Allah menyebut secara langsung tentang pengkisahan Nabi Yusuf alaihi salam sebagai kisah yang terbaik di antara pelbagai kisah yang diceritakan oleh Allah dalam Al Qur'an kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wassalam, melalui malaikat Jibril alaihi salam.
"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya." [Yusuf:3]
Buku pertama tentang Nabi Yusuf a.s yang dibaca merupakan versi terjemahan bahasa Indonesia daripada tajuk asal "Yusuf Alaihi Salam" karangan Dr. Amru Khalid. Penceritaan Allah penuh dengan keajaiban dengan episod-episod yang menakjubkan untuk manusia mengambil pengajaran tanpa mengira batasan waktu dan sempadan geografi.
Betapa Nabi Yusuf a.s melalui segala ujian dengan penuh kesabaran disertai penonjolan akhlak yang mulia. Semua episod diakhiri dengan kesudahan yang baik.
Seorang Nabi daripada keturunan yang baik-baik, dikurniakan dengan rupa paras yang sangat kacak yang tidak tergambar oleh akal manusia, anugerah kemahiran menafsirkan mimpi yang diwarisi secara turun temurun, dikhianati oleh saudara-saudaranya sendiri atas dasar kedengkian terhadap kelebihan yang dimilikinya seolah-olah baginda lebih dikasihi oleh ayahnya, terpisah selama empat puluh tahun daripada orang tuanya, digoda dan difitnah oleh isteri pembesar Mesir, dipenjara dan kemudian dibersihkan dari segala fitnah, diberi pilihan untuk memerintah dan menawarkan diri sebagai menteri kewangan kerana berkeyakinan dengan kemampuannya, menggunakan kemahiran serta peluang untuk kebaikan dan kebenaran, mereka yang bersalah menyatakan penyesalan yang amat sangat dan kembali ke pangkal jalan. Kebergantungan mutlak kepada Allah sepanjang masa.
Cuba renungkan perkaitan pengkisahan Nabi Yusuf a.s.dengan suasana hari ini.
Wanita merupakan fitnah terbesar bagi lelaki.
"Tidak ada fitnah yang paling berbahaya sepeninggalan ku bagi lelaki selain (fitnah)dari perempuan"
[Hadis Nabi, Shaihul Jami, 5587]
Secara fitrahnya, perempuan mempunyai kemampuan untuk melakukan tipu daya. Jika ia bertakwa maka kemampuan itu akan tersembunyi tetapi jika berlaku penyerahan kepada syaitan, ia mencetuskan sesuatu yang membinasakan.
Undang-undang Allah tidak pernah berubah. Ketahui dan yakinlah bahawa orang yang melakukan kejahatan akan menerima pembalasan keburukan yang serupa.
"Dan bahawasanya Allah tidak meredhai tipu daya orang-orang yang berkhianat"
[Yusuf: 52]
Allah Maha Mengetahui segala perkara sebelum difikirkan dan dilakukan oleh hamba-hamba Nya, walaupun sebahagian manusia memperdayakan sebahagian manusia yang lain dengan perancangan dan pendekatan yang dipandang indah namun tiada rahsia di antara Allah dengan hamba Nya, segala nya akan terbongkar di hadapan Nya kelak kerana
"Dan mereka membuat tipu daya, maka Allah pun membalas tipu daya. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya"
[Ali 'Imran: 54]
Dua kriteria penting untuk memilih seorang pemimpin ialah mempunyai sifat AMANAH dan memiliki ILMU PENGETAHUAN.
"Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya” [Yusuf: 55]
"Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa." [Yusuf:56-57]
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa lagi Perkasa, pimpinlah segala tindakan dan ilhamkan lah yang terbaik.
Semoga bermanfaat. Aamiin. Allahu 'alam.