Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Monday, 11 October 2010

Tak Pandai Bercakap...

Di bulan Syawal yang lalu, saya mengambil peluang untuk menemani abah yang sedang dirawat di Klinik Radioterapi dan Onkologi, Hospital Kuala Lumpur. Abah perlu menjalani 20 kitaran radioterapi sebagai ikhtiar untuk membunuh sel-sel kanser di prostatnya. Alhamdulillah, hasil CT Scan menunjukkan sel-sel kanser, tidak dapat di kesan di dalam tulang. Sel kanser prostat tidak agresif dan lambat "membiak" jika dibandingkan dengan sel kanser pada organ lain, khususnya di bahagian abdomen ke atas. Di tambah pula dengan faktor keturunan (Ayahnda abah meninggal di usia 90-an tahun) dan sikap positif serta keterbukaan minda abah, telah menekan sebarang environmen berasid (yang digalakkan oleh sifat negatif dan kemurungan)yang amat digemari sel kanser, menjadi penyebab-penyebab utama abah kelihatan sihat dan bersemangat tinggi, alhamdulillah.

Di hujung minggu, saya memohon cuti rehat khas, mengutamakan untuk bersama abah daripada meraikan bertali arus nya majlis "open house" hari Raya Eidul Fitri di Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh khususnya pada setiap hari sabtu, hari kuliah ganti. Jalan raya di Kuala Lumpur pula turut sesak teruk kerana keghairahan para penghuni nya menyambut hari raya. Pada satu ketika, saya terpaksa menggunakan perkhidmatan komuter dan teksi untuk menziarahi abah, "merehatkan" Bilal di rumah seorang sahabat supaya tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Masa berharga mendampingi abah, saya manfaatkan untuk solat berjamaah dan berinteraksi ilmiah dengan seorang ayah yang kaya dengan pengalaman dan kebijaksanaan / hikmah (wisdom). Abah bukan seorang profesor, berpendidikan hanya di darjah enam sahaja, tetapi cara beliau berfikir dan bertindak persis seorang bitara. Syahdu dan terharu sungguh apabila mengenangkan detik-detik perkongsian antara seorang ayah dan anak ini. Lazimnya perbualan kami bermula selepas waktu makan.

Abah berpesan. Berhati-hatilah menuturkan kata-kata. Kadang kala, kita tidak pandai "bercakap" dan lebih dituntut pada masa itu untuk berdiam diri daripada menghamburkan kata-kata yang kurang enak pada pendengaran. Insiden seorang "sister" yang menyelia di wad tempat abah menginap, contoh-contoh tingkah laku anak-anak, menantu dan pengamatan beliau, dijadikan iktibar.

Saya akui kebenaran kata-kata abah. Banyak manfaatnya diam daripada berkata-kata yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Walaupun kita tidak harus putus untuk berkata benar dan menegur kemungkaran, kita tidak "play safe" semata-mata kerana ingin meraih populariti di kalangan manusia. Perbendaharaan kata saya, hanya akan bertambah sekiranya saya di "provoke". Mereka yang mengetahui, sewenang-wenangnya menggunakan keadaan ini untuk merangsang supaya saya marah dan gembira apabila saya diaibkan. Dalam banyak keadaan, mereka kecewa. Sungguh, jiwa mereka memerlukan rawatan segera.

"Allah tidak menyukai ucapan buruk, dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan, maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa. (Surah An-Nisa': 148-149)

“Tidak akan lurus keimanan seorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.”- Al hadis

“Seseorang itu akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang diredhai oleh Allah, dia tiada menyangka bahwa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatitkan oleh Allah kata-kata itu mendapat keredhaanNya hingga ke Hari Kiamat. Dan seorang lain akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang dimurkai oleh Allah, dia tiada menyangka bahwa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatitkan oleh Allah dengan kata-kata itu kemurkaanNya ke atas orang itu hingga ke Hari Kiamat.” - Al hadis

“Barangsiapa yang memelihara lidahnya, Allah akan menutup kecelaannya. Barangsiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya dari siksaNya. Dan barangsiapa yang menyatakan keuzurannya kepada Allah, Allah akan menerima uzurnya”. - Al hadis

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun berdiam saja” - Al hadis

“Jangan kamu sekalian duduk bersama-sama mereka, sehingga mereka mula dengan perbicaraan yang lain, kalau tidak tentulah kamu sekalian serupa dengan mereka.” (An-Nisa’: 140)

Allahu 'alam. Sekadar satu perkongsian, semoga bermanfaat. Semoga Allah terus menerus membimbing kita serta melimpahkan kekuatan kepada kita untuk beramal dengan nya, amin.

No comments: