Semerbak Kasturi
"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)
BINA HARAPAN MALAYSIA
Monday, 12 August 2013
Kenapa Perlu Sokong?
Perubahan strategi Ikhwan, mungkin yang terbaik buat masa ini
oleh Dr Daud Abdullah
Ikhwan Muslimin Mesir bukan hanya mempertahankan kepentingan negara Mesir semata-mata tetapi sebenarnya ia sedang mempertahankan usaha atau projek kebangkitan Islam dan seluruh manifestasi kebangkitan Islam di Timur Tengah.
Ramai pemerhati berpendapat bahawa, krisis di Mesir pada hari ini mempunyai persamaan yang amat ketara dengan apa yang berlaku pada tahun 1954. Pelakon-pelakon utamanya adalah sama. Begitu juga dengan isu-isunya.
Pada masa itu, terdapat pergelutan politik yang ganas di antara pemimpin rampasan kuasa, Mejar Jeneral Muhammad Naguib, dan rakannya dalam Majlis Pemerintah Revolusi (Revolution Command Council - RCC), Kolonel Gamal Abdel Nasser. Perselisihan ini sampai ke kemuncak pada 25 Februari 1954 dengan pengumuman dari RCC bahawa Naguib telah meletak jawatan. Ini menyebabkan puluhan ribu hadir ke jalanraya di Kaherah, suatu peristiwa yang tidak pernah berlaku di Kaherah sebelumnya. Seperti apa yang berlaku pada hari ini, tuntutan rakyat adalah agar presiden dan pemerintahan berparlimen dikembalikan tanpa syarat.
Apabila benteng bagi menyuarakan bantahan ini terbuka, hampir mustahil ia dapat ditutup kembali. Malah dengan mengembalikan Naguib sebagai Presiden serta rayuan daripada beliau secara peribadi dari balkoni Istana Abdin, tidak mampu untuk memujuk para penunjuk perasaan yang sedang marah, untuk kembali ke rumah mereka. Akhirnya, yang berjaya memujuk mereka untuk bersurai adalah melalui rayuan oleh seorang ahli Ikhwan Muslim yang terkemuka, Abdul Qadir Audah. Pengaruh dan popularity Abdul Qadir Audah telah menggetarkan pimpinan rampasan kuasa dan ini telah mengorbankan nyawa beliau beliau; beliau telah dijatuhkan hukuman bunuh tidak lama selepas itu. Almarhum Farid Abdul Khaliq, yang melalui hari-hari yang penuh huru-hara itu, menulis, ketika berjalan ke tali gantung, Audah sendiri tidak percaya bahawa dia akan dibunuh.
Pada hari ini, seolah-olah tidak ada yang mampu atau bersedia untuk membantu menamatkan protes dan duduk bantah yang telah menyemarak dengan begitu cepat sekali ke seluruh negara Mesir sejak rampasan kuasa tentera pada 3 Julai.
Seperti apa yang dilakukan pada tahun 1954, kepimpinan rampasan kuasa hari ini memang terfikir untuk menangkap pimpinan Ikhwan Muslimin. Namun pada kali ini mereka berhadapan dengan lebih banyak kesukaran berbanding dengan apa yang berlaku pada tahun 1954. Kepimpinan Islam pada hari ini lebih tegas dan kurang bertolak ansur and tidak mudah dipengaruhi. General Abdul Fattah Al-Sisi dan gerombolan ahli politik yang cuba menyembunyikan hakikat bahawa ini adalah rampasan kuasa tentera, seolah-olah, tidak menjangkakan tindakbalas yang seperti ini daripada pergerakan tersebut.
Bukan sahaja tentera Mesir yang merasakan perkara ini. Broker kuasa serantau dan antarabangsa telah selama beberapa dekad terbiasa dengan sikap Ikhwan yang jinak dan malu-malu; yang sedia menerima sebarang penganiayaan dan tekanan dengan penyerahan dan pasrah yang hampir sepenuhnya.
Dr Khairat al-Shater
Ikhwan Muslimin telah, seperti yang tergambar, mengambil satu strategi baru seperti yang ditunjukkan dengan pendirian Naib Murshid Am, Khairat al-Shater, yang enggan berunding dengan delegasi antarabangsa pimpinan Amerika Syarikat yang berusaha untuk berjumpa dengannya di dalam penjara tempat beliau ditahan. Tindakan ini selari dengan dengan pendirian Presiden Mohammed Morsi yang tegas dan komited dengan prinsip yang menolak rampasan kuasa daripada Presiden yang sah yang dilakukan oleh Menteri Pertahanan yang dilantik oleh beliau.
Beberapa faktor telah mempengaruhi perubahan dalam strategi ini. Hari ini Ikhwan Muslimin mempunyai legitimasi dan hak politik dan mandat. Ia telah memenangi lima pilihan raya sejak penggulingan rejim Mubarak pada Januari 2011. Dalam keadaan ini, Ikhwan mempertahankan kehendak demokrasi dan pilihan majoriti rakyat Mesir, sesuatu yang pihak lawannya sukar untuk mengakui dan menerimanya.
Dalam pada itu, terdapat kepercayaan yang mendalam dari kalangan ahli-ahli Ikhwan bahawa jika berlaku kompromi pada masa ini, ia akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada Ikhwan tetapi juga kepada pergerakan yang telah ia beri inspirasi di seluruh rantau tersebut. Satu gelombang kuasa-kuasa anti-Islam telah berlaku di beberapa buah negara. Kempen ini sedang mengumpul momentum, dari UAE di mana ramai yang telah dipenjara dan diseksa, hinggalah ke Tunisia di mana rejim lama sedang cuba untuk kembali mendapatkan kuasa semula. Manakala di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza Palestin, permusuhan dan ancaman terhadap Hamas semakin bertambah hari demi hari.
Oleh itu, Ikhwan Muslimin Mesir bukan hanya mempertahankan kepentingan negara Mesir semata-mata tetapi yang dipertahankannya adalah projek dan usaha kebangkitan Islam dan seluruh manifestasi kebanagkitan Islam di Timur Tengah. Sebarang tanda kompromi pada hari ini akan memberi peluang kepada pesaingnya, “pergerakan jihad”, untuk bermegah dan merasa puas untuk menempelak Ikhwan bahawa amaran mereka kepada Ikhwan yang jalan demokrasi yang dianjurkan oleh Ikhwan merupakan satu penyelesaian yang dipenuhi dengan khayalan dan mitos; bahawa harapan yang dijanjikan pada awal Kebangkitan Arab (Arab Spring) sememangnya adalah palsu dengan berdasarkan asas dan premis yang salah, yakni premis yang dinamakan demokrasi.
Pertempuran hari ini bukan pertempuran hidup dan mati kerana kepercayaan dan doktrin tidak akan mati. Namun ini adalah ancaman yang besar dan hebat yang dihadapi oleh Ikhwan pada masa ini.
Jika pihak yang melakukan rampasan kuasa tidak bertolak ansur, rantau ini akan menyaksikan pertempuran yang panjang hasil daripada pergeseran seperti yang pernah disaksikan di Iran pada hari-hari terakhir rejim Shah. Revolusi Iran tidak berlaku di sana dalam masa satu hari. Ia bermula dengan demonstrasi jalanan yang agak kecil pada tahun 1977 yang kemudiannya membesar menjadi kuasa yang tidak dapat dihalang menjelang tahun 1979.
Akhirnya, kesan protes mereka menjadi semakin meluas sehingga menggoncang pihak tentera. Ini boleh berlaku di Mesir di mana bukan sahaja kita akan melihat penyingkiran Al-Sisi dan penyokong-penyokongnya tetapi juga doktrin kukuh bahawa peranan tentera - "ketaatan kepada kehendak Amerika dan Israel", akan tersingkir, seperti mana yang berlaku kepada tentera Iran pada tahun 1979 . Seperti di Iran, telah muncul di Mesir, tentera yang berasaskan ideology bagi menggantkan bentuk tentera yang rela diperalat oleh mereka yang memberi upah yang paling tinggi.
Dalam keadaan sekarang, Ikhwan Muslimin tidak mempunyai pilihan lain selain daripada tetap teguh dengan penuh keasabaran dan istiqamah. Yang menggembirakan adalah angin sedang bertiup kuat memihak kepada mereka. Jumlah rakyat Mesir yang malakukan protes semakin bertambah dan penyokong rampasan kuasa semakin berkurangan. Kemungkinan strategi baru ini adalah strategi yang terbaik buat masa ini.
Terjemahan: Nahar Md Nor, Ahli Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan IKRAM Malaysia
Diterjemah pada 5 Syawal 1434/12 Ogos 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment