Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Friday, 27 August 2010

Kesakitan yang direlakan...

Sejak di zaman kanak-kanak lagi, saya sememangnya gerun untuk menemui doktor gigi. Aroma antiseptik, bunyian alat "gerudi" dan bayangan pelbagai peralatan yang tajam lagi bersinar sudah cukup meransang minda untuk menggamit memori kurang enak dan tidak menyeronokkan di klinik pergigian. Semasa di persekolahan rendah pula, ketika kenakalan memuncak, untuk bersama rakan-rakan sedarjah dalam rombongan van ke klinik pergigian yang terletak di bandar, lebih teruja daripada mengikuti pembelajaran di dalam kelas. Keseronokan perjalanan dengan van itu telah merelakan diri ini disakiti semasa "cavity" pada gigi ditampal oleh jururawat.

Saya mewarisi set gigi yang mudah reput dari ibu saya dan datuk lelaki di sebelah abah. Abah memiliki barisan gigi yang cantik lagi tersususn seperti bondanya, kerana itu lah senyuman abah manis dan menawan. Pada hari isnin yang lepas, kesakitan disebabkan "cavity" sebesar "kawah" pada gigi geraham menggugat keselesaan melaksanakan ibadah di bulan Ramadhan Kareem. Saya berdoa kepada Allah, biarlah saya uzur syarie dalam masa terdekat ini agar ibadah saya tidak terganggu kerana kesakitan gigi. Alhamdulillah, permintaan saya dimakbulkan Allah. Dalam keuzuran syarie, saya mengambil peluang pada hari khamis, di kala warga institut sibuk dengan sambutan hari kemerdekaan dan juga apa yang diistilahkan sebagai "professional talk" bersempena dengan peristiwa nuzul Al Qur'an, di dewan Seri Tanjung, IPG kampus Ipoh, yang mula membahang setiba sahaja waktu dhuha. Saya memberanikan diri untuk ke klinik Pergigian Ong. Bengkak di gusi telah susut dan tidak sakit lagi, indikator gigi sesuai dicabut sebelum kesakitan menyerang semula. Semasa dalam perjalanan, saya berdoa agar doktor yang bakal merawat saya ini, dibuka pintu hatinya untuk melayan saya dengan lemah lembut, dipermudahkan segala urusan dan Allah mengurniakan kesembuhan yang tidak menyakitkan. Maklum lah di usia hampir separuh abad ini, kesanggupan untuk menahan kesakitan tidak mampu dijangka.

Setiba sahaja di klinik, gandingan anak beranak, Dr. Ong senior dan Dr. Ong junior baharu sahaja keluar daripada kereta mereka. Dr Ong junior menyapa saya dengan mesra. Saya di antara pelanggan awal mereka pada hari itu. Nyonya yang duduk bersebelan saya sempat memerihalkan kedua-dua doktor itu dan dia memaklumkan kepada saya, dia memilih Dr Ong junior untuk merawatnya. Menurut nyonya itu tadi, Dr Ong junior lebih mesra dan baik, manakala Dr Ong senior seorang perengus atau "grumpy", saya hanya tersenyum hambar bagi meredakan tsunami yang melanda jiwa saya untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang meresahkan, hilang punca perkataan untuk dituturkan. Apabila nama saya dipanggil, kedua-dua doktor sibuk melayan pesakit masing-masing. Setelah lima minit berada di kerusi empuk dan di kelilingi peralatan pergigian canggih, hati sentiasa berkata-kata:"Hasbunallahu wanikmal wakil...cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung", Dr Ong senior pun menjenguk dan bertanya khabar. Sebagai seorang doktor pakar yang berpengalaman, saya dirawat dengan profesional sekali dan lemah lembut, geraham berjaya dikeluarkan dalam masa beberapa saat sahaja setelah gusi saya dibius selama lebih kurang 15 minit. Spesimen itu saya simpan untuk kenang-kenangan. "Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,tq", begitulah bunyi sms saya kepada para sahabat saya setelah saya minta mereka "standby" seandainya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada saya.

Penceritaan saya ini mudah dan ringkas namun usah dipandang sepi dengan kekuatan sebingkis doa.
Ketahuilah,

"Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia lah yang Maha Kaya(tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji" (Fathir: 15)

"Doa itu ibadah" (hadis riwayat Abu Dawud dan At-Tirmizi)

"Doa itu senjata seorang mukmin, tiang agama, serta cahaya langit dan bumi"
(hadis riwayat Al-Hakim)

“Ada tiga orang yang doanya tidak akan tertolak : “Orang yang berpuasa hingga dia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang terzalimi, Allah akan angkat doa-doa tersebut di atas awan dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit, kemudian Allah berfirman : “Demi keperkasaan-Ku dan keagungan-Ku, Aku pasti akan tolong kamu walau pun setelah melalui suatu masa“
(hadis riwayat Ahmad)

Oleh itu, mari kita perbanyakkan doa di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh dengan keberkatan ini. Semoga Allah pertemukan kita dengan malam lailatul qadar, terus menerus memberi kita kekuatan, kesihatan yang baik, kesabaran yang tinggi dan menerima segala amalan kita sebagai ibadah, amin, Allahu 'alam. Semoga bermanfaat.