Semerbak Kasturi
"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)
BINA HARAPAN MALAYSIA
Saturday, 22 August 2009
Jaminan Kualiti ?!
Salam Ramadhan Kareem, didoakan para pembaca sekalian sihat sejahtera di musim cuti sekolah kali ini yang penuh barokah. Semoga Allah melimpahkan kerahmatanNya, kekuatan dan kesabaran kepada kita untuk berusaha memanfaatkan setiap detik berharga dalam menjalani ibadah di bulan istimewa yang dikurniakan khas untuk umat jujungan Nabi Muhammad s.a.w., amin.
Lebih sebulan lamanya, rindunya saya untuk berceloteh di PERMAI KASTURI walaupun hampir setiap hari saya melayari internet tetapi kesibukan berkerja, Ketidakmampuan berkarya disebabkan keletihan fizikal dan mental yang di luar jangkaan menghalang terbitnya ide-ide bernas untuk menyelubungi minda. Setiap kali memikirkan isu untuk diperkatakan, saya akan terus dibuai ke alam mimpi.
Pada hari khamis, 20 Ogos 2009 yang lalu, Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh, menyambut "Hari Kualiti" nya. Banner sambutan hari kualiti di gantung di pintu masuk utama bagi menggantikan banner sebelumnya yang memaparkan barisan wajah-wajah mereka yang bertanggungjawab bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan produk di Pusat latihan Perguruan itu. Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur yang mengatur majlis tahunan itu sebaik mungkin di zaman kegawatan ekonomi. Penyediaan dan pembacaan ikrar kualiti yang panjang lebar bertujuan menagih warga IPG Ipoh mengamalkan kualiti di segenap ruang lingkup perkhidmatan dan penampilan diri mereka dibaca oleh para hadirin dengan penuh semangat. Tahniah juga kepada barisan penerima "Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ", APC. Dr. Ismail Zain, tokoh motivasi kementerian Pelajaran Malaysia, pensyarah Jabatan TMK telah bertungkus lumus menyampaikan ceramah "berkualiti" kepada warga Dewan Seri Melati yang terdiri daripada para pensyarah sebagai golongan cerdiakawan dan staf bukan akademik iaitu kumpulan pekerja yang tidak kurang pentingnya, yang merupakan nadi jentera pentadbiran dalam sesebuah organisasi. Seperti biasa, dalam mana-mana penilaian dan pertandingan, telah menjadi adat, mereka yang diberi penghargaan tinggi tersenyum lebar bagi menggambarkan kebahagiaan jiwa. Mereka yang menyaksikan majlis "gilang gemilang" itu pula ada yang tersenyum simpul dan terdapat juga mereka yang melemparkan senyuman kelat. Allah sahaja yang Maha Mengetahui lintasan hati pemilik-pemilik senyuman tersirat itu.
Yang sudah pasti, pemilihan untuk APC atau sebarang penilaian komprehensif terhadap kejayaan seseorang bukanlah sesuatu yang mudah kerana kualiti merupakan pengukuran tahap kecemerlangan, sesuatu yang subjektif dan bergantung kepada banyak faktor yang memerlukan penelitian dan kawalan rapi. Dalam hal ini, tanggungjawab pihak kepimpinan untuk menyediakan segala jenis kemudahan dan persekitaran yang baik bagi meyuburkan kualiti dalam perkhidmatan (Pembinaan Insan Guru) dan penghasilan produk (Insan Guru Berkualiti), tidak boleh diremehkan. Di antara elemen-elemen tersebut ialah penyediaan prasarana yang baik, suasana fizikal dan ruang berkerja yang sama kondusif, agihan tugas yang saksama dengan merujuk kepada tabii subjek yang diajar, suasana persaingan yang positif, kesamaan peluang untuk memajukan diri, menyantuni para "whistle blower" dalam "check and balance" demi penambahbaikkan organisasi dan kejelasan kerja dalam satu pasukan. Setiap mereka yang dipimpin pula harus dilihat mempunyai potensi yang sama hebat dengan sumbangan mereka tersendiri bagi kecemerlangan organisasi.
Soal kepimpinan bukanlah isu yang boleh dipermain-mainkan kerana kedudukan pemimpin yang 'adil amat mulia dan tinggi di sisi Allah. Justeru, kepimpinan bukan satu keistimewaan(privilage)malah suatu tanggungjawab yang amat berat yang terpaksa dipikul dan pasti akan dipersoalkan kelak. Setimpal dengan bebanan kepimpinan, ganjaran kepada seorang pemimpin yang 'adil sungguh lumayan dan mahal harganya. Doa golongan istimewa ini dikabulkan Allah akhirnya. Pemimpin yang 'adil adalah di antara mereka yang mendapat naungan 'Arasy Allah di akhirat kelak, ketika tiada tempat berlindung kecuali naunganNya.
"Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu; doa seorang yang berpuasa hingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi. Doa-doa mereka itu diangkat Allah ke atas awan, lalu dibuka pintu-pintu langit, Allah s.w.t akan berfirman: 'Demi kemuliaan-Ku, Aku akan menolongmu..."
(Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Di Universiti Ramadhan yang kita semua bakal graduannya nanti, turut dituntut menitik beratkan kualiti ibadah. Sememangnya, mudah memberi nasihat dan bermain kata-kata daripada melaksanakannya, semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan memberi kekuatan kepada kita dalam berpesan-pesan dan mengamalkan pesanan tersebut.
Puasa yang berkualiti akan terkesan kepada semua jenis amalan kita di luar bulan Ramadhan. Sujud kita, sujud berkualiti. semasa bersujud memikirkan perkara-perkara akhirat, tidak terpaut dengan hiasan dunia serta tidak mengingatkan ibadah lain selain daripada bersujud. Doa kita, doa berkualiti. Menurut Abdul Hamid Al Bilali dalam buku "Taujih Ruhiyah, jilid 2, Di antara ciri-ciri orang bersujud, mereka berdoa dengan
1) mengingati dosa-dosa lalu dan berharap diampunkan
2) mengingati dosa-dosa sekarang dan khuatir ia mempengaruhi amal-amal shalih
3) mengingati amal-amal shalih takut tidak diterima
4) mengingati orang-orang shalih, amalan mereka dan berharap disatukan bersama mereka
5) meminta keperluan dunia dan yakin Allah kabulkan
6) takut akan su'ul khotimah
7) berharap terus bertahan keshalihan, ketaqwaan dan bertaqarrub kepada Allah
Alhamdulilah, Allah masih memberi kita peluang untuk beramal di bulan Ramadhan kali ini. Telah ramai sahabat-sahabat dan ahli keluarga meninggalkan kita menjelang tiba nya bulan yang mulia ini. Justeru itu, marilah sama-sama kita menghindarkan diri daripada tabiat melengah-lengahkan mengerjakan kebaikan dan berhasrat untuk melakukan pelanggaran sama ada sengaja atau tanpa disedari di luar bulan Ramadan kerana kita tidak memiliki ilmu untuk menjangka sama ada diberi peluang lagi untuk terus beramal hingga ke penghujung Ramadhan ini dan di Ramadhan yang akan datang. Allahu 'alam. Selamat Beribadah Di Bulan Ramadhan Al Mubarak, Semoga Diterima Allah, amin.
Subscribe to:
Posts (Atom)