Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Saturday, 14 March 2009

"We plan but Allah is the BEST Planner" !


Terima kasih kerana masih sudi mengunjungi "PERMAI KASTURI". Baru ada kesempatan untuk mengetuk-getuk papan kekunci ini setelah selama sekian lama tenggelam dengan kesibukan tugas serta tanggungjawab harian yang tidak akan pernah selesai. Para pembaca yang dimuliakan Allah...saya tersenyum gembira apabila ada di antara anda yang melemparkan kata-kata perangsang semasa bertemu dengan saya dengan menyatakan kunjungan anda ke sini. Ada juga yang menzahirkan kerinduan kepada kata-kata nasihat saya dan kehadiran saya. Alhamdulilah. Masa yang anda luangkan itu amat saya hargai. Semoga, tulisan saya dan tatapan anda kepadanya dikira sebagai ibadah kita, amin.Teruskan sokongan anda itu. Harapan saya, sudilah apa kiranya meninggalkan kesan lawatan anda dengan memberi sedikit komen atau cadangan atau cetusan pandangan tentang apa sahaja yang terkesan di sanubari serta minda anda. Respon anda sungguh bermakna bagi membantu saya meningkatkan lagi sumbangan sosial dan kemahiran penyampaian maklumat melalui penulisan.
Sebagai insan yang jelas matlamat hidupnya, kita meyusun dan mengurus kehidupan kita sesuai dengan matlamat hidup kita. Namun, apa yang kita rancangkan
tidak semestinya semua akan terlaksana seperti mana yang kita harapkan kerana manusia hanya mampu merancang tetapi Allah ialah Perancang yang Maha Bijaksana dan Perancang yang terbaik.
Saya telah hampir sempurna melakukan persiapan-persiapan seperti menyediakan segala dokumen termasuk proporsal penyelidikan yang bakal saya jalankan bagi mengikuti kursus tiga bulan di IPPerlis pada awal Januari yang lepas. Persiapan minda dan emosi telah dilakukan hampir setahun lebih awal. Saya menjelaskan hasrat saya ini kepada sahabat-sahabat, mereka yang rapat dengan saya dan Ketua Jabatan saya agar diambil kira dalam perancangan akademik serta aktiviti-aktiviti sosial saya. Saya tidak ketinggalan untuk memohon restu Allah dengan melakukan beberapa kali solat istikharah agar setiap tindakan saya sentiasa mendapat pimpinanNya. Hasilnya, saya terarah untuk tidak menyertai kursus tersebut walaupun segalanya telah siap di saat-saat akhir termasuklah sahabat-sahabat yang memberikan persetujuan untuk menjenguk "BAROKAH" dan menyiram warga floranya semasa ketiadaan saya nanti. Walau apa pun saya akur dengan ketetapanNya dan meneruskan perjuangan kehidupan harian saya dengan cara penuh terhormat yang mungkin. Saya rasa tidak selesa pada mulanya dengan keputusan yang saya buat khususnya kepada Ketua Jabatan R & D, IPIP kerana beriya-iya sangat untuk mendaftarkan diri, alih-alih tidak jadi pula di saat terakhir...tetapi saya gagahkan diri dengan pendirian saya dengan menaruh sepenuh kepercayaan kepada isyarat solat hajat dan istikharah saya.
Apakah untungnya saya berdusta wahai pembaca budiman? Helah untuk membela diri? Wanauzubillahi min zalik. Kita semua tahu kesannya jika kita berdusta. Sifat berdusta sinonim dengan sifat munafik! Orang yang berdusta akan kehilangan kepercayaan manusia, mengakibatkan kutukan dan celaan di samping boleh melukakan maruah seseorang.
Hadis:
"Sesungguhnya seseorang itu akan berkata-kata dengan kata-kata yang tidak diperiksanya terlebih dahulu, yang menyebabkan dia tergelincir oleh kata-kata itu di dalam api neraka yang jauhnya sejauh antara barat dan timur"
Ahli hikmah berkata bahawa enam perkara menunjukkan kebodohan:
1) Marah yang tidak ada tempatnya
2) Bicara yang tidak berguna
3) Pemberian yang tidak pada tempatnya
4) Membuka rahsia kepada orang lain
5) Percaya kepada semua orang
6) Tidak dapat membezakan antara kawan dan lawan
Ja'far al-Sadiq r.a. berkata kepada anaknya:
"Jangan kamu bersama dengan tiga golongan ini, kerana Allah murka kepada mereka ini, mereka ini adalah
1) Janganlah kamu bergaul dengan orang bermaksiat kepada Allah, kerana dia telah memutuskan tali antara dia dengan Allah.
2) Jangan kamu bergaul dengan orang yang derhaka kepada ibubapanya, kerana dia orang yang terlaknat.
3) Dan jangan kamu bergaul dengan pendusta, kerana dia akan mendekatkan yang jauh bagimu dan menjauhkan yang dekat daripadamu.
Tiga golongan akan berada jauh daripada Nabi Muhammad s.a.w di akhirat kelak. Mereka ialah
1) Penyebar fitnah
2) Orang yang meng'aibkan orang yang tidak berdosa
3) Orang yang memutuskan hubungan orang yang sedang berkasih-kasihan (yang di dalam lingkungan syara').
"Ya Allah turunkanlah kepada ku RahmatMu, teguhkanlah imanku dalam lingkungan kebenaran dan bimbinglah hatiku untuk terus menerus mengingati Mu dan limpahkan lah keredaanMu", amin.
Saya pernah menyebut, Allah kurniakan kepada kita apa yang kita perlu dan tidak semestinya memberikan apa yang kita mahu. Setiap yang berlaku ke atas kita merupakan ketetapan Allah, dengan izin Allah dan di dalam pengetahuan Allah.
Kita memiliki sifat-sifat insaniah, kita berasa sayu kerana tidak berupaya untuk bersama mereka yang kita kasihi dan cintai. Kita berasa kecewa kerana tidak memperolehi apa yang kita hajati. Kita berasa hampa kerana usaha kita tidak mendatangkan hasil. Kita berasa dikianati apabila hak-hak kita dicabuli dan sumbangan kita dipandang sepi serta jauh sekali untuk dihargai. Kita berasa harga diri kita direndahkan apabila kita dihina, potensi kita dipersendakan dan dibanding bezakan. Tetapi kita tetap yakin dan akan terus yakin, Allah Maha Mengetahui setiap lintasan hati kita, Maha Melihat segala tindakan kita, sama ada yang dilihat oleh manusia dan yang tersembunyi daripada manusia. Allah tidak akan mensia-siakan segala amalan orang-orang mukmin. Allah sebaik-baik pembela dan pelindung orang-orang mukmin. Setiap yang berlaku ke atas kita bertujuan untuk mendidik kita menjadikan kita seorang yang lebih kental dari aspek fizikal, mental dan spiritual. Hikmah yang tersembunyi dan sesuatu yang luput daripada kita bukan lagi hak kita. Allah akan gantikannya dengan yang lebih baik dan yang lebih membahagiakan kita jika kita reda, sabar serta tidak berkeluh kesah dengan ketetapanNya.
Maksud Surah Al Hadid, ayat 23-24:
"Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Allah tidak menyukai orang yang sombong dan menbangga diri iaitu orang-orang yang kafir dan menyuruh orang lain berbuat kikir. Barang siapa berpaling (dari perintah-perintah Allah), maka sesungguhnya Allah, Dia Maha Kaya, Maha Terpuji."
Kita manusia yang jelas matlamat hidupnya...usah cemari setiap tindakan kita dengan riya'.
Bukan mudah untuk menjaga keikhlasan dan membendung diri daripada sikap menunjuk-nunjuk. Riya' pernah menjadi tajuk perkongsian saya di satu ketika dulu sebagai bekalan untuk terus berusaha agar kita tidak terjerumus ke perangkap syaitan durjana serta kuncu-kuncunya.
Biar kita sama-sama menjaga keikhlasan hati dan perbuatan kita agar amalan kita itu dipermudahkan dan diterima oleh Allah sebagai ibadah. Usah sia-siakan usaha gigih dan penat lelah kita kerana ingin mencapai selain daripada keredaan Allah. Bunyinya "skema"...perkataan yang dicipta dan disensasikan supaya manusia boleh pelekeh sebarang kebaikan yang dilakukan dan yang dilihat...untuk merasakan "alergik" untuk memperkata dan melakukan kebaikan. Pada hal, hanya orang-orang yang "skema sahaja : yang menurut segala perintah, suruhan Allah dan menjauhi segala larangan dan kemurkaan Allah", inilah yang beroleh kemenangan di dunia dan di akhirat. Yakinlah...Manusia boleh lakukan apa sahaja tindakan. Setiap tindakan kita akan dipertanggungjawabkan kelak. Allah Maha Pemurah...Dia akan ganjari sesiapa sahaja yang berusaha gigih dalam melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh...they/we deserve it, walaupun ada di antara mereka mengingkari perintahNya tetapi Dia Maha Penyayang kepada orang-orang mukmin...Allah akan menyempurnakan setiap pembalasan kepada setiap perbuatan hambaNya.
Maksud surah Ali Imran, ayat 185:
"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdayakan"
Saya suka untuk mengakhiri perkongsian kali ini dengan memetik kata-kata seorang penulis terkenal berbangsa yahudi yang memeluk Islam, di dalam sebuah buku kecil yang mempunyai 19 muka surat, Why I Embraced Islam by Maryam Jameelah (1982):
"... The Holy Prophet has revealed to me personally and to all mankind for all times in all places, the purpose of human life and what is important and what is not....For the Holy Prophet, the purpose of life was achievement---not enjoyment. Pleasure and happiness in Islam are but natural by-products of emotional satisfaction in one's duties being conscientiously performed for the pleasure of God to gain salvation in life to come...The supreme achievement is to attain, through implicit obedience to Qur'an and Sunnah, eternal salvation in the world to come...."
Allahu 'alam. Sehingga bertemu lagi...