Seorang sahabat gemar memelihara kucing. Silih berganti kucing pemeliharaannya. Kucing berbulu putih bertompok hitam diberi nama Awang, yang tidak sempat ditemui kerana telah tidak pulang ke rumah agak lama. Hanya penceritaan dan potret kecil di pintu peti sejuk menjadi pengenalan diri Awang. Kemudiannya, Bushuk atau Ashuk, kucing Parsi berbulu kelabu, gebu dan panjang, berwajah serius yang jarang sekali mengeluarkan suaranya, kurang gemar terlalu lama dibelai menjadi tarikan kami, saya dan teman serumah ketika pertama kali bertugas sebagai guru kimia dan matematik di SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah sekitar tahun 1987.
Ashuk menjadi alasan untuk kami selalu mengunjungi sahabat saya dan almarhumah ibunya di hujung minggu atau pada waktu petang hari yang kami berkelapangan. Ashuk yang telah sampai umur dewasa, sering keluar rumah bertemu kucing betina dan jarang pulang ke rumah hingga dianggap MIA.
Pada tahun 2000, ketika saya melazimi ziarah sahabat saya itu dari Ipoh, beliau dengan gembiranya memperkenalkan seekor anak kucing baru yang berusia enam bulan, kelihatan bersih, comel, cerdik dengan pandangan mata yang bersinar, bulu putih bertompokan jingga. Pantang saya melihat kucing, memang seronok untuk 'menyakat' dan bermain-main dengan nya. Rupanya ada kelaianan dengan Usop, anak kucing betina itu kurang gemar diperlakukan begitu. Ia menzahirkan kegembiraannya dengan menguling-gulingkan dirinya di tanah, apabila kelihatan saya ingin beransur untuk pulang pada petang hari pertama pertemuan kami.
Usop memiliki tempat yang istimewa di hati saya. Mungkin kerana Usop mirip kucing kesayangan terakhir saya, Tampong. Bulu putih bertompok jingga, ekor panjang bermata hijau seperti Usop, cuma Tampong ialah kucing jantan. Tampong menjadi teman rapat dan sahabat saya di zaman persekolahan peringkat menengah. Keistimewaan Tampong, ia akan bersegera pulang ke rumah apabila pinggan makanannya beberapa kali dipukul ke lantai. Tampong sentiasa di samping saya apabila saya mentelaah pelajaran. Dipendekkan cerita, satu hari Tampong dilanggar oleh sebuah kenderaan mengakibatkan rahangnya cacat, berbulan lamanya untuk ia sembuh. Kemanjaan nya terhadap saya sedikit pun tidak berubah, cuma ia menjadi sangat takut kepada bunyi kenderaan dan apa sahaja perkakasan atau peralatan bermotor. Tampong meninggal dunia sekitar usia tujuh tahun setelah sukar untuk menjamah makanan kerana kehilangan banyak gigi dan sakit tua.
Usop juga begitu, melalui proses penuaan dengan terhormat, sentiasa kelihatan bersih dan cantik setiap kali saya memandangnya. Usop setia menemani kami di setiap pertemuan, dari jauh dan dari dekat tetapi semalam, hati rawan di tempat persemadian di bawah pohon jambu yang rendang, tempat Usop sering mendapat ketenangan. Kehilangan yang akan sentiasa dirasai. Semoga Usop menjadi saksi kepada kebaikan-kebaikan kami, Aamiin.
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” [Al Baqarah: 155-156]
"Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Nya". kalimah yang dikenali sebagai istirja', sunat dibaca apabila ditimpa musibah atau kesedihan. Kalimat yang menguatkan hati dengan kesabaran, insha Allah. Kalimat yang membawa maksud, biar apa pun yang menimpa kami, semua terjadi atas kehendak Allah kerana kami adalah milik dan hamba Nya. Maka tidak menjadi beban apabila diuji dengan kematian dan kematian mengakhiri kehidupan kami kerana dengan kematian, Allah mengambil kembali apa yang memang merupakan hak milik-Nya.
Menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang lepas, saya sentiasa bertangguh-tangguh untuk membuang kotak limau Pokan yang saya beli, buah yang dinikmati secara bermusim. Ada hikmah di sebalik penangguhan tindakan saya itu, kotak tersebut digunakan sebagai pengusung makhluk Allah, kucing kelabu, uzur, berbau busuk dengan padangan sayu melihat saya untuk keluar berkerja, di pagi 14 Februari 2015. Kucing "PTI" itu, memilih halaman Barokah untuk berehat, sehari sebelum ia meninggalkan dunia yang fana ini. Dalam hujan lebat, sejurus tiba daripada tempat kerja, saya dapati ia tidak lagi bernyawa setelah disiram air sambil saya menjirus pohon-pohon renek di taman Barokah.
Saya damparkan tubuh kurus, kaku dan keras itu di belakang sebuah restauran Cina, restauran 888 yang berhampiran dengan Barokah. Saya percaya dan yakin, kucing malang berantai fabrik biru tua itu, diambil tuannya untuk disemadikan di tempat yang sesuai bagi menghormati makluk-makhluk istimewa ini, haiwan kesayangan Rasulullah s.a.w. Diriwayatkan, kucing baginda diberi nama Mueezza,yang bertabiat unik, mengiau seolah-olah menyahut seruan apabila berkemundangnya azan. Rasulullah s.a.w membelainya sebanyak tiga kali apabila menemui Mueezza di rumah. Pada suatu ketika, baginda sanggup memotong sebahagian jubahnya, daripada mengejutkan Mueezza yang sedang nyenyak tidor.
Seorang sahabat, Mazurah Abd Majid menulis di laman sosial, apabila saya kongsikan kesedihan saya, "My condelence ukh Norhayati Sidek..i know the feeling..alhamdulillah Allah beri kita rahmat menyayangi binatang dan kehadiran mereka sentiasa membawa ketenangan pd kita"
Sekadar berkongsi cerita dan pengalaman. Semoga bermanfaat. Allahu 'alam.
No comments:
Post a Comment