari akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang nyata

Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.

Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan."
(Surah Maryam: 16-41)


Kesempurnaan segenap detik kehidupan Nabi Muhammad S.A.W (PBUH-peace be upon him) yang menjadi pedoman dan amalan umat Islam serta untuk seluruh manusia di sepanjang zaman hingga hari kiamat berlaku. Berita kedatangan Baginda telah dimaklumkan dalam kitab-kitab agama samawi dan kitab ajaran Hindu serta Buddha. Kelahiran Baginda dinanti oleh pendita-pendita agama dan digeruni oleh para penzalim serta mereka yang gemar melakukan pelanggaran ketetapan Allah. Islam merupa Satu Cara Hidup Yang Lengkap(The Only Way Of Life).Islam Penyelamat, Islam Membawa Kesejahteraan dan Kedamaian. Lumrah dan peraturan alam, sunnatullah, perkara yang mahal, berharga, tinggi ganjarannya perlukan kepada banyak pengorbanan dalam penyebarannya dan menghadapi pelbagai rintangan. Namun, keutuhan ajaran Islam dan keaslian Al Qur'an dijamin oleh Allah hingga ke akhir zaman agar umat manusia tidak berupaya memberi alasan di hadapan Allah kelak, mereka tidak mendengar Islam disampaikan kepada mereka untuk mereka buat pilihan dan amalkan sebagai Satu Cara Hidup.

"Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya."
(Surah As-Saff: 9)


"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
(Surah Al-Anbiyaa':107)



Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya (Surah Al-Hijr : 9)





Bak kata-kata dalam bahasa Latin "Historia Magistra Vitae Est" bermaksud History Is Best Teacher Of Life, Sejarah Merupakan Guru Kehidupan Yang Terbaik.





Foto di atas menunjukkan seorang gadis German yang teruja untuk membaca terjemahan surah Maryam daripada terjemahan Al Quran yang berikan oleh peserta street dakwah anjuran Jawatankuasa Dakwah, IKRAM Negeri Perak.

Dikongsikan juga perutusan Ketua Wanita IKRAM Pusat untuk renungan kita bersama. Allahu 'alam. Semoga bermanfaat.

Perutusan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
************************************************

MAULIDURRASUL 1437

AJARAN RASULULLAH SOLUSI PERMASALAHAN MASYARAKAT

12 Rabiul Awal sering diingati sebagai hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda diangkat menjadi rasul ketika berusia 40 tahun.

Ternyata bahawa yang memberi erti kepada kelahiran baginda adalah tugasan sebagai utusan Allah yang dipertanggungjawabkan ke atas baginda, bukan sekadar kelahirannya ke dunia ini semata-mata. Justeru, apabila kita mengingati maulid, yang perlu kita ingati adalah risalah yang dibawa dan disampaikan kepada seluruh umat manusia.

Misi yang dibawa oleh baginda ialah melurus dan memantapkan akhlak umat manusia sebagaimana ditegaskan di dalam sepotong hadis yang bermaksud: "Hanyasanya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia!" Musnad al-Bazzar daripada Abu Hurairah r.a.

Kemuliaan dan kesempurnaan akhlak seseorang diukur pada keindahan akhlaknya terhadap wanita. "Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik akhlaknya terhadap wanita-wanita mereka." Riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a.

Mengapa baginda begitu memberi perhatian terhadap kedudukan wanita, sehingga layanan yang baik terhadap wanita menjadi ukuran kepada ketinggian akhlak seseorang?

Jawapannya amat jelas. Wanita adalah ibu yang melahirkan seluruh manusia generasi demi generasi. Ia seumpama sebuah kilang yang menentukan tahap kualiti produk yang dihasilkan. Andai berlaku sebarang kepincangan pada kilang, pastinya menjejaskan seluruh produk yang terhasil daripada kilang tersebut.

Melihat kepada senario zaman sekarang, di mana statistik keganasan terhadap wanita makin meningkat dari tahun ke tahun, kes-kes pengabaian terhadap ibu yang telah tua, kecuaian dalam mendidik anak-anak sehingga mereka terjebak dalam pelbagai salah laku dan jenayah membuktikan bahawa masyarakat kita masih jauh daripada ajaran yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. meskipun maulidul-rasul disambut dan dirayakan saban tahun.

Justeru, Wanita IKRAM menyeru agar

1. Semua pihak menilai kembali sambutan maulidul-rasul, agar ianya tidak menjadi sekadar aturcara berarak dengan melaungkan selawat diikuti dengan ucapan semangat berapi-api semata. Namun hakikatnya, ajaran serta saranan yang dianjurkan oleh baginda, khususnya mengenai hak-hak wanita makin jauh tertinggal di belakang dari terlaksana.

2. Kaum wanita sendiri mesti lebih peka terhadap kedudukan serta hak-hak mereka yang dijamin oleh Nabi yang bersifat rahmah ini. Kepekaan dan kesedaran tidak lahir tanpa ilmu. Maka wanita mesti mempersiapkan diri dengan ilmu yang benar daripada sumber yang sahih, al-Quran dan al-Hadis.

3. Ajaran baginda Rasulullah s.a.w. mesti disebarkan kepada semua lapisan masyarakat, bermula dengan ahli keluarga dan orang di sekeliling kita agar tidak seorang pun yang ketinggalan dari mendapat rahmat dan kesejahteraan dari ajaran Rasulullah s.a.w. Ajaran Islam yang benar mampu menjadi solusi kepada seribu macam permasalahan yang timbul dalam masyarakat hari ini .

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim

Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

12 Rabiul Awal 1437H/ 24 Disember 2015

No comments: