Semerbak Kasturi

"Sesungguhnya orang-orang berbakti benar-benar berada di dalam (syurga yang penuh) kenikmatan, mereka (duduk) di atas dipan-dipan melepas pandangan. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni(tidak memabukkan)yang tempatnya masih dilak (disegel), laknya dari KASTURI. Dan yang demikian itu hendaknya orang berlomba-lomba.
(Al-Mutaffifin: 22 - 27)

BINA HARAPAN MALAYSIA

Saturday, 28 June 2014

Blending IHsan, Itqan and Itmam...Insha Allah







P/s :....Dia is Allah...

Sunday, 11 May 2014

Al-Ummu Madrasah Al-ula





PERUTUSAN HARI IBU 2014

WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

10 Mei 2014

IBU DI HATI, SYURGA MENANTI

1. Sempena dengan Hari Ibu 2014 yang disambut seluruh dunia minggu ini, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada semua ibu-ibu di mana jua mereka berada,

2. Hakikatnya setiap hari adalah Hari Ibu, istimewanya hujung minggu kedua bulan Mei ini telah dinobatkan sebagai Hari Ibu. Justeru, marilah kita mengambil kesempatan berharga ini untuk menzahirkan rasa kasih sayang cinta kita kepada ibu-ibu kita, dalam bahasa kasih sayang yang paling indah dan dapat dirasai oleh mereka. Hadiahkan mereka sebuah dakapan erat sambil melafazkan kata: “Ibu, anakanda sayang pada Ibu, terima kasih atas jasa baik ibu.”

Bagi yang ibu mereka telah tiada, kita masih boleh berbakti kepada mereka dengan sentiasa berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapa kami, masukkan mereka ke dalam syurga Firdaus-Mu, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami semasa dalam kandungan, ketika melahirkan, menyusukan, mendidik dan membesarkan kami dengan penuh kasih sayang .” Aamiin.

Dan kepada yang belum Islam, sambutlah Hari Ibu, menurut budaya sambutan dan kepercayaan masing-masing untuk menghargai ibu .

3. Islam mengambil perhatian tinggi terhadap berbuat baik kepada ibu bapa dengan meletakkannya sebagai kewajipan pertama setelah beriman kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

Firman Allah :

ٰﻰَﻀَﻗَو ٰ ﻚﱡﺑَر َ ﱠﻻَأ آوُﺪُﺒۡﻌَﺗ ْ ﱠﻻِإ ٓ هﺎﱠﻳِإ ُ ﻦۡﻳَﺪِﻟٲَﻮۡﻟﭑِﺑَو ِ ﺲۡﺣِإ ـَ ۚ‌ﺎًﻨ

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

Al-Isra’ ,17:24.

Firman Allah:

ﺎَﻨۡﻴﱠﺻَوَو ﺲﻧِۡﻹٱ ـَﻦٰ َ ﻪۡﻳَﺪِﻟٲَﻮِﺑ ِ ۖ‌ﺎًﻨۡﺴُﺣ

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.” Al-‘Ankabuut,29: 8.

Dalam hadis Sahih Bukhari , seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang maksudnya : “Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?” ,

Jawab Nabi: “Ibu kamu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Selepas itu?”

Jawab Nabi: “Ibu kamu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Selepas itu?”

Jawab Nabi: “Ibu kamu.”

Kali keempat lelaki itu bertanya: “Selepas itu?”

Jawab Nabi: “Bapa kamu.”

Hadis ini mengisyaratkan untuk kita melebihkan hak ibu tiga kali ganda daripada bapa kerana kesusahan dan pengorbanan ibu sewaktu mengandung, melahir, menyusu dan seterusnya mendidik serta membesarkan anak itu dengan penuh kasih sayang. Jasa seorang ibu tidak mungkin dapat dibalas oleh seorang anak sebagaimana digambarkan oleh Sayyidina Abdullah bin Umar al Khattab r.a. dalam kisah berikut;

Seorang lelaki datang kepadanya dan berkata, "Saya telah mendukung ibu saya sepanjang tawaf, sudahkah saya dapat membalas jasa ibu?" Jawab Ibn Umar r.a., " Kamu belum dapat membalas jasa ibumu walaupun satu hembusan nafas ketika melahirkanmu.”

Berbakti kepada ibu adalah amalan yang utama kerana ganjarannya begitu besar , mendapat ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan mendapatkan kemenangan syurga di akhirat.

4. Wanita IKRAM menyarankan semua ahli dan anggota masyarakat agar giat menganjurkan serta menghadiri majlis-majlis sambutan Hari Ibu bagi tujuan mengingatkan masyarakat perihal kewajipan berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam suasana kesibukan masyarakat mengurus kehidupan harian dan bertambahnya gejala-gejala keruntuhan institusi keluarga, maka sewajarnya mereka diingatkan tentang peranan dan tanggungjawab menjaga dan menyantuni ibubapa. Bertambahnya pusat jagaan orang tua dan penghuni rumah warga emas ini menjadi bukti kepada kurangnya keprihatinan dan rasa tanggungjawab seorang anak kepada ibubapa. Semakin benarlah ungkapan yang mengatakan seorang ibu boleh menjaga sepuluh anak, namun sepuluh anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Kepada ibu-ibu sekalian, berbahagialah kerana dari rahim-rahim kalianlah lahirnya semua manusia di dunia ini. Allah s.w.t. telah memartabatkan kalian dengan satu tugas besar yang mulia dan tidak mungkin dipikul oleh orang lain.

Besarnya jasa seorang ibu ini digambarkan dalam bait-bait puisi berikut:

“Seorang Ibu adalah sekolah,

Apabila engkau persiapkan dengan baik,

Maka engkau telah mempersiapkan satu generasi yang harum”.

Manakala Napolean Bonaparte pernah ditanya , “Benteng manakah di Perancis yang paling kuat? Ia menjawab, “ Ibu yang baik.”

Maka wahai kaum ibu sekalian, marilah kita mainkan peranan kita dengan sebaik-baiknya. Peranan untuk mengandung, melahirkan, menyusukan dan seterusnya mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang. Berilah penekanan ke atas pembinaan sahsiah dalaman anak-anak melalui penerapan nilai spiritual yang tinggi dan mantap, bermula dari dalam rahim sehinggalah mereka mencecah usia muda belia. Kecerdasan emosi dan kekuatan rohani telah terbukti menjadi perisai paling kukuh untuk membenteng manusia dari terjerumus ke lembah kehinaan dan kemusnahan.

Bagi ibu-ibu yang bekerja, lengkapkanlah diri dengan kemahiran tinggi menguruskan keseimbangan antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembangunan jati diri setiap ahli keluarga, terutamanya dalam membuat keputusan yang bijak mengenai kehidupan. Kerjaya tidak boleh dijadikan liabiliti, malahan mesti menjadi kekuatan utama ibu dan bapa dalam mendapatkan pengetahuan, pengalaman dan kepintaran menguruskan kepelbagaian dalam menempuh cabaran hidup berkeluarga.

5. Wahai para suami, bantu dan sokonglah isteri kalian. Suami kepada seorang isteri yang bekerja harus mampu memainkan peranan aktif dan berkesan dalam membangunkan keluarga bersama-sama. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul.

6. Bagi ibu tunggal yang bekerja, sokongan ahli keluarga dan jiran tetangga mestilah mampu dijana bagi menjamin pertumbuhan keluarga yang sihat.

7. Kepada pihak berwajib dan anggota masyarakat lainnya, bantulah para ibu dengan memastikan semua majikan sentiasa peka dan responsif terhadap tanggungjawab yang perlu dipikul oleh para ibu dalam membangunkan keluarga mereka, bukan semata-mata. penekanan kepada produktiviti organisasi sahaja. Para penggiat media dan industri hiburan hendaklah menyediakan bahan-bahan yang boleh membantu ibu-ibu membina generasi yang mempunyai jati diri yang kuat serta bebas daripada unsur dan pengaruh yang merosakkan.

Akhirnya, marilah sama-sama kita menyanjung pengorbanan dan jasa ibu kita semua.

“Ibu di hati, syurga menanti. ”

Selamat Hari Ibu


Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Wednesday, 7 May 2014

All Are Invited!












Bagaimanakah perasaan anda bila Pravin Togadia, seorang pemimpin VHP, sebuah parti ekstermis di India, menyeru penyokongnya menghalau orang Islam yang membeli rumah di kawasan kejiranan yang majoritinya penduduk Hindu?

Apakah sikap anda terhadap pergerakan Ku Klux Klan yang cuba menghalau orang-orang kulit hitam melalui ancaman dan ugutan? Bagaimana pula dengan reaksi anda kepada saranan Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, bahawa rakyat Palestine patut dipecat dan dihalau ke Jordan?

Bagaimana pula pendirian anda dengan kempen Marine Le Pen pemimpin National Front di Perancis yang mendakwa pendatang Arab ke Perancis kini menakluk negara itu dan menggesa mereka dihantar pulang ke negara mereka?

Jika anda berasa semua pendirian ini melampau dan harus ditentang, sentimen yang sama juga diutarakan oleh kumpulan ekstremis di Malaysia. Penjaja-penjaja kebencian di Malaysia pada dasarnya tidak banyak berbeza daripada pemimpin ekstremis VHP, Ku Klux Klan, Avgidor Lieberman dan Marine Le Pen.

Jika Ku Klux Klan menggunakan salib sebagai simbol pergerakan itu, penjaja kebencian di Malaysia menggunakan Islam dan dakwah sebagai topeng ketika mengenengahkan agenda perkauman mereka.

Yang nyata, mereka ini semua adalah penjaja kebencian dan sebenarnya terpesong daripada ajaran Islam. Namun, mereka sedar menonjolkan diri sebagai jaguh kaum dan menjaja kebencian berpotensi memberi keuntungan untuk diri mereka. Ada suratkhabar yang turut menjadi penjaja kebencian dan tidak pula dikenakan tindakan. Namun, syarikat-syarikat GLC disuruh lebih banyak memberikan iklan kepada surat khabar ini.

Bagi tokoh-tokoh kebencian ini, mungkin mereka mengharapkan penajaan wang seperti yang diberi sebuah badan kerajaan kepada sebuah NGO penjaja kebencian lain. Mereka mungkin berharap untuk dijadikan senator atau diberi darjah kebesaran. Kebenaran tidak penting, yang penting ialah menjadi instrumen politik puak tertentu dalam mengapi-apikan sentimen perkauman. Islam pun tidak penting. Hanya guna Islam, tidak perlu hayati Islam.

Satu sifat penjaja-penjaja kebencian ini ialah mereka amat berekonomi dalam menyatakan fakta. Kenyataan mereka lebih mendedahkan kejahilan mereka serta pemikiran sempit dan sonsang mereka. Walaupun mengguna identiti Islam, keIslaman mereka sama tulen dengan “keKristianan” Ku Klux Klan. Hujah-hujah dan pandangan yang mereka kemukakan sama cetek dan tipis sepetimana cetek dan tipisnya keIslaman mereka.

Perhatikan kenyataan seorang penjaja kebencian, “Orang Cina datang ke negara ini bersama penjajah British sebagai penceroboh. ..Siapa yang bagi mereka hak kerakyatan dan kekayaan sehingga hasil pencerobohan mereka dilindungi sampai hari ini?...Itu semua perbuatan British yang bersekongkol dengan Cina menindas dan membuli orang Melayu,”

Nyata sekali di sini penjaja kebencian ini jahil mengenai sejarah. Kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu telah bermula sebelum kedatangan British ke Asia Tenggara lagi. Rekod sejarah menunjukkan lebih 50% penduduk pekan Kuala Terengganu pada pertengahan tahun 1600han adalah berbangsa Cina.

Mereka hidup damai dan tidak bersengketa dengan orang Melayu. Demikian juga, penjaja kebencian ini nampaknya lupa akan kedatangan orang Cina yang kemudiannya menjadi masyarakat Peranakan di Melaka. Mereka tiba ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan Puteri Hang Li Po, seorang puteri Cina, menjadi isteri kepada Sultan Mansor Shah.

Penjaja-penjaja kebencian ini juga lupa atau sengaja melupakan bahawa pembabitan orang Cina dalam industri tertentu seperti perjudian dan pembuatan bir adalah kerana lesen yang diberi pemimpin Melayu, bukan British. Dan ada di antara syarikat-syarikat ini dipengerusikan oleh orang Melayu, bukan British.

Sejarah Islam menunjukkan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ialah membina keharmonian di antara kaum dan agama yang berbeza. Inilah yang berlaku di Madinah selepas hijrah di mana orang-orang bukan Islam, termasuk orang-orang Yahudi, hidup bersama-sama dalam masyarakat Islam.

Ini semua dilakukan dalam semangat menghayati Islam sebagai rahmatan lil `alamin (rahmat kepada seluruh alam, bukan untuk orang Melayu sahaja) dan li ta`arufu (saling berkenalan dengan kaum-kaum yang berbeza).

Walaupun catitan hadith dan Quran menunjukkan ada orang bukan Islam di Madinah dari masa ke semasa mempersoalkan kebenaran Islam dan kenabian Rasulullah.. Baginda tidak pula mengusir mereka keluar dari Madinah. Sebaliknya baginda berhujah dengan mereka atau memberi jawapan daripada wahyu. Puak Yahudi diusir hanya setelah mereka menyebelahi pihak musuh yang mengepung Madinah semasa perang Khandaq.

Sikap matang dan terbuka ini turut ditunjukkan oleh para sahabat. Saidina Ali ketika menjadi khalifah sering dikritik dan dicerca oleh golongan Khawarij. Satu amalan mereka ialah mereka akan beratur di sepanjang laluan dari rumah Saidina Ali ke masjid.

Pada setiap waktu salat, mereka akan memaki dan mencerca Saidina Ali bila beliau berjalan ke masjid. Sahabat lain pernah bertanya kepada beliau kenapa tidak memerangi mereka sahaja. Sebagai seorang khalifah dia boleh menangkap kesemua mereka dan menghumban mereka ke penjara. Dia juga boleh mengusir mereka keluar dari Madinah. Sebaliknya, Saidina Ali berkata “Kita lawan serangan lisan dengan lisan.”

Jika penjaja kebencian hari ini hidup pada zaman Sultan Mansor Shah, barangkali mereka akan menggesa Sultan Mansor menghalau Laksamana Cheng Ho dan Puteri Hang Li Po dari Melaka.

Bagaimana agaknya reaksi Maharaja Cina jika ini berlaku? Jika rakyat Malaysia yang bukan Islam semua berhijrah keluar dari Malaysia hari ini, kepada siapakah agaknya NGO Islam yang digunakan penjaja-penjaja kebencian ini, yang menggunakan identiti sebagai pendakwah, akan berdakwah.

Dan bagaimanakah pula dengan orang Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak? Haruskah Sabah dan Sarawak dipecat keluar dari Malaysia?

Jika kita benar-benar menggunakan neraca Islam untuk menilai kenyataan-kenyataan penjaja-penjaja kebencian ini, nyata sekali mereka ini menyimpang jauh daripada Islam. Dan nyata sekali tindak-tanduk mereka jauh dari contoh yang ditunjukkan Saidina Ali.

Sukar nak katakan mereka ini jahil kerana mereka ini nampak terdidik. Mungkin inilah yang dikatakan perbezaan diantara orang yang mendapat kelulusan akademik dengan mereka yang mempunyai hikmah. Mungkin juga mereka ini tidak yakin dengan diri sendiri dan mengalami “inferiority complex” dan menganggap menjaja kebencian sebagai jalan pintas ke kemahsyuran.

Hari ini Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa seorang penjaja kebencian ini akan disiasat di bawah Akta Hasutan. Sebelum ini polis pernah juga menyiasat seorang lagi penjaja kebencian dari firqah yang sama di bawah Akta Hasutan.

Sebelum itu, seorang penjaja kebencian dari sebuah NGO turut disiasat polis kerana beliau menggesa agar dibakar kitab Injil. Namun, hasil siasatan-siasatan ini mendapati mereka ini tidak bersalah dan tidak dikenakan tindakan.

Barangkali hasil siasatan polis kali ini pun tidak akan berbeza. Pada saya, sebagai rakyat yang membayar cukai, saya tidak mahu wang cukai saya dibazirkan dengan siasatan yang tidak membuahkan hasil. Dan jika seorang penjaja kebencian didapati telah melakukan kesalahan, saya tidak redha wang cukai saya digunakan untuk menyara makan-minum beliau dipenjara.

Saya lebih suka penjaja-penjaja kebencian ini ditewaskan di medan hujjah. Kenyataan penjaja-penjaja kebencian ini adalah satu fasad. Saya ingin melihat pemimpin dan cendikiawan Islam tampil menentang kefasadan ini secara ilmiah.

Menyerulah kepada yang ma’aruf dan benteraslah kefasadan penjaja-penjaja kebencian ini melalui jihad lisan. Ini adalah sebahagian dari mencegah mungkar dengan mulut kita.

Kepada penjaja-penjaja kebencian, jika mereka tidak boleh menerima kemajmukan masyarakat Malaysia dan menganggap sebarang perbezaan pendapat sebagai kedurjanaan, eloklah mereka berhijrah ke luar Malaysia.

Pergilah ke negara yang tiada kemajmukan dan tidak menerima perbezaan pendapat. Mereka semua akan bahagia di sana. Barangkali tahap intelek dan sikap penjaja-penjaja kebencian ini sangat sesuai dengan kehidupan di Korea Utara.

Kim Jong Un akan menghargai orang seperti mereka. Dari sana, mereka bolehlah menjalinkan hubungan dan ikatan dengan kumpulan-kumpulan yang menunjukkan sikap yang sama seperti mereka, kumpulan-kumpulan seperti Ku Klux Klan di Amerika, VHP di India dan National Front di Perancis.


Rozhan Othman MAY 07, 2014

Saturday, 3 May 2014

REFLECTING & BEING blessed, ALhamdulillah





"Jika ilmu bermanfaat tanpa amal, tidak mungkin Allah mencela para pendeta ahli kitab. Jika ilmu bermanfaat tanpa keikhlasan, tidak mungkin Allah mencela orang munafik" [Imam Ibnul Qayyim]

Rasulullah s.a.w bersabda :
" Aku menjamin sebuah rumah di tepi Syurga bagi sesiapa yang meninggalkan perdebatan walaupun berada di pihak yang benar.( Aku juga menjamin ) sebuah rumah di tengah Syurga bagi sesiapa yang meninggalkan berbohong walaupun dia melakukannya secara bergurau.( Aku juga menjamin ) sebuah rumah di puncak Syurga bagi sesiapa yang berakhlak mulia . "
[ Hadis Eiwayat Abu Daud ]




"Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa ketaqwaan kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat.
Aku juga sangat kecewa terhadap orang yang bertaqwa tetapi dungu. Kerana orang itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna." [Sayidina Umar]

Sunday, 20 April 2014

Spring Time!



KENYATAAN KETUA WANITA IKRAM “SUBURKAN BUDAYA BERTANYA, ELAKKAN TAQLID BUTA”

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia prihatin dan merasa terpanggil untuk menyatakan pandangan terhadap polemik yang timbul dalam masyarakat hasil dari teguran dan pertanyaan Wardina Saffiyah ke atas kandungan ceramah seorang penceramah terkenal di Malaysia.

Pada dasarnya Wanita IKRAM bersikap terbuka dan mengalu-alukan untuk kita menerima dan mengamalkan budaya tawasau bil haq (saling berpesandengan kebenaran) dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.
Wanita IKRAM berpandangan tindakan menegur oleh Wardina Saffiyah secara terbuka adalah wajar oleh kerana ceramah yang didengarinya adalah ceramah umum dan terbuka. Tidak menjadi kesalahan untuk menegur dan bertanya secara terbuka dengan beradap untuk kemaslahatan umum bagi menyedarkan masyarakat dari sikap menerima sesuatu ilmu dari golongan ilmuan secara taqlid buta (mengikut tanpa hujjah yang sahih) menular di dalam budaya keilmuan. Sekiranya kesilapan itu dibuat secara peribadi maka ianya perlulah ditegur secara peribadi.

Wanita IKRAM juga menggesa pihak berwajib agar peka dengan situasi inidan meningkatkan pemantauan penggunaan nas Al-Quran dan Al-Hadith yang dijadikan sumber dalil bagi menyokong kenyataan dan pandangan seseorang tokoh umum terutama dari yang berlatarbelakang agama kerana ianya boleh mengelirukan masyarakat.

Menyatakan sesuatu dalil yang tidak sahih atas nama Rasulullah SAW adalah sesuatu perkara yang dilarang di dalam Islam. Kemunculan tokoh-tokoh agama di kaca television dan media sosial yang lain seperti melalui video sebaran di youtube dan facebook adalah amat dialu-alukan. Namun disiplin keilmuan mestilah dijaga bagi memastikan penyampaian sesuatu ilmu itu dapat membantu meningkatkan nilai keilmuan dan mendekatkan diri masyarakat kepada agama.

Masyarakat adalah digesa untuk bersikap berlapang dada dan tidak mudah melenting dalam menerima muhasabah serta elakkan budaya membalas teguran dengan cara menyerang peribadi, menyebut-nyebut perihal masalampau seseorang, kerana pintu hijrah dan pintu taubat tetap terbuka luas bagi hati-hati yang ikhlas dan mendapat hidayat. Semoga sikap berlapang dada menerima teguran menjadi budaya parailmuan dan para penuntut ilmu.


Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita IKRAM Malaysia
19 April 2014

"Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu."

SPRING TIME!

Tuesday, 1 April 2014

Diam Adalah Lebih Mulia Daripada Berhujjah...









Saat orang berbicara merendahkan kita, itulah tanda bahawa kita sudah jauh LEBIH BAIK daripada mereka...

Saat orang bicara buruk mengenai kita pada hal kita tidak pernah mengusik kehidupan mereka, itulah tanda kehidupan kita sebenarnya LEBIH INDAH daripada mereka...

Jika orang bicara mengenai kita di belakang, itu adalah bahawa kita sudah ada di HADAPAN...



Payung tidak dapat menghentikan hujan tapi dapat membuatkan kita berjalan menembus hujan untuk mencapai tujuan....



DZM...April 2012

DAN DIAM DARIPADA BERHUJJAH DENGAN ORANG BODOH ITU ADALAH SATU KEMULIAAN (Imam As Shafiee)

Allahu 'alam

Sunday, 30 March 2014

Perjuangan Yang Menyebabkan Musuh Tidak Lena Tidor....


Tragedi di medan Rabaah...pembunuhan beramai-ramai perhimpunan aman rakyat Mesir, menzahirkan penentangan terhadap pemimpin yang zalim, setelah penangkapan Dr Mursi...diviralkan dengan simbol RABI4 bagi memperingati peristiwa ini selamanya...."Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". [Ali'Imraan:173]








"Jemaah Ikhwan Muslimin tidak kenal erti keganasan sehinggakan ketika kematian pengasasnya Hasan Al Banna, Ikhwan Muslimin tidak menjejaki pembunuhnya.. bahkan As Sisi lah yang merupakan pengganas kerana dia membunuh penunjuk perasaan di jalanan"

Dr Muhammad Badie
Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin

#PRAYFOREG529

Sumber : Al Jazeera Mubasher Misr
#mesirkini



Tuesday, 25 March 2014

Black Box...IM529





Telah dan akan berlaku kepada pemimpin yang zalim, menyiksa orang-orang beriman...dan para pejuang kebenaran....."Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan. Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya." [Al Qasas:41-42]











"Sesiapa yang tetap tidak dapat melihat kebenaran selepas segala apa yang telah berlaku , maka tidak perlulah bersusah payah lagi untuk memuaskan hatinya. (memahaminya lagi)" Muhammad Beltagi

"Allah akan memberikan istidraj (kelebihan untuk melalaikan) kepada orang-orang yang zalim ini sehingga mereka terus berada dalam kegelapan. Janganlah kamu terpedaya dengan kekuatan, kekuasaan serta kezaliman kamu. Dimanakah mereka yang zalim dahulu serta pengikut mereka? Dimanakah Firaun dan Hamman? Tidak ada seorang pun daripada mereka yang terselamat," Sheikh Muhammad Hassan

"Tuhanmu telah berkehendak untuk mengumpulkan orang-orang yang benar dalam satu kelompok, dan orang-orang yang batil dalam satu kelompok lain, sebagaimana tuhan telah mengumpulkan Musa a.s dan kebenaran bersama pengikut-pengikutnya, seperti Firaun dan kebatilan bersama-sama pengikutnya sehingga apabila tidak tinggal apa-apa pilihan atau cara dan jalan di hadapan para pengikut kebenaran melainkan hamparan laut yang luas dan para tentera di belakang mereka, maka kemenangan dari Allah akan turun menyelamatkan kebenaran dan para pengikutnya sekaligus menghancurbinasakan kebatilan dan pengikut-pengikutnya.

Yakinlah bahawa kemenangan itu telah hampir dan pengikut-pengikut kebatilan masih menjunjung kebatilan mereka, sedang pengikut-pengikut kebenaran menjunjung syariat mereka untuk membezakan kedua kelompok tadi, maka Allah akan memberi kemenangan kepada kebenaran dan pengikut-pengikutnya, dan menenggelamkan kebatilan berserta pengikut-pengikutnya"

Dr Muhammad Badie'
Mursyidul Am Ikhwan Muslimin

‪#‎PRAYFOREG529‬
‪#‎mesirkini‬
‪#‎R4BIA‬

Friday, 14 March 2014

MH 370 & Ibrahnya...



Hasrat untuk mengaibkan seorang insan serta keluarganya, kini satu negara diaibkan Di pesada antara bangsa! Sesungguhnya Allah perencana terbaik....hindarkanlah Kami daripada segala bentuk musibah, rahmatilah Kami sentiasa ya Allah, ameen



Terkenang flight Kami ke Beijing...MH360 (2 disember 2012) & MH361 dari Beijing ( 8 Disember 2012) ...hafsah Chung selfie


KENYATAAN MEDIA

WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

13 Mac 2014 bersamaan 11 Jamadil Awal 1435H

Takziah dan Doa untuk MH370

Hari ini masuk hari ke enam kita semua dirundung duka mengenang tragedi yang menimpa pesawat MH370 yang hilang dalam perjalanan menuju ke Beijing. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul; tentunya peristiwa ini memberi kesan duka dan pilu yang cukup mendalam kepada semua pihak yang terbabit.

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia ingin merakamkan ucapan takziah dan simpati kami kepada semua keluarga kru dan penumpang MH370. Sementara pihak berkuasa terus meningkatkan usaha bagi mengesan pesawat malang itu.

Wanita IKRAM menyeru kepada:

1. Semua ahli keluarga krew dan penumpang untuk terus tabah dan meningkatkan kesabaran di atas musibah yang menimpa mereka. Bagi keluarga muslim, perbanyakkan solat hajat dan do'a kepada Allah dan yang belum Islam bertafakkurlah menurut ajaran kepercayaan masing-masing.

2. Semua ahli wanita IKRAM dan masyarakat amnya melakukan munajat dan solat hajat beramai-ramai memohon agar Allah yang Maha Berkuasa memberikan kita semua hidayah dan petunjuk serta memberi kita jalan keluar dari dugaan besar yang sedang kita hadapi ini. Sebaiknya kita mulakan dengan memperbanyakkan istighfar, memohon ampun atas segala kesilapan dan keterlanjuran kita disusuli solat hajat, berdo'a dan berselawat untuk Nabi kita Muhammad SAW.

3. Semua pihak menghentikan penyebaran berita-berita palsu yang akan lagi mengusutkan keadaan dan menambah kegusaran terhadap keluarga mangsa.

4. Semua pihak menjadikan kejadian ini sebagai satu peringatan besar dan peluang untuk kita memuhasabah diri dan meningkatkan kecerdasan spiritual kita. Di sebalik kecanggihan dunia teknologi yang mengelilingi kita, manusia harus sedar akan keterbatasan ilmu dan kemampuan kita serta perlunya kita semua kembali mengakui kebesaran dan kehebatan kekuasaan Allah Ta'ala, Tuhan yang memiliki sekalian alam.

Doa selamat kami untuk kru dan penumpang pesawat MH370 serta ahli-ahli keluarga mereka.


Ustazah Maznah Daud

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Thursday, 13 March 2014

Juicy Indeed!









Jelas lagi terang...logika kelas pertama...Allahu 'alam

Thursday, 6 March 2014

Selamat Beristirehat Wahai Sahabat...Semoga Rahmat Allah Sentiasa Bersamamu, Ameen




أَنَارَ الظَوَاهِرَ بِأَنْوَارِ آَثاَرِهِ، وَأَنَارَ السَرَائِرِ بِأَنْوَارِ أَوْصَافِهِ؛ لِأَجِلِ ذَلِكَ أَفَلَتْ أَنْوَارِ الظَوَاهِرِ، وَلَمْ تَأْفَلْ أَنْوَارِ القُلُوْبِ وَالسَّرَائِرِ؛ وَلِذَلِكَ قِيْلَ:" إِنَّ شَمْسَ النَّهَارِ تَغْرُبُ بِاللَّيْلِ، وَشَمْسَ القُلُوْبِ لَيْسَتْ تَغِيْبُ ".

"Sesungguhnya Allah menerangi alam zahir dengan cahaya makhlukNya (kesanNya), dan menerangi alam batin dengan cahaya sifatNya. Oleh itu cahaya alam zahir akan terbenam (hilang). Sementara cahaya hati dan alam batin tidak akan terbenam. Kerana itu ada pepatah: “Sesungguhnya matahari siang terbenam kala malam, namun matahari hati tidak akan kunjung terbenam”

"Ya Allah matikanlah kami tatkala saat kami paling dekat denganMu dan di saat Engkau paling meredai kami dan mengasihi kami. Janganlah Engkau tarik nyawa kami di saat kami paling derhaka kepadaMu dan Engkau paling murka kepada kami, Ya Allah masukkan lah sahabat kami Al marhum Haji Azman Muda di kalangan solilhin yang mendapat keredaanMu, ameen"

Kota Damansara, 5 Mac 2014

Thursday, 27 February 2014

Kepercayaan Lebih Penting...



"Kepercayaan (Thiqah) itu lebih utama daripada cinta, kamu tidak mungkin akan sentiasa mempercayai orang yang kamu cinta akan tetapi kamu akan sentiasa mencintai orang yang kamu percaya"


Friday, 31 January 2014

To Attract OR To Protect

]]











Gambar-gambar Hijab Event 2014 oleh MIZAN (Muslimah Interest Zone And Networking Association Kuala Lumpur)

Dikongsikan artikel menarik ini bagi panduan kita bersama bersempena Hari Hijab Sedunia hari ini. 1 Februari 2014...semoga bermanfaat. Allahu 'alam

Nabi SAW bersabda :-

ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي

Ertinya : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )

Dalam sebuah hadith lain pula :

ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .

Ertinya : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )

Malah banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?

ERTI DAYUS

1) Sabda Nabi : -

وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله

Ertinya : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : " Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)

Dari hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.

2) Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-

قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله

Ertinya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan(zina, buka aurat, bergaul bebas)dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)

Penerangan Ulama Tentang Lelaki Dayus

Jika kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah seperti berikut :-

هو الذي لا يغار على أهله

Ertinya : "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya(isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)

Imam Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus" ( Umdatul Qari, 18/228 )

Berkata pula An-Nuhas :

قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم

Ertinya : cemburu ( iaitu lawan kepada dayus ) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)

Disebut dalam kitab Faidhul Qadir :

فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره

Ertinya : Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki) sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak mengubahnya" ( Faidhul Qadir, 3/327 )

Imam Az-Zahabi pula berkata :-

فمن كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا غيرة فيه

Ertinya : Dayus adalah sesiapa yang menyangka ( atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji ( seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan ( yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" ( Al-Kabair, 1/62 )

Imam Ibn Qayyim pula berkata :-

قال ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى عندها دفع البتة

Ertinya : Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota ( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.

Dayus adalah dosa besar

Ulama Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar, sehingga disebutkan dalam satu athar :

لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ الْعِشْرَةُ)

Ertinya : Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )

Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.

Petikan ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus dan istilah yang hampir dengannya :

والقواد عند العامة السمسار في الزنى

Ertinya : Al-Qawwad ( salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum ulama adalah broker kepada zina" (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul tolibin, 8/186 )

Imam Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :-

الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة

Ertinya : Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat" (Al-kabair, 1/45 )

Cemburu Dituntut Islam & Jangan Marah

Ada isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat, saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi SAW bersabda :

من سعادة ابن آدم المرأة الصالحة

Ertinya : "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah ( isteri dan anak)" ( Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168 )

Memang amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin mengetahui cara bertawbat.

'Ringan-ringan' Sebelum Kahwin

Jika seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus. Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau 'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius, rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan' dengan orang lain pula.

Hanya dengan tawbat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak kepada zuriat mereka. Awas..!!

Dalam hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.

Suami juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.

"habis, kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"

Jawabnya, perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami. Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.

Cemburu seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan kehormatan isteri dan anak-anaknya.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi

قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَن.

Ertinya : Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan tersembunyi.. " ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.

BILA LELAKI MENJADI DAYUS?

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-

1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan. Jikalau WUJUD terdesak atau tiada pilihan atau ada kes khas kesihatan yang memerlukan atau tiada kemampuan kewangan sangat, ada keringanan dan bukan dayus.

12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati bahagian dalam kawasan aurat oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita. Tiada pula terdesaknya keadaan.

13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepada dirinya.

Mungkin kita akan berkata dalam hati :-

" Jika demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"

Lebih penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu yang disebut tadi.

Awas wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini.

Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT.

Sayangilah dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Akhirnya, wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :

من قتل دون أهله فهو شهيد

Ertinya : "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib Arnout)

Sekian

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

p/s : Diizinkan pembaca menyebarkan tulisan ini sejauh mana yang mungkin demi manfaat para lelaki yang berhasrat menjadi penghuni Syurga.

Tuesday, 12 November 2013

Gunung Yang Menghimpap Atau lalat Yang Ditepis...






"Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya, dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata: dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang"


(Hadis riwayat Bukhari)

Wednesday, 6 November 2013